Tuesday, November 5, 2019

Zaman BN Paling Rendah RM310 Satu Tan, Tak Pernah RM270, Kata Pekebun Kecil Kepada Calon PH



PONTIAN – Pekebun kecil tempatan ‘terguris hati’ dengan sikap calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai Karmaine Sardini meminta mereka bersyukur walaupun mengalami kemerosotan harga kelapa sawit.

Seorang pekebun kecil di sini, Jahuri Nawi, 64, mempersoalkan bagaimanakah Karmaine, yang merupakan anak tempatan, boleh membuat kenyataan sebegitu.

“Tak patutlah Karmaine kata begitu. Kamu bandingkan harga sekarang dengan zaman dulu.

“Kenapa tidak cerita masa zaman Jepun makan ubi kayu. Hari ini kamu patut cerita apakah usaha nak tingkatkan taraf hidup petani,” katanya kepada FMT sambil menunjukkan petikan video Karmaine berceramah semalam.

Ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi Peneroka di sini malam semalam, Karmaine menasihatkan pekebun kecil supaya tidak mengeluh berikutan kemerosotan harga kelapa sawit sekarang.

Katanya, walaupun harga komoditi itu kini turun kepada RM270 satu tan, pekebun perlu bersyukur kerana mendakwa ia lebih tinggi berbanding harga RM87 satu tan pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa tiada pihak yang merungut ketika harga kelapa sawit jatuh sehingga RM87 satu tan ketika itu.

“Tak ada orang merungut pun kerana taksub dengan BN konon hebat sangat.”

Katanya, kos kehidupan di Tanjung Piai juga tidak setinggi di bandar besar.

“Kalau ada 10 ekar (kebun kelapa sawit), sekurang-kurangnya dapat 5 tan, darab dengan RM270, dapat RM1,000 lebih.

“Duduk di kampung nak guna (wang) apa sangat? Nak makan sayur tanam sendiri, cuma yang perlu isi minyak, jadi masih boleh makan,” kata Karmaine.

Jahuri berkata, sebagai orang Islam memang beliau sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya pendapatan hanya RM1,000 sebulan dan petani terpaksa membuat dua kerja dalam satu hari bagi menampung keperluan hidup maka tentulah keadaan itu membebankan rakyat.

Berita berkaitan;
Calon Bebas Wakil Pemandu Teksi ‘Terkejut’ Nama Dicalonkan Saat Akhir
PRU15 Dijangka Lebih Awal Jika BN Menang PRK Tanjung Piai
Cukup Aneh Bila PH Gesa PAS Sokong Calon Mereka – Tuan Ibrahim
800 Nelayan Tanjung Piai Kecewa Tidak Terima Wang Saguhati Sejak PH Memerintah

“Kita kerja kampung gaji tak berpuluh ribu, tetapi hanya untuk makan,” katanya.

Seorang lagi pekebun tempatan, Din Mustapa, 48, turut senada dan berasa kecewa dengan kenyataan Karmaine itu.

Beliau berkata, sekiranya pekebun mempunyai kebun kelapa sawit yang banyak, maka harga lebih rendah itu tidak menimbulkan terlampau banyak masalah.

“Tetapi yang ada satu ekar atau dua ekar macam mana. Satu ekar mungkin dapat satu tan lebih sahaja.

“Kalau dua ekar dapatlah dalam dua atau tiga tan sebulan. Nak bayar racun, baja dan upah pekerja sahaja tinggal berapa?

“Upah sahaja dalam RM70 dan racun RM30 untuk satu ekar tanah. Mana cukup,” katanya.

Din berkata, pada zaman pemerintahan BN sebelum ini harga paling rendah ialah RM310 satu tan dan tidak turun sehingga RM270 satu tan.

“Selain menjadi pekebun kecil rata-rata penduduk di Tanjung Piai membuat dua kerja iaitu menjadi pekebun kecil dan nelayan,” katanya.

Seorang pekebun kecil, Abd Rauf Manaf, 65, berkata beliau juga terguris hati mendengar dengan kenyataan calon PH itu.

Beliau berkata dalam usianya kini, pendapatannya tidak sampai RM1,000 sebulan.

“Kalau tak cukup pun, kita orang kampung cuba cukupkan juga duit. Sebab ini sumber pendapatan kita nak buat makan, tetapi janganlah keterlaluan sampai membuat kenyataan seperti itu,” katanya.

Dalam pada itu calon Gerakan, Wendy Subramaniam membidas kenyataan Karmaine itu dan berkata calon PH berkenaan tidak memahami masalah rakyat yang sebenar.

“Orang kampung tidak perlu banyak duit untuk hidup, saya rasa itu sudah tidak relevan.

“Dia juga tidak faham bahawa harga sawit turun dari RM400 satu tan ke RM260 dan dia boleh kata orang kampung tak perlu banyak duit, kalau nak makan sayur tanamlah sayur.

“Macam mana boleh cakap macam ini. Masa ini kos sara hidup sangat tinggi,” katanya.

PRK kerusi Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine yang mewakili PH, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon MCA-BN Wee Jeck Seng, Badrulhisham Abd Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas, iaitu Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ang Chuan Lock.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi manakala 12 Nov bagi pengundian awal. 

FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-