Showing posts with label PRK Tanjung Piai. Show all posts
Showing posts with label PRK Tanjung Piai. Show all posts

Monday, November 18, 2019

'PH perlu teliti kalah kerana populariti BN pulih atau undi protes'


BERITA

PH dilihat perlu meneliti punca kekalahan mereka di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai melalui dua perspektif dan isyarat yang ditunjukkan oleh pengundi, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Kata Saifuddin, PH perlu meneliti secara berhikmah dan bijaksana prestasi mereka bagi setiap pusat daerah mengundi (PDM), sokongan mengikut kaum serta isu-isu yang menyumbang kepada kekalahan itu.

"Yang paling penting adalah PH mesti bersedia belajar apa saja isyarat yang dihantar pengundi Tanjung Piai, mesti bersedia terbuka dan berlapang dada memahami apakah isyarat yang dihantar.

"Apakah itu isyarat populariti BN kembali pulih, atau itu lebih kepada protes pengundi terhadap PH?" katanya kepada media selepas merasmikan Program Food Bank Siswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, Kelantan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kekalahan kerusi parlimen itu adalah isyarat supaya peralihan kuasa perdana menteri dilakukan.

Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna menjelaskan, PH tidak sampai kepada isu tersebut (peralihan kuasa) dalam menangani kekalahan di Tanjung Piai.

Sabtu lalu Wee Jeck Seng dari MCA menang PRK Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Wee meraih 25,466 undi untuk mengalahkan calon PH Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi.

Sementara itu, mengulas lanjut, Saifuddin berkata, semua pihak dalam PH perlu menjadikan mesyuarat bulan Majlis Presiden PH sebagai platform terbaik untuk memulakan post-morterm terperinci kekalahan di Tanjung Piai.

Selain itu katanya, PH juga akan melihat perspektif sama ada kekalahan itu menjadikan PRK Tanjung Piai sebagai cerminan situasi (sokongan) menyeluruh di seluruh negara.

"Terakhir, jangan ada 'denial syndrome' (sindrom penafian) dan bersedia mengakui ia adalah hak demokrasi pengundi yang sudah membuat keputusan masing-masing.

"Saya lihat sistem PRK kali ini lebih baik dan berjalan dengan kemas sekali gus menjadi nilai tambah kepada kerajaan baru. Semua orang boleh sampaikan pandangan tanpa rasa keluh kesah dan mereka sudah buat keputusan berkenaan.

"Jadi, lebih baik kita menghormati keputusan dan belajar isyarat yang disampaikanrakyat yang dilihat lebih penting. Sudah tentu strategi perlu diubah kerana barangkali usaha yang dibuat sudah baik cuma proses komunikasi tidak lancar menyebabkan rakyat tidak tahu," katanya.

Anwar: Tiada unsur kaum, sokongan merosot di kalangan Cina, Melayu


BERITA

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata tiada unsur kaum dalam keputusan PRK Tanjung Piai Sabtu lalu.

"Ada perubahan sokongan di kalangan pengundi Cina dan juga perubahan sokongan Pengundi Melayu. Jadi saya tak rasa ia berkaitan kaum.

"Kita perlu benar-benar memahami kekecewaan rakyat - Melayu, Cina dan India," katanya yang juga anggota parlimen Port Dickson di Parlimen.

Katanya, jika PH gagal belajar daripada perubahan sokongan pengundi, gabungan itu "tidak layak memerintah lagi".

Beliau diminta mengulas berkenaan perubahan sokongan pengundi Cina - yang menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRU lalu - yang kembali memilih BN pada PRK tersebut.

Diminta mengulas kenyataan ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob bahawa PH perlu membubarkan Parlimen kerana telah hilang sokongan rakyat, Anwar berkata ia tidak perlu dilakukan.

'Kita terima kekalahan yang mengejutkan dan sedar perlu ada beberapa tindakan yang lebih berkesan untuk memulihkan keyakinan rakyat.

"Tetapi satu dua kekalahan (dalam PRK) tidak menyebabkan kerajaan harus undur daripada berkhidmat untuk rakyat," katanya lagi.

Pada Sabtu lalu Wee Jeck Seng dari MCA menang PRK Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Beliau meraih 25,466 undi untuk mengalahkan calon PH Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi.

Malaysiakini melaporkan keputusan menunjukkan di pusat daerah mengundi (PDM) majoriti Cina, PH kehilangan sokongan hampir dua kali ganda berbanding di PDM majoriti Melayu.

Konflik peralihan kuasa punca PH kalah di Tg Piai, kata penganalisis

Nicholas Chung
-November 18, 2019 8:09 AM

Penganalisis politik berkata Mahathir Mohamad seolah-olah tidak mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik mengaitkan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai disebabkan pertelagahan berterusan dalam kalangan parti gabungan itu, sambil menambah “undi protes” menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN).

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata penyebab utama konflik itu adalah pertikaian mengenai pengganti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan peralihan kuasa.

Azman menyeru Mahathir menyatakan rancangan penggantian yang jelas sebelum menyerahkan jawatannya kepada presiden PKR Anwar Ibrahim, mengatakan isu itu menjadi sebab utama konflik dalaman PH.

Beliau memberitahu FMT, Mahathir yang seolah-olah tidak mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan akar umbi DAP dan PKR terhadap pengerusi PPBM itu.

“Sudah tiba masanya Mahathir mengumumkan penyerahan kuasa dengan lebih khusus supaya rakyat lebih bersedia. Melambatkan tarikh penyerahan kuasa akan menyebabkan keraguan timbul dalam kalangan rakyat serta dalam kalangan penyokong PH,” kata Azman.

Beliau berkata terdapat persepsi dalam kalangan pengundi Cina bahawa PPBM cuba mengawal PH walaupun kerusi parti itu tidak banyak dalam gabungan tersebut, manakala pengundi Melayu berhati-hati terhadap DAP yang semakin banyak memegang pentadbiran kerajaan yang boleh menyebabkan mereka terpinggir.

Azman berkata kemenangan BN menunjukkan muafakat nasional antara Umno dan PAS tidak mengasingkan orang bukan Melayu, sambil menambah ia akan membimbangkan kepimpinan tertinggi PH.

Bagaimanapun, dinamik politik Malaysia sentiasa berubah dengan masa dan pelbagai situasi.

“Orang Cina tahu kemenangan PRK ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri sementara Putrajaya akan kekal di bawah PH. Ini adalah referendum mini orang Cina kepada PH mengenai banyak isu yang mereka tidak puas hati.

“Untuk mengatakan sokongan rakyat beralih kepada pembangkang tidak benar sepenuhnya kerana ia hanya PRK. Tetapi ini adalah amaran awal dan ‘amaran merah’ kepada PH dan perdana menteri untuk melakukan yang lebih baik.”

