Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Saturday, January 18, 2020

Langsung: BN menang di Kimanis - keputusan tak rasmi

Diterbitkan Hari ini 5:12 petang | Dikemaskini Hari ini 7:29 malam

BERITA



LANGSUNG

BN menang di Kimanis


Berdasarkan pengiraan Malaysiakini, calon BN Mohamad Alamin menang PRK Kimanis.

Beliau mengalahkan lawannya Karim Bujang dari Warisan.

Berdasarkan pengiraan tak rasmi, Mohamad Alamin sudah berjaya meraih 11,992 undi, sementara Karim mendapat 10,200 undi.

Jumlah ndi yang diraih Mohd Alamin itu sudah melebihi separuh keseluruhan undi, yang memastikan kemenangna untuknya.

7.10 malam - BN makin hampir catat kemenangan

Mohamad Alamin dari Barisan Nasional semakin hampir mencatat kemenangan dalam PRK Kimanis.

Berdasarkan pengiraan tidak rasmi, beliau mendahului lawannya Karim Bujang dari Warisan dan kini semakin hampir untuk meraih lebih separuh undi yang dianggarkan hari ini.

Bilik Gerakan Umno mula riuh dengan sorakan yang dipimpin oleh pemimpin BN termasuk Ahmad Zahidi Hamidi, Mohamad Hasan, Annuar Musa dan Bung Moktar Radin.

Sebanyak 29,664 pengundi yang layak di Kimanis dan dianggarkan 80 peratus daripada jumlah itu keluar mengundi.

6.50 petang - Seorang penganalisis dalam respons segera berkata jika BN memenangi PRK Kimanis, ia hanya menunjukkan pengundi Kimanis juga dipengaruhi isu nasional.

"Ini menunjukkan ketidakpuasan terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan, telah merebak ke Sabah," kata penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi.

Beliau menambah bahawa rakyat juga tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) Sabah yang akan dilancarkan pada Jun.

Sebelum ini, pelbagai tinjauan mendapati isu dan pembangunan tempatan akan menjadi faktor utama dalam PRK Kimanis.

BN semakin jarakkan diri, mendahului lebih 1,000 undi

6.44 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN kini mendahului lebih 1,000 undi.

Ketika laporan ini ditulis, BN meraih 8,212 undi sementara Warisan 6,820 undi. Ini meletakkan BN di hadapan dengan 1,392 undi.

Sokongan pengundi bukan Islam terhadap Warisan menurun di Simpangan

6.43 petang - ANALISIS: Berdasarkan pengiraan tak rasmi, Warisan sekadar menang tipis di pusat daerah mengundi (PDM) Simpangan.

Warisan meraih 49.81 peratus undi, berbanding BN 49.23 peratus undi. Terdapat juga 0.96 peratus undi yang ditolak.

Walaupun menang, ia bukan petanda yang baik untuk Warisan yang sebelum ini menang dengan selesa di PDM itu pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Pada PRU 2018, Warisan memperoleh 61.32 peratus undi berbanding BN 32.17 peratus BN di Simpangan.

Simpangan