Showing posts with label Baru Bian. Show all posts
Showing posts with label Baru Bian. Show all posts

Tuesday, April 14, 2020

Baru Bian mungkin sertai PSB, kata sekutu bekas ketua PKR Sarawak

Larissa Lumandan
-April 14, 2020 8:29 AM
Khamis lalu, Presiden PSB, Wong Soon Koh dilaporkan menolak dakwaan Baru Bian diberikan wang untuk menyertai partinya.

KUCHING: Bekas ketua PKR Sarawak, Baru Bian dan penyokongnya mungkin menyertai Parti Sarawak Bersatu, kata seorang pemimpin bahagian PKR.

Bagaimanapun, belum ada pengumuman dibuat berhubung perkara itu, kata Setiausaha PKR Stampin, Desmond Kho.

Kho ialah sekutu Baru sebelum beliau meninggalkan parti itu ketika krisis politik berlaku pada Februari lalu. Beliau memberitahu FMT yang PKR kelihatan sedang melalui tempoh peralihan dan menyimpang daripada agenda keadilan untuk semua.

Parti itu kini dilihat “berusaha meneruskan agenda seorang lelaki menjadi perdana menteri”, katanya merujuk Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Kho berkata, aspirasi PKR ialah membawa “reformasi” melalui keadilan dan kesaksamaan.

Katanya, mereka yang merasakan parti itu tidak lagi memperjuangkan aspirasi asal mereka boleh mengejar impian masing-masing di platform lain.

Khamis lalu, Presiden PSB, Wong Soon Koh dilaporkan mengalu-alukan Baru dan penyokongnya menyertai parti itu.

Wong bagaimanapun menolak dakwaan Baru diberikan wang untuk menyertai PSB.

PSB ialah parti bebas tempatan yang tidak bergabung dengan mana-mana parti politik di Sarawak.

Sunday, November 24, 2019

‘Kehilangan’ Baru beri isyarat negatif kestabilan PKR, kata penganalisis

Joel Shasitiran
-November 24, 2019

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.

PETALING JAYA: Ketiadaan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pada konvensyen parti itu di Miri semalam memberi isyarat negatif mengenai kestabilan parti, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata ketidakhadiran Baru menunjukkan sokongan beliau terhadap Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali berhubung pertelagahan dalam parti itu.

“Beberapa hari sebelum ini, Baru berkata konvensyen itu dibatalkan, namun Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan konvensyen itu tetap akan berlangsung. Saya fikir Baru tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menjadikan dirinya tidak ada walaupun dia adalah ketua PKR Sarawak,” kata Azmi kepada FMT
Azmi Hassan dari UTM.
Beliau berkata Baru, yang juga menteri kerja raya, mendapat 32 sokongan daripada 46 ahli dewan PKR Sarawak.

Jika semua 32 ahli tidak menghadiri konvensyen tersebut, katanya, maka ia menunjukkan parti itu berada dalam permasalahan yang teruk.

“Tetapi saya ragu-ragu semua 32 daripadanya tidak hadir,” katanya.

Azmi berkata jika Baru digugurkan sebagai pengerusi PKR Sarawak, kesannya akan dirasai di Semenanjung Malaysia.

“Ia akan menunjukkan hukuman yang berat menanti mana-mana pemimpin yang menentang parti yang secara terang-terangan memberi sokongan mereka terhadap Azmin.

“Pada masa ini, masih terdapat status quo dalam PKR walaupun wujud 2 kem, tetapi apa-apa tindakan yang diambil terhadap Baru akan diterjemahkan kepada masalah dalam parti di peringkat nasional,” katanya.

Ditanya mengapa sukar bagi sesetengah pemimpin PKR mempunyai haluan yang sama, Azmi berkata “ia mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad”.

“Penyokong Anwar melihat Azmin sebagai ancaman kepada rancangan penggantian. Oleh itu, untuk kedua-dua kem ini sama halu tuju adalah mustahil jika ancaman oleh Azmin masih ada.

“Perkara menjadi lebih buruk apabila Mahathir tidak jelas mengenai garis masa penggantian,” katanya.
Awang Azman Awang Pawi dari UM.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, Baru mempertaruhkan masa depan politiknya sendiri dengan menyokong orang lain yang mahu konvensyen PKR Sarawak dibatalkan selepas dipersetujui oleh majlis kepimpinan pusat.

“Kehadiran Anwar di Miri menunjukkan dia adalah pemimpin yang tegas dan tidak akan tunduk kepada mereka yang cuba melemahkannya. Ia juga menunjukkan kesabarannya terhadap mereka,” katanya.