Azmi memberitahu FMT bahawa PH kehilangan kira-kira 7,000 undi dalam “protes” pengundi. Bilangan undi untuk Wee Jeck Seng hampir sama dengan jumlah yang diperoleh BN dan PAS pada pilihan raya umum tahun lepas.

“Ini dapat dijelaskan oleh jumlah pengundi hanya 73% berbanding 86% pengundi pada tahun lepas. Sebanyak 13% pengundi luar mewakili 7,000 pengundi tambahan, di mana PH kehilangan sebahagian besar sokongan mereka.

“Jika PH tidak membetulkan atau menghentikan perbalahan yang berlaku dalam pandangan umum, maka saya meramalkan kerajaan PH akan menghadapi kemarahan rakyat – dengan atau tanpa pilihan raya kecil.”

Kekalahan di Tg Piai kuatkan persepsi PH kerajaan sepenggal

Timmy Say
-November 18, 2019 7:00 AM


Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai menyaksikan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Calon BN, Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi mengatasi calon PH, Karmaine Sardini, yang mendapat 10,380 undi. Ya, majoriti yang diperolehi calon BN adalah 1.5 kali ganda undi yang diperolehi calon PH.

Ahli politik bergegas menyalurkan naratif sendiri terhadap kekalahan teruk PH di Tanjung Piai mengikut selera masing-masing.

Dari sebelah PH, ada menteri yang menyifatkan kekalahan teruk ini sebagai gempa politik, ada pula menteri yang memohon maaf.

Ramai pimpinan PH menyalahkan kekalahan ini kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Ada pula menteri yang menyalahkan komunikasi atas kekalahan teruk ini dan ada yang menggesa kerajaan kembali melaksanakan reformasi.

Dari sebelah BN pula, ramai yang berkata keputusan PRK Tanjung Piai adalah tanda penerimaan rakyat terhadap Piagam Muafakat Nasional.

Ada pula yang berkata kekalahan teruk PH bermakna PPBM akan pendek umur, ada juga yang menyimpulkan kemenangan besar BN adalah pungutan suara rakyat serta mesej jelas mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui negara.

Di dalam soal menaratifkan keputusan PRK Tanjung Piai, tiada siapa yang tahu siapa betul dan silap. Kesemuanya cuma kesimpulan mengikut keuntungan politik masing-masing.

Contohnya, apakah undi Cina betul-betul beralih kepada BN?

Andaikan keputusan PRK Tanjung Piai boleh menentukan hidup mati kerajaan PH, apakah orang Cina masih akan mengundi BN ataupun MCA? Tiada siapa yang yakin perkara ini akan berlaku.

PRK Tanjung Piai sepatutnya pilihan raya kecil yang tidak akan membawa perubahan kepada politik negara, oleh itu ramai yang berani bereksperimen.

Yang marah buat undi protes merajuk, yang kecewa nak mengajar orang yang mengecewakannya. Yang tidak sabar untuk menaiki jawatan lebih tinggi melakukan sabotaj secara senyap-senyap, yang benci dengan parti Mahathir pula mengundi pihak lawan.

Asalnya, kesan paling teruk yang boleh berlaku kepada PH akibat kekalahan di Tanjung Piai hanyalah kehilangan satu kerusi Parlimen PPBM dan peningkatan tekanan dalaman terhadap Mahathir untuk melepaskan jawatan perdana menteri.

Cuma tiada siapa sangka apabila semuanya berlaku serentak, keputusannya begitu mengejutkan dan memalukan PH. Keputusan ini tidak akan tercapai tanpa bantuan secara tidak langsung daripada penyokong PH sendiri.

Sasaran asal undi protes hanyalah untuk mengajar PPBM dan Mahathir, tetapi oleh kerana majoriti kekalahan sebegitu besar, yang terkena sekarang ialah seluruh PH, bukannya PPBM dan Mahathir saja.

Percayalah, ramai di dalam PH akan tersilap jika mereka menganggap perkara ini dapat diselesaikan dengan menggantikan perdana menteri secepat mungkin, cubalah kalau tidak percaya.

Hakikatnya, keputusan PRK Tanjung Piai menguatkan persepsi awam PH hanyalah kerajaan sepenggal. Ini adalah masalah terbesar PH sekarang dan masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menukar perdana menteri.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Sunday, November 17, 2019

Serah kepada rakyat memilih Perdana Menteri!

By Editor
-17/11/2019


DI Tanjung Piai, BN menang dengan majoriti yang amat besar, ianya bukan satu tamparan, boleh dikatakan sebagai satu tumbukan TKO kepada Kerajaan PH.

Baru sahaja 1 tahun 6 bulan, rakyat sudah membuat keputusan bahawa Kerajaan PH sekira dibandingkan dengan BN, BN lebih ikhlas dalam memimpin.

Apabila rakyat memberi kuasa kepada PH sebelum ini, tiada perbandingan diantara corak kepimpinan BN dengan mana-mana, mereka menjangkakan kehidupan mereka lebih baik, lebih terjamin.

Ini kerana sepanjang 20 tahun PKR dan sekutu mereka wujud, mereka menabur fitnah dan politik kebencian sehingga rakyat termakan apa sahaja yang mereka ungkapkan.

Namun, apabila mendapat kuasa, pemimpin PH jadi lebih tamak.

Baru seminggu, kes Setiausaha Politik Mat Sabu berjaya keluar dari muflis, sebanyak RM500,000 dibayar.

Selepas itu, muncul pula kes pegawai Salahuddin menerima jam tangan mewah, kes Pemuda PPBM mendapat imbuhan dari bazaar Ramadan, kes penjualan aset kerajaan kepada kroni PH.

Ini semua telah membuka mata rakyat bahawa PH bukan mahu membantu rakyat, mereka mahukan kekayaan dengan rakus.

Bangkai di depan mata, sang serigala meleleh air liur tidak sabar melapah, itulah boleh diibaratkan perasaan pimpinan PH apabila melihat peluang rasuah di depan mata mereka.

Ada banyak kes rasuah di kerajaan dan agensi. Kawalan kewangan tidak lagi mereka ikut, apa sahaja nasihat pegawai kerajaan sekira tidak memberi keuntungan kepada PH, akan dibuang dengan alasan “pegawai itu orang BN” dan ini telah menghalalkan bentuk Rasuah yang rakus, seperti sang serigala tadi.

Bukan hanya rasuah, DAP memulakan corak kepimpinan Malaysian Malaysia. Bahasa mesti samarata, agihan ekonomi mesti sama rata, tidak kira siapa miskin dan siapa perlu dibantu, dengan beralasan memburukkan beberapa kes terpencil mempergunakan bangsa demi kekayaan, DAP berjaya membuat pimpinan lain tunduk kepala untuk mereka terap agenda Malaysian Malaysia. Dan rakyat sudah hidu keikhlasan.

