APABILA Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua dan sebelum British kembali semula ke Semenanjung Tanah Melayu, Pasukan Bintang Tiga telah bermaharajalela, membunuh dan menyiksa orang Melayu yang mereka tuduh bersubahat dengan Britisih.
Kumpulan itu adalah nukleus yang kemudiannya menjadi Parti Kominis Malaya (PKM). Tujuan PKM adalah untuk menjadikan Malaya sebuah negara kominis ala-China. Tidak siapa pun boleh menafikan bahawa dengan tertubuhnya negara kominis Malaya, kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, hak keistimewawaan orang Melayu dan bahasa Melayu akan terhapus. Mereka bukan berjuang untuk memerdekakan tanah air Mereka. Mereka bukan warganegara negara ini. “Negara ibunda” mereka adalah negara China.
Apabila British kembali, ada beberapa orang pemimpin parti-parti kiri Melayu yang lari masuk ke hutan untuk menyertai PKM. Mereka berbuat demikian semata-mata untuk menyelamatkan diri daripda ditangkap oleh British, bukan untuk menuntut kemerdekaan tanah air mereka. Mereka diperalatkan Chin Peng dan PKM untuk mendapat sokongan orang Melayu. Nasib baiklah orang Melayu tidak terpengaruh dengan mereka.
Pada masa itulah anak-anak Melayu, selepas tamat sekolah Melayu, dengang semangat yang berkobar-kobar tanpa memikirkan keselamatan diri, mula menyahut seruan negara, meninggalkan kampung halaman untuk menyertai pasukan bersenjata seperti Askar Melayu, Polis Di Raja Malaysia, Security Corps (SC) dan lain-lain. Tujuan mereka adalah untuk berperang dan menghapuskan perjuangan PKM itu.
Selepas itu, anak-anak Melayu yang berpelajaran seperti tuan-tuan menyertai pasukan-pasukan bersenjata negara dengan tujuan yang sama. Tuan-tuan menyertai PDRM. Bersama-sama tuan-tuan, terdapat sebilangan anak-anak muda Cina, India dan lain-lain yang turut sama menyertai PDRM untuk menjaga ketenteraman negara, termasuk daripada ancaman anggota-anggota PKM.
Banyak di antara pejuang-pejuang ini terkorban dalam perjuangan dan semasa menjalankan tugas mereka, bersama-sama orang awam.
Walau bagaimana pun, dengan kegigihan mereka semua, dengan kesungguhan pemerintah dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu, perjuangan PKM dapat dikalahkan. Penyokong-penyokong PKM dan orang-orang yang bersimpati dengannya diam seketika.
Tetapi, apabila keputusan PRU 14 memihak kepada mereka dan tertubuhnya kerajaan baru yang memberi ruang kepada mereka untuk bergerak, mereka dengan angkuh bangun semula untuk melanjutkan perjuangan mereka itu. Mereka cuba mengabui mata rakyat dengan menunjolkan pemimpin-pemimpin PKM itu sebagai pejuang kemerdekaan. Itu adalah satu pembohongan yang amat nyata.
Orang Melayu, khususnya, dan rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, anmnya, hendaklah waspada akan kebangkitan semula kumpulan ini. Ancaman ini adalah lebih merbahaya daripada ancaman ICERD. Bukan sahaja orang Melayu/Islam, malah semua rakyat Malaysia yang tidak mahu berada di bawah pemerintahan ala-kominis China, hendaklah bersatu menentang agenda kumpulan ini berhabis-habisan.
Akhir sekali, saya ingin memperingatkan tuan-tuan dan puan-puan, terutama sekali orang Melayu, apa yang dikatakan oleh Arnold J Toynbee, seorang ahli sejarah British, katanya:
“A truly significant mark that the British Empire can leave in Malaya when she withdraws is the transformation of this country into the nineteenth province of China.”
“Tanda yang sangat ketara yang Empayar British boleh tinggalkan di Malaya apabila ia meninggalkannya ialah transformasi negara ini kepada wilayah ke sembilan belas negara China.”
Mahukah kita perkara seperti itu berlaku?
Sekian. Terima kasih.
tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.