Beliau bersetuju dengan Azmi bahawa sukar bagi sesetengah pemimpin untuk bersemuka.

“Sesetengah pemimpin cuba membentuk klik dan kem mereka sendiri untuk menentang Anwar dari segi kuasa dan pengaruh,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menganggap ketidakhadiran Baru akan menjejaskan peralihan Anwar kepada jawatan perdana menteri, Awang Azman berkata ini tidak mungkin.

“Perjanjian itu diputuskan oleh majlis presiden PH dan bukan Baru. Majlis presiden terdiri daripada pemimpin dari parti komponen PH, bukan Umno, PAS atau sesiapa pun,” katanya.

Kira-kira 1,500 ahli hadir pada konvensyen semalam, menurut ahli jawatankuasa penganjur.

Ia dirasmikan oleh Anwar walaupun Baru mengatakan ia patut dibatalkan sehingga kepimpinan peringkat nasional menyelesaikan masalah mengenai siapa yang patut merasmikan kongres Pemuda PKR bulan depan.

Thursday, October 18, 2018

Menteri: Terpulang kepada rakyat untuk berhenti ‘bermimpi’ miliki lebuh raya tanpa tol

Mohamad Fadli
-October 18, 2018 11:18 AM

Baru Bian dilaporkan berkata, keputusan berhubung penghapusan tol lebuh raya akan diketahui dalam 2 hingga 3 bulan lagi.

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata terpulang kepada rakyat sekiranya mahu berhenti “bermimpi” untuk memiliki lebuh raya tanpa kutipan tol di negara ini.

Beliau berkata dasar kerajaan jelas dan telah membuat keputusan tidak akan melaksanakan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol sehingga kewangan negara stabil dan dipulihkan sampai satu tahap yang sihat.

“Itu keputusan kerajaan sekarang. Soalan dibangkitan sama ada rakyat Malaysia (behenti) bermimpi itu terpulang kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PAS) yang bertanya, berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini adakah rakyat Malaysia sudah boleh berhenti bermimpi memiliki lebuh raya tanpa tol di negara ini.

Pada 13 Oktober lalu, Dr Mahathir berkata pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Dr Mahathir mendedahkan, beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan janji hapuskan tol di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Janji ke-6 dalam manifesto PH menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Halaman 29 manifesto PH menyatakan ia akan mengambil alih konsesi lebuh raya dengan memberi pampasan adil kepada syarikat konsesi.

Perdana menteri sebelum ini berkata, kerajaan PH perlu menyemak semula beberapa perkara dalam manifestonya kerana sebahagian janji itu akan mendatangkan kerugian sangat besar jika dilaksanakan.

Awal bulan ini, Baru Bian dilaporkan berkata, keputusan berhubung penghapusan tol lebuh raya akan diketahui dalam 2 hingga 3 bulan lagi.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima beberapa cadangan syarikat konsesi lebuh raya terlibat dan akan menilai semua cadangan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Sunday, October 15, 2017

Baru gesa BN S'wak tolak komitmen jadikan M'sia negara Islam

Berita Terkini
Ketua PKR Sarawak Baru Bian menggesa BN negeri menolak kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bahawa kerajaan BN komited untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Asyraf dilaporkan oleh portal berita Free Malaysia Today menyatakan pembangunan Islam yang diperkasakan dari semasa ke semasa menjadi petunjuk jelas kepada perkara itu.

"Ini adalah kenyataan jelas mengenai pendirian kerajaan persekutuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam," kata Baru yang juga ADUN Ba Ke'lalan.

Baru berkata BN Sarawak harus menolak kenyataan Aysraf kerana rakyat negeri itu akan berfikir bahawa kerajaan negeri terlibat dalam usaha kerajaan persekutuan menjadikan Malaysia negara Islam.

Baru berkata kenyataan timbalan menteri itu juga adalah satu pelanggaran yang jelas terhadap Perjanjian Malaysia 1963.

"Ia seolah-olah tidak peduli mengenai pelanggaran ini dan lebih banyak lagi bukti mengenai isu-isu yang amat penting bagi Sarawak, BN Persekutuan tidak peduli terhadap hak rakyat negeri," kata peguam hak asasi manusia itu.

Baru berkata, BN Sarawak harus mencontohi Sultan Johor apabila baru-baru ini memberikan reaksi terhadap isu pengasingan dobi di Muar.

"BN Sarawak mesti menolak kenyataan Asyraf Wajdi dan menuntut BN persekutuan menafikannya," tambah Baru.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/398373#UeLRFuVXLMJYZSWB.99

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-