Perut rakyat yang lapar, disuruh ikat, penjawat awam yang rajin dikatakan pemalas, askar yang bermatian berjuang dikatakan makan tidur, polis yang menjaga keamanan dituduh mainan politik.

Setiap hari, rakyat mendoakan ada perubahan kepada kerajaan PH, mereka kalau boleh mahukan pilihan raya dibuat dengan secepat mungkin, melalui kesengsaraan hidup zaman PH sama seperti hidup zaman Perang Jepun.

Hidup melarat dengan dihina setiap hari oleh pimpinan PH.

Terima kasih kepada setiap pengundi Tanjung Piai, andalah juara kepada rakyat keseluruhanya. Cameron, Semenyih dan Rantau sudah buktikan. Tanjung Piai juga sudah buktikan, sebelum Tun M terlewat, Tun serahkanlah semula kepada rakyat untuk memilih! -17 November 2019

DATUK MOHD RAZLAN RAFII,
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia.

Serius tanggapi isyarat jelas dari Tanjung Piai

BERITA

PRK TG PIAI | PH Johor menerima keputusan keputusan di Tanjung Piai sebagai satu isyarat daripada pengundi yang perlu diambil serius oleh parti, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

“Mengambil kira kekalahan ini, PH perlu kembali semula ke paparan lakaran untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan bersama pemimpin PH Johor yang lain di Pontian malam tadi.

Bersama dalam kenyataan itu ialah Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi Amanah, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP, Liew Chin Tong; dan Pengerusi Bersatu, Mazlan Bujang.

PH Johor turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera parti yang bekerja keras dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam kempen PRK itu.

Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menyifatkan keputusan malam tadi sebagai mesej jelas rakyat kepada kerajaan PH.

Sambil mengucapkan tahniah kepada calon BN, Dr Wee Jeck Seng, kerana memenangi kerusi parlimen itu, Anwar berkata PH menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat.

“Majoriti yang diperoleh pembangkang ini satu kejutan dan ia mesej jelas kepada seluruh pimpinan PH. Kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada keputusan PRK ini,” kata beliau.

Anwar turut mengingatkan pimpinan kerajaan supaya berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar yang dibawa dengan usaha positif melaksanakan janji.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kekalahan itu sesuatu yang pahit untuk ditelan.

“Rakyat sudah bersuara. Suara rakyat, suara keramat. Saya memohon maaf kepada belia Malaysia atas kekurangan saya. Kemarahan ini perlu dijawab dengan tindakan. Sekali lagi, minta maaf,” kata beliau.

Wee merampas kembali kerusi parlimen Tanjung Piai apabila diumumkan pemenang dengan majoriti 15,086 undi selepas selesai proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Calon BN dari MCA itu memperolehi 25,466 undi sekali gus mengalahkan pencabar terdekatnya, calon PH Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Berjasa Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi, sementara dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.

Keempat-empat mereka hilang wang deposit kerana tidak berjaya mendapat 12.5 peratus atau satu perlapan dari jumlah undi.

- Bernama

Saturday, November 16, 2019

Pengundi Cina sudah kembali pada BN - Zahid

Diterbitkan Hari ini 10:52 malam

BERITA

Kemenangan besar BN pada PRK Tanjung Piai menjadi tanda sokongan pengundi Cina telah beralih menyokong gabungan itu, maklum pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

"Ini merupakan satu bukti bahawa pengundi Cina telah kembali beri sokongan kepada BN.

"Satu signal untuk rakan-rakan dalam parti komponen, BN parti yang relevan," katanya pada sidang akhbar di Pontian malam ini.

Zahid juga berkata ia juga menunjukkan kerjasama PAS dalam Muafakat Nasional bersama Umno memperkukuh pembangkang.

"Apatah lagi PAS dalam Muafakat Nasional merelevankan lagi kerjasama pembangkang," jelasnya.

Calon BN Wee Jeck Seng mengalahkan PH dengan majoriti undi 15,086 undi untuk merampas kembali kerusi parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu, ketika ditanya sekiranya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu meletak jawatan susulan kekalahan itu, Zahid berkata beliau tidak mahu campur tangan.

"Saya tak nak masuk campur. Tapi kalau itu yang rakyat mahukan, tolong buat dengan segera," katanya lagi.

Dr Mahathir turun berkempen dan berceramah pada PRK ini, termasuklah menulis surat kepada para pengundi.

Awal malam ini, sumber PH memberitahu Malaysiakini prestasi buruk gabungan parti pemerintah di pusat daerah mengundi (PDM) Jalan Rimba Terjun dan Kampung Duku.

Kedua-dua PDM Jalan Rimba Terjun dan Kampung Duku merupakan PDM dengan majoriti pengundi Cina.

[Baca berita asal]

Pengundian di Tanjung Piai bermula



LANGSUNG | Proses pengundian untuk pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai sedang dijalankan.

BN yang bangkit dan menubuhkan Muafakat Nasional cuba merampas kerusi dari Pakatan Harapan yang memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis pada 2018.

Terdapat 52,698 pengundi di kawasan parlimen separa bandar ini, dengan 57 peratus pengundi Melayu, 42 peratus Cina dan kira-kira 1 peratus adalah kaum lain.

PRK ini akan menyaksikan pertembungan enam penjuru. BN meletakkan bekas penyandang parlimen itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng dari MCA.

Jeck Seng dikalahkan oleh Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Sementara itu, PH mempertaruhkan Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini. Gerakan mecalonkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Wendy Subramaniam, dan Berjasa diwakili presidennya, Badhrulhisham Abdul Aziz. Turut bertanding adalah calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Malaysiakini membawakan laporan langsung:

8.20 pagi: SK Serkat: Calon bebas Farah Aryani Abd Ghaffar, yang bukan pengundi Tanjung Piai, turun untuk menyambut pengundi.

Dia memberitahu Malaysiakini dia "95 peratus" yakin. Farah juga optimis mendapat sokongan pemandu teksi tempatan serta peniaga.

Faridah dilihat mewakili Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), dengan kempennya cuba mengetengahkan isu yang dihadapi golongan pemandu teksi.
8.18 pagi - SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas: Calon MCA Wee Jeck Seng, 55, selesai mengundi di saluran 2, SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas.

Bagi Jeck Seng, yang bangun seawal 5 pagi tadi, walaupun pilihan raya ini bukan kali pertama dia bertanding, ia tetap cabaran besar buatnya.

Isterinya Lim Joo Hon, 45 juga selesai mengundi pada pukul 8.15 pagi di tempat mengundi yang sama.

