Wednesday, November 13, 2019

'Kenakan permit kempen rumah ke rumah keterlaluan'

Diterbitkan Hari ini 7:58 malam


BERITA

Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar berpendapat peraturan mengenakan permit bagi berkempen rumah ke rumah oleh parti politik ataupun calon bercanggah dengan amalan demokrasi dan kebebasan berkempen.

Beliau berkata, SPR sebelum ini hanya mengenakan syarat permit untuk kempen pilihan raya bagi parti politik atau calon untuk berkempen di tempat awam saja.

"Itu sudah keterlaluan dan tidak patut, SPR (era BN) dulu tak pernah letak syarat sebegitu, melainkan berkempen di tempat awam.

"Apa aktiviti kempen jangan sampai ia bercanggah prinsip demokrasi bagi pilihan raya yang bebas dan adil.

"Tidak boleh sekat hak calon untuk bertemu pengundi, khususnya di kawasan peribadi (rumah), ia budaya kempen (rumah ke rumah) sejak negara mencapai kemerdekaan lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam, SPR mengingatkan parti dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bahawa aktiviti bertemu pengundi dari rumah ke rumah perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata selain itu, program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Katanya semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit kempen.

“Semalam (kelmarin) telah diadakan perjumpaan antara pegawai-pegawai SPR bersama dengan Ketua Polis Daerah Pontian serta pegawainya. Tujuan perjumpaan adalah bagi menyelaraskan dan memperjelaskan isu-isu berkaitan dengan permit dan peraturan berkempen terutama berkaitan dengan program walkabout yang diadakan oleh semua calon atau parti yang bertanding.

“Hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa pihak PDRM meminta supaya calon dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan,” katanya.

Wan Ahmad berkata, memang SPR mempunyai kuasa penuh menentukan peraturan bagi setiap kempen pilihan raya dan PDRM hanya menjalankan tugas bagi menjaga ketenteraman awam ketika berkempen.

"Dalam tempoh rasmi berkempen, SPR adalah badan bertanggungjawab dalam urusan kempen.

"Polis hanya melaksanakan ataupun kuat kuasa peraturan yang termaktub, polis laksanakan tugas berdasarkan saranan SPR," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-