8.05 pagi - SK Serkat: Penyokong Pakatan Harapan Irwan Iskandar adalah orang pertama yang mengundi di aliran kedua di Serkat.

Irwan, 52 menyatakan keyakinan PH boleh menang.

Serkat adalah kampung asal Allahyarham Farid.

Dalam PRU tahun lalu, PH meraih 366 undi di sini, sementara BN 844, dan PAS 93.
7.50 pagi: SK Telok Kerang, Pontian Johor: Calon PH Karmaine Sardini tiba di pusat mengundi.

Karmaine dilihat menyapa pengundi yang sudah beratur seawal 7.30 pagi tadi.

Setakat ini cuaca dilaporkan baik namun mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia semalam cuaca dijangka hujan lebat pada sebelah petang.

Salah seorang pengundi Aminah Kasdi, 89, yang berkerusi roda serta ditemani cucunya antara yang terawal hadir bagi membuang undi di sekolah ini.

Pada pukul 8.04 minit, Karmaine selesai membuang undi. Ketika ditemui pemberita, Karmaine berkata dia gembira dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan calon.

Thursday, November 14, 2019

Jalan ke Himpunan Penyatuan Ummah Tg Piai sesak sejauh 2km

Mohamad Fadli
-November 14, 2019 10:09 PM

Ribuan wanita datang untuk Himpunan Penyatuan Ummah di Tanjung Piai malam tadi.

PEKAN NANAS: Jalan menuju ke Himpunan Penyatuan Ummah di Parlimen Tanjung Piai malam tadi sesak dengan kenderaan dan orang ramai sejauh 2km.

Setibanya FMT di tapak acara, lebih 5,000 hadirin memenuhi padang di Kampung Sawah untuk himpunan yang menampilkan pimpinan Umno dan PAS.

Pengerusi acara, Tajuddin Abdul Rahman dari Umno, yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, menujukan kehadiran malam ini buat Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad.

“Semalam ceramah PH dikatakan ‘hanya’ 2,000 orang,” katanya.
Pemimpin Umno dan PAS berkongsi pentas. Bekas perdana menteri Najib Razak (duduk, dua dari kiri) bersama Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan; Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan; dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Orang ramai dibahagikan kepada dua bahagian iaitu wanita di satu bahagian dan lelaki di satu bahagian. Sebahagiannya berkerusi manakala selebihnya duduk bersila.
Antara lelaki yang sanggup meredah kesesakan sejauh 2km untuk Himpunan Penyatuan Ummah.

Pengerusi Barisan Nasional Johor, Hasni Mohammad berharap kehadiran malam ini dapat diterjemahkan kepada undi untuk calonnya, Wee Jeck Seng pada 16 Nov ini sempena Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang sedang berlangsung.

“Marilah kita terus berdoa,” katanya.

Tinjauan: BN dijangka menang selesa, undi Cina beralih

BERITA
Dikemaskini Hari ini 6:23 petang


Tinjauan sebuah badan tinjauan terkenal merumuskan BN akan memang selesa dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, Sabtu ini.

Perkara itu, antaranya, disebabkan oleh peralihan sokongan pengundi Cina kepada BN, menurut panel penyelidik Ilham Centre.

“Dalam kajian lapangan ini, kami mengesan akan berlaku peralihan undi Cina ke BN disebabkan beberapa faktor-faktor seperti kegagalan prestasi kerajaan menunaikan manifesto (59.1 peratus), prestasi kerajaan persekutuan yang kurang memuaskan (59 peratus), prestasi kerajaan negeri yang kurang memuaskan (53 peratus) dan kos sara hidup semakin tinggi berbanding zaman BN (60 peratus),” menurut laporan itu.

Panel penyelidik itu disertai oleh Mohd Azlan Zainal, Mohd Jalaluddin Hashim, Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid.

Kajian secara tatap muka itu diadakan pada 9 sehingga 11 November lalu dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.

Ia melibatkan 394 responden yang merupakan pengundi berdaftar Tanjung Piai mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.

Jadikan Tg Piai referandum rakyat tolak Kerajaan PH

Wajah DAP dibelakang calon PH
November 14, 2019

TANJUNG PIAI:  Calon parti mana sekalipun yang mewakili PH, hakikat sebenar di belakang mereka adalah DAP, sekali gus mengalahkan PH bermakna menewaskan DAP, demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dr Mohd Mazri Yahya.

Menurut beliau, sokongan pengundi pada PRK P.165 Tanjung Piai untuk memenangkan calon BN dari MCA mewakili blok pembangkang amat penting dan akan menjadi referandum buat Kerajaan PH serta penentu kepada jangka hayat pakatan tersebut.

Malah terangnya, PRK ini walaupun tidak merubah status quo kerajaan sedia, tetapi menjadi ujian Litmus kepada Muafakat Nasional dengan secara tidak langsung menjawab tohmahan DAP yang galak menuduh PAS dan Umno sebagai parti rasis.

Bahkan optimis beliau, dengan BN meletakkan calon daripada MCA berbangsa Cina dengan disokong terbuka oleh PAS telah merubah persepsi negatif masyarakat bukan-Muslim terhadap mainan DAP khususnya kepada PAS.

Dr Mazri yang turut ditemubual penyelidik dari Universiti Nasional Singapura mengenai gerak kerja PAS ‘untuk’ MCA menegaskan bahawa PAS bukan sekadar parti politik, tetapi juga adalah badan dakwah dan tarbiyah.

 – HARAKAHDAILY 
    14/11/2019

Kerjasama Umno-MCA-PAS hiprokit, tak ikhlas, kata Dr M

BERITA

Kerjasama MCA dan PAS, dengan UMNO memainkan peranan sebagai orang tengah, yang dilihat semakin terjalin baru-baru ini adalah tidak ikhlas serta hipokrit dan hanya dilakukan untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pemimpin pembangkang daripada MCA mahupun PAS sentiasa bertindak lain daripada apa yang dicakapkan terutama dalam isu kerjasama kedua-dua parti.

“Tidak ikhlas. Hipokrit. Di depan (orang Melayu) konon (mereka) pejuang Melayu, bila mai (datang) sini (Tanjung Piai) (sokong) bukan Melayu ...kira kepentingan untuk menang pilihan raya,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi sarapan pagi bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) Tanjung Piai di Pontian, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Jentera PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Perdana menteri ditanya mengenai kerjasama MCA-PAS melalui orang tengah mereka, Umno yang dilihat agak pelik kerana sebelum ini MCA dan PAS tiada persefahaman dan tidak bersetuju dalam banyak perkara terutama berkaitan Islam dan Melayu.

Malah, PAS telah menyatakan sokongan kepada MCA untuk bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai dan turut membantu kempen MCA.

Justeru, Dr Mahathir berkata rakyat dan pengundi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai seharusnya lebih bijak dengan menilai perjuangan Pakatan Harapan demi keperluan negara.

“Walaupun ada isu orang Cina, ada isu orang Melayu, ada isu orang India, tapi apabila kita tumpu kepada keperluan negara kita, kita ketepikan perkara itu.
“Kita cari jalan untuk selesaikan pertikaian itu kerana kita tahu di Malaysia kita tak boleh layan sama rata semua orang. Apabila kita dapati semua bersatu hati dan menerima kerajaan campuran, negara kita akan maju,” katanya.

Pada PRK ini, calon PH Karmaine Sardini berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian PRK itu ditetapkan Sabtu ini.

- Bernama

Jangan undi kerana marah, nanti rugi, Dr M seru pengundi Tg Piai

Mohamad Fadli
-November 14, 2019 12:03 AM

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad bersama pimpinan PH bergambar berlatarkan ‘lautan merah’ di ceramah perdana di Kukup Laut malam tadi. (Gambar Bernama)

KUKUP: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad berpesan kepada pengundi Tanjung Piai jangan mengundi kerana marah, sebaliknya memikirkan manfaat memilih calon parti itu untuk terus berkhidmat bagi mereka.

“Kalau kita undi orang tidak boleh berkhidmat kepada kita, hendak undi lain, kita rugi,” kata perdana menteri di hadapan kira-kira 2,000 orang yang memenuhi tapak pasar malam Kukup Laut malam tadi.

“Dia dapat duit, kita dapat apa? Jangan silap (dengan) pangkah orang tidak boleh khidmat untuk kita.”

Mahathir juga menyentuh tentang “kemarahan” pengundi Tanjung Piai terhadap kerajaan PH pimpinan beliau.

Pengundi kawasan itu akan mengundi pada 16 Nov ini sempena pilihan raya kecil yang diadakan.

“Tidak tahu sebab apa marah, kalau marah saya, marahlah sekarang, kita hendak undi untuk kebaikan diri,” kata beliau yang juga pengerusi PPBM.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Wednesday, November 13, 2019

Risalah 'Vote Muslim First' diedar di ceramah PH

Zikri Kamarulzaman
Diterbitkan Hari ini 9:58 malam


PRK TG PIAI | Risalah mempromosikan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang menggunakan kempen 'Buy Muslim First' diedarkan di ceramah utamanya malam ini.

Risalah itu diletakkan di kira-kira 1,000 kerusi dalam program tersebut yang diadakan di Kukup Laut.

Ia memaparkan logo halal di bahagian belakang, dengan kata-kata 'Kempen Beli Produk Islam'.

"Kita beli asalkan orang tu Melayu Islam.

"Bila undi, sepatutnya bila ada calon Islam dan bukan Islam kita pilih yang Islam, tak kira dari parti mana.

"Bila ada dua atau lebih calon Islam, kita pilih yang lebih besar. Jadi kita pilih Bersatu. Ini baru ikut prinsip.

"Vote Muslim first!" kata risalah itu.

Risalah itu juga memaparkan latar belakang dan maklumat tentang Karmaine, serta senarai sumbangan bekas anggota parlimen Tanjung Piai Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik.

Sebelum ini PH menentang kempen 'Buy Muslim First', atau BMF, yang turut disifatkan sesetengah pihak sebagai boikot kepada perniagaan orang bukan Islam.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengecam kempen itu, bakal berucap di program itu.

Program diadakan di sempadan pusat daerah mengundi (PDM) Permas Kechil, Bandar Permas Kechil dan Sungai Durian.

Sejumlah 80 peratus pengundi di PDM Sungai Durian ialah Melayu, manakala 67 peratus di dua PDM yang lain ialah Cina.

Pengundi di Tanjung Piai akan membuang undi Sabtu ini.

Kem PH ceria, mula lihat peluang menang di Tanjung Piai

Oleh BORHAN AHMAD

Mood ceria di kem PH dalam sidang media sempena PRK Tanjung Piai hari ini.

Kem Pakatan Harapan (PH) kelihatan ceria menjelang tiga hari sebelum hari mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu ini.

Ia dibayangkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidin Yassin dalam sidang medianya di Bilik Gerakan Utama PH untuk PRK itu.

“Ada petanda baik sokongan kepada calon PH, Haji Karmaine dalam pilihan raya kecil ini.

“Namun saya menyeru kepada semua jentera PH jangan mengambil mudah (pihak lawan) kerana masih ramai golongan atas pagar yang belum membuat keputusan,” kata Muhyidin sambil tersenyum dalam sidang medianya.

Turut serta bersama beliau adalah Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, Dr Radzi Jidin, timbalan menteri dari Bersatu serta bekas menteri besar Johor, Datuk Othman Sapiyan.

Khalid dalam kenyataan melalui twitternya juga melahirkan rasa senang dengan perkembangan terbaru itu.

Melalui twitternya, Khalid berkata, berdasarkan lawatan dan interaksi dengan penduduk di Tanjung Piai, “Saya mula yakin PH boleh menang PRK.”

Bagi beliau, ia kelihatan satu trend hasil pemerintahan selama satu tahun lebih PH di pusat dan negeri.

“Undi Melayu mula beralih kepada PH. Dijangka jauh bertambah berbanding PRU ke 14!” tulis beliau melalui twitter itu.

PERATUSAN TIDAK RENDAH
Haji Karmaine, calon PH, bersama Tan Sri Muhyiddin dan Khalid Samad berbincang sebelum sidang media khas hari ini. 3 hari menjelang hari mengundi, kem PH ceria selepas mula melihat bayangan kemenangan memihak kepada mereka.

Sementara itu, jumlah peratusan mengundi kali ini dijangka tidak rendah kerana minat pengundi tempatan yang tinggi untuk keluar mengundi.

Menurut Muhyiddin dalam sidang medianya, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya ini dijangka agak tinggi.

“Hampir semua pengundi tempatan yang ditemui mengatakan mereka akan keluar mengundi kali ini. Ini satu yang luar biasa dalam pilihan raya kecil,” kata Muhyiddin.

Untuk pengundi luar pula, katanya, pihak jentera PH sedang berusaha untuk mempastikan mereka pulang mengundi Sabtu ini.

“Saya menyeru semua pihak termasuk melalui media di depan saya hari ini agar memastikan semua pengundi luar kita pulang mengundi,” kata Menteri Dalam Negeri itu.

Ramai penganalisis bimbang kalau-kalau pengundi luar tidak pulang untuk mengundi kali ini kerana ia hanya pilihan raya kecil.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/kem-ph-ceria-mula-lihat-peluang-menang-di-tanjung-piai/

'Kenakan permit kempen rumah ke rumah keterlaluan'

Diterbitkan Hari ini 7:58 malam


BERITA

Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar berpendapat peraturan mengenakan permit bagi berkempen rumah ke rumah oleh parti politik ataupun calon bercanggah dengan amalan demokrasi dan kebebasan berkempen.

Beliau berkata, SPR sebelum ini hanya mengenakan syarat permit untuk kempen pilihan raya bagi parti politik atau calon untuk berkempen di tempat awam saja.

"Itu sudah keterlaluan dan tidak patut, SPR (era BN) dulu tak pernah letak syarat sebegitu, melainkan berkempen di tempat awam.

"Apa aktiviti kempen jangan sampai ia bercanggah prinsip demokrasi bagi pilihan raya yang bebas dan adil.

"Tidak boleh sekat hak calon untuk bertemu pengundi, khususnya di kawasan peribadi (rumah), ia budaya kempen (rumah ke rumah) sejak negara mencapai kemerdekaan lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam, SPR mengingatkan parti dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bahawa aktiviti bertemu pengundi dari rumah ke rumah perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata selain itu, program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Katanya semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit kempen.

“Semalam (kelmarin) telah diadakan perjumpaan antara pegawai-pegawai SPR bersama dengan Ketua Polis Daerah Pontian serta pegawainya. Tujuan perjumpaan adalah bagi menyelaraskan dan memperjelaskan isu-isu berkaitan dengan permit dan peraturan berkempen terutama berkaitan dengan program walkabout yang diadakan oleh semua calon atau parti yang bertanding.

“Hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa pihak PDRM meminta supaya calon dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan,” katanya.

Wan Ahmad berkata, memang SPR mempunyai kuasa penuh menentukan peraturan bagi setiap kempen pilihan raya dan PDRM hanya menjalankan tugas bagi menjaga ketenteraman awam ketika berkempen.

"Dalam tempoh rasmi berkempen, SPR adalah badan bertanggungjawab dalam urusan kempen.

"Polis hanya melaksanakan ataupun kuat kuasa peraturan yang termaktub, polis laksanakan tugas berdasarkan saranan SPR," katanya.

Tuesday, November 12, 2019

'Beri pengajaran pada PH' - Kemungkinan protes pengundi Cina di Tg Piai


BERITA

PRK TG PIAI | Pada PRU lalu, Pakatan Harapan (PH) berjaya menembusi kubu BN di Tanjung Piai. Bagaiamanapun, sejumlah faktor mungkin membuatkan gabungan itu sukar mengulangi kejayaan itu dalam PRK Sabtu ini.

Allahyarham Md Farid Md Rafik dari Bersatu menewaskan penyandang Wee Jeck Seng dengan majoriti tipis pada tahun lalu. Beliau disokong kuat oleh pengundi Cina, iaitu merangkumi 41.4 peratus penduduk di sana, dibantu dengan pengalihan sokongan masyarakat Melayu yang merangkumi 57.6 peratus.

Data menunjukkan 32 peratus pengundi Melayu dan 64 peratus pengundi Cina menyokong Farid pada PRU lalu.

Tetapi dengan tinggal beberapa hari kempen, calon Bersatu Karmaine Sardini mendapati sokongan pengundi Cina - penyokong kuat PH - kian merosot.
Pengundi Cina tampak semakin tidak gembira dengan PH atas beberapa isu - antaranya pengenalan tulisan Jawi serta kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Kongres Maruah Melayu bulan lalu.

Pemimpin DAP yang berkempen untuk Karmaine menggesa pengundi melihat "gambaran lebih besar" dan berkata sebarang undi untuk BN adalah tanda sokongan terhadap kerjasama Umno dan PAS.

Mereka juga berhujah bahawa undi terhadap BN ialah tanda sokongan buat bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini dibicarakan atas dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Tetapi mesej itu nampaknya kurang disambut di kalangan sejumlah pengundi, termasuk pesara Yeo Shiok Sui.

Yeo jelas tentang dakwaan terhadap Najib dan tidak gembira apabila Wee mengalu-alukan kehadirannya di Tanjung Piai, tetapi tetap bercadang mengundi Wee.
Yeo Shiok Sui
"Kami akan undi Wee. Kami ada banyak pandangan terhadap Najib dan tidak sokong dia, tetapi kami mahu memberi pengajaran terhadap PH.

"Sudah lebih setahun tetapi mereka (PH) masih menyalahkan kerajaan terdahulu. Apa yang kami mahu ialah anda (PH mentadbir) dengan baik," katanya ketika ditemui di Kukup Laut.

Katanya lagi, walaupun jika DAP yang bertanding dan bukannya Bersatu, pendiriannya tetap sama.

"Walaupun DAP yang melawan MCA, saya rasa MCA tetap akan menang. Ramai orang Cina tidak gembira dengan Mahathir dan PH, tetapi DAP tidak pernah memperkatakannya," katanya lelaki berusia 62 tahun itu.

Sementara itu, seorang pengundi berusia 64 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kuan, berkata dia sebelum ini menyokong PH tetapi akan mengundi Wee pada PRK ini.
Kuan
"Kita undi PH pada PRU lalu sebab kita mahu pertukaran kerajaan. Tetapi kali ini kita lihat calon dan bukan parti," katanya.

Trend ini nampak tersebar luas di kalangan pengundi Cina yang lebih tua, bermakna PH perlu beralih ke pengundi muda untuk mengurangkan kesan hakisan sokongan itu.

Tetapi kebanyakan orang Cina di kawasan parlimen itu bekerja di luar, terutama Singapura.

Seorang pekerja kempen PH berkata kepada Malaysiakini, dianggarkan sejumlah 40 peratus pengundi Cina tiada di Tanjung Piai.

Yeo berkata dia tidak akan memujuk anak-anaknya untuk balik dan mengundi.

"Terpulang kepada mereka. Saya tak kisah," katanya lagi.

Pengundi luar

Adun Pekan Nanas dari DAP Yeo Tung Seong yakin sokongan orang Cina di Tanjung Piai terhadap PH mencapai tahap maksimum pada PRU lalu dan untuk mengekalkannya bukanlah perkara muda.

"Senang nak tahu PH menang atau tidak. Jika trafik tak sesak pada hari mengundi, kita tahu kita telah kalah tanpa perlu buka peti undi," katanya.

Pekan Nanas adalah satu daripada dua DUN dalam kawasan parlimen itu. Satu lagi ialah Kukup.

Wee dikenali sebagai pemimpin tempatan yang bekerja keras untuk pengundi Cina dan Melayu, terutama yang lebih berusia, yang tidak kisah untuk kembali menyokongnya di saat tida gembira dengan PH.
Calon Gerakan, Wendy Subramaniam
Gerakan juga mungkin menarik sejumlah undi protes.

Walaupun kalah pada PRU lalu, Wee berjaya mengekalkan kira-kira satu pertiga sokongan pengundi Cina. Ia merupakan pencapaian membanggakan jika dibandingkan di kerusi lain yang ditandingi MCA, yang menyaksikan undi Cina menurun sehingga sepuluh peratus.

Peniaga Cheng Tin Xeng adalah salah seorang yang bercadang untuk mengundi Wee sekali lagi.

"Saya undi Wee pada PRU lalu, tetapi dia tak menang. Dia orang baik. Setiap kali anda minta bantuan, dia akan bantu. Dia memang betul-betul buat semua kerja," kata lelaki berusia 84 tahun itu.
Cheng Tin Xeng
Rasa tidak gembira pengundi juga terlihat ketika persaingan menarik hadirin untuk ceramah besar PH di Pekan Nanas Sabtu lalu. MCA berjaya menarik lebih 600 hadirin, manakala PH hanya 300.

Hakikat bahawa MCA sukar menarik hadirin di ceramahnya pada PRU lalu - walau ramai pengundi yang masih menganggotai parti itu - menunjukkan tapak sokongan sedang berubah.

Keadaan mungkin diburukkan dengan keengganan akar umbi DAP berkempen untuk Bersatu.

Dalam pertembungan yang dijangka sengit, perubahan sokongan yang kecil pun mampu meletakkan PH dalam keadaan bahaya.

Pertambahan sokongan Melayu, tetapi tak cukup

Jika ada perkembangan baik untuk PH, ia ialah berkenaan kaji selidik dalaman Bersatu yang mendapati sedikit pertambahan sokongan Melalu. Bagaimanapun ia belum mampu untuk merampas di pusat daerah mengundi yang dimenangani BN pada PRU lalu.

Sepanjang minggu lalu, ceramah PH di kawasan Melayu hanya menarik kira-kira 30 hingga 50 orang.

Baca: Mampukah Berjasa tarik undi Melayu, PAS?

Namun keadaan agak baik pada Jumaat lalu, apabila Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir dan ketua pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik lebih 200 orang ke ceramah di pusat daerah mengundi Lubok Sawah di Pekan Nanas.

Hadirin di kalangan penduduk tempatan dan anggota parti. Pada PRU lalu, PH hanya mendapat 20.6 peratus undi di situ.

Walaupun pengundi Melayu lebih berusia masih berada di belakang BN, sejumlah pengundi muda dan pertengahan kian beralih kepada PH, bukan kerana pencapaian gabungan itu tetapi kerana sentuhan peribadi Md Farid.

Ketika ditemui di pasar Pekan Nanas, Siti Zawiyah, 50, berkata dia tidak pernah berasa semangat untuk mengundi pada masa lalu kerana "mereka semua sama".

Tetapi ia berubah apabila dia bertemu Farid. "Anda tidak boleh lihat kejujuran seseorang, tetapi anda boleh rasakannya," katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun Farid sudah meninggal dunia, Siti bercadang untuk terus menyokong PH.

Bagaimanapun, sejumlah belia Melayu yang menyokong PH dan mempunyai tanggapan yang baik terhadap Farid, yang merupakan muka baru dalam politik, kini berada di atas pagar apabila terpaksa sekali lagi membuat pilihan antara dua politikus veteran.

Baca: Bagi anak muda Tanjung Piai, tiada calon dapat ganti Farid

Tambahan pula, apa sahaja pertambahan yang diperolehi PH di kawasan Melayu boleh dihilangkan jika BN mendapat pertambahan lebih tinggi melalui sokongan PAS.

Pada PRU lalu, PAS mendapat 2,962 undi tetapi kali ini menyokong MCA susulan kerjasama dengan Umno.

Berjasa juga bertanding dan berharap menarik undi penyokong PAS yang tidak mahu mengundi calon MCA dan Bersatu. Bagaimanapun majoriti penyokong PAS dijangka akan patuh pada arahan untuk menyokong MCA.

Jumlah penyokong PAS lebih cukup untuk menampung kekurangan 524 undi yang menyebabkan BN hilang kerusi itu tahun lalu.
Sarkawi Banjar
"Pimpinan telah arahkan kita undi MCA, maka kita akan buat demikian. Dan kita memang kenal Wee, dia orang baik," kata Sarkawi Banjar, 64, ketika ditemui di ceramah BN-PAS Rabu lalu.

Pada satu sisi lain, ada rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi Umno terhadap ketegasan MCA untuk tidak menyerahkan kerusi itu kepada Umno.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno yang ditemui Malaysiakini membayangkan mereka bersedia untuk akur dan mengundi Wee.

"Saya akan sokong BN. Walau pemimpin atas calonkan orang gila, saya akan tengok dia dan akan undi BN," kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli kepada Malaysiakini di ceramah BN di Penerok, Selasa lalu.

Usaha terakhir pemimpin tinggi

Sejumlah pengundi Melayu yang signifikan - iaitu kira-kira 30 peratus - bekerja luar bandar dan PH dan BN berusaha untuk mendapatkan undi mereka.

Seorang ketua cawangan Umno berkata, dia telah meminta keluarga untuk meminta anak-anak mereka pulang mengundi BN.

"Tetapi (seruan itu) hanya untuk pengundi putih (pro-BN), bukan pengundi hitam (anti-BN)," kata ketua Umno cawangan Serkat Timur Abu Samah Mat Ali.
Hadirin di ceramah Anwar
Dengan kempen berbaki empat hari, belum dapat ditentukan sama ada pemimpin seperti Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dapat menangani rasa tidak puas hati pengundi dan menjadikan keadaan kembali berpihak kepada PH.

Anwar menyertai dua ceramah semalam, dekat Pontian yang dihadiri sejumlah 700 yang kebanyakannya masyarakat Cina, dan di Pekan Nenas yang dihadiri 400 orang dengan komposisi kaum yang seimbang.

Mahathir dijadual menyertai kempen esok.

Laporan tambahan oleh BAHARUDIN SUARNUR.

Monday, November 11, 2019

Undi PH Undi DAP, Undi Karmaine Undi Chin Tong

By EDITOR
-11/11/2019


PENDUDUK Tanjung Piai, lihatlah bagaimana ‘permainan’ DAP. Jika PH pertahan Tanjung Piai, Lim Guan Eng akan lantik Chin Tong sebagai wakil orang Cina.

Pakatan Harapan sendiri sudah menunjukkan sikap tidak yakin mereka kepada calon PH iaitu Karmaine.

Sudah lah beliau telah diarwahkan oleh Ketua Pemuda Bersatu sebelum ini, hari ini sudah terang lagi nyata, beliau hanyalah digunakan sebagai topeng Chin Tong DAP!

Diletakkan calon Melayu dihadapan, tetapi dibelakang Lim Guan Eng sudah pasang niat mahu melantik Chin Tong.

Taktik terdesak ini telah menjawab segala persoalan kenapa PH meletakkan Karmaine sebagai calon.

Rakyat Tanjung Piai, usah tertipu lagi. Sudah jelas calon Barisan Nasional Dr. Wee Jeck Seng mampu menggalas amanah menjaga kepentingan kesemua kaum Melayu, Cina dan India berteraskan Muafakat Nasional.

Barisan Nasional tidak akan bermain taktik terdesak seperti parti chauvinist DAP!

Taktik terdesak ini juga memperlihatkan DAP melantik Chin Tong untuk berkuasa walaupun Karmaine yang bertanding.

Parti rasis DAP mana pernah yakin dengan parti melayu seperti PPBM. Letaklah calon PPBM pun namun akhirnya mereka DAP sudah merancang untuk berkuasa walau PPBM menang sekali pun.

Saya harap penduduk Tanjung Piai gunakan peluang dan kesempatan yang ada 16 November ini mewakili seluruh rakyat Malaysia untuk menolak kerajaan Pakatan Harapan yang gagal menjaga kepentingan rakyat dan menjadi kuda tunggangan DAP.

 – 11 November 2019.
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB,
Ketua Pembangkang.

Sunday, November 10, 2019

MCA: Kenapa perlu 'wakil Cina' bantu Karmaine?

Diterbitkan Hari ini 5:17 petang

BERITA

Presiden MCA, Wee Ka Siong mempersoalkan perlunya Menteri Kewangan Lim Guan Eng menamakan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai "wakil Cina" kepada calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Wee berkata perkara itu bertentangan dengan mesej yang disampaikan DAP dan PH untuk tidak melihat dari perspektif perkauman.

"DAP mengatakan ia tidak melihat dari perspektif kaum, jadi apa yang berlaku kepada DAP?

"Kenapa mereka memerlukan wakil Cina? Adakah calon Bersatu tidak dapat mewakili orang Cina?" katanya dalam satu sidang akhbar di Tanjung Piai di Johor hari ini.

Pada ceramah di Pekan Nanas malam tadi, Lim berkata jika Karmaine memenangi pilihan raya kecil Tanjung Piai, beliau akan melantik Liew untuk membantu pemimpin Bersatu itu kerana sesetengah pengundi Cina bimbang tidak dapat berkomunikasi dengannya dengan berkesan.

""Jika ada sebarang masalah, Liew mempunyai talian khusus terus kepada saya, menteri kewangan," katanya.

Wee, yang mengalahkan Liew dalam pertandingan untuk kerusi Parlimen Air Hitam tahun lepas, berkata ini adalah cubaan oleh pemimpin DAP untuk menyertai parlimen menerusi "pintu tepi".

Wee menggunakan perumpamaan itu sebagai mengulangi sindirannya sebelum ini terhadap Liew yang menjadi timbalan menteri pertahanan melalui jawatan senator.

Sebelum peralihan kerajaan, Liew pernah mengkritik MCA yang disifatkannya meenjadi kerajaan melalui pintu belakang.

Tambah Wee, sekiranya pengundi memilih calon BN, Wee Jeck Seng mewakili mereka, mereka akan mendapat wakil rakyat yang mewakili semua kaum.

[Baca berita penuh]

Ahad terakhir yang ‘sesak’ di Tanjung Piai

Mohamad Fadli
-November 10, 2019 7:15 AM

Bermula hari penamaan calon pada 2 Nov, lebih 52,000 pengundi Tanjung Piai terus ‘dikunjungi’ pemimpin kerajaan dan pembangkang.

TANJUNG PIAI: Hari ini merupakan Ahad terakhir menjelang hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai di mana pengundi kawasan, terletak di penghujung Semenanjung ini, akan keluar mengundi Sabtu ini.

Selepas Tanjung Piai menyaksikan himpunan pemimpin pelbagai peringkat melibatkan semua parti bertanding, suasana “perang” yang disaksikan sejak hari pertama sehingga semalam kerana setiap hari, dari pagi sehingga malam ada menteri, timbalan menteri dan pimpinan pembangkang, turun ke Tanjung Piai berkempen untuk calon masing-masing, dijangka berterusan hari ini.

Hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, buat pertama kalinya akan datang ke Tanjung Piai untuk berkempen.

Bermula 11 pagi, Azmin memulakan acara dengan program santai mesra harapan kampung di Pusat Daerah Mengundi (PDM), Kampung Lubok Sawah. Kemudian pada 12 tengah hari, beliau bermesra dengan pengundi di PDM Kampung Melayu Raya.

Pada 2 petang pula, Azmin menziarahi golongan isi rumah berpendapatan rendah di PDM Tenggayun dan PDM Parit Haji Ismail, dan pada 5 petang bersama komuniti nelayan di Kukup Laut dalam program santai petang.

Tidak ketinggalan Menteri Pendidikan Maszlee Malik turun padang dalam lawatan kerjanya di Tanjung Piai dan Pontian. Beliau akan berada di sana dari 10 pagi hingga 2.30 petang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub pula bertemu para nelayan Pengkalan Simpang Kiri, Pengkalan Sungai Boh, Sungai Chengkeh dan Pengkalan Sungai Dinar pada 3 petang dan akan bersama Azmin dan Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal bertemu nelayan di Kukup Laut.

Di sebelah pembangkang pula, bekas perdana menteri Najib Razak yang mula berkempen sejak semalam akan bersarapan bersama calon Barisan Nasional (BN) di kedai kopi Keng Guan Hiong di PDM Jalan Rimba Terjun sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Seorang lagi pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin, bekas ketua sayap Pemuda dan bekas menteri belia dan sukan pula mengajak anak muda Tanjung Piai bersamanya di Pontian pada pukul 8.30 malam.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam akan berceramah di Pekan Nanas pada sebelah malam, manakala calon Berjasa, Badrulhisham Abdul Aziz akan bersama jenteranya di Pontian.

Atur cara Ahad bagi dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar belum diketahui.

Hari ini barangkali peluang terbaik untuk semua pihak bertanding menambat hati pengundi menjelang hari-hari terakhir PRK Tanjung Piai.

Selain mereka ramai lagi pemimpin kanan parti bertanding dijangka terus berkampung hari ini bagi meraih sokongan untuk diterjemahkan dalam bentuk undi pada Sabtu ini.

Sudah pasti hari Ahad hari ini, walaupun hari bekerja bagi kakitangan awam di Johor, persekitaran yang meriah tetapi “sesak”, tetap bakal mewarnai pilihan raya kecil kali ini – yang kesembilan dan yang paling getir sejak pilihan raya umum 2018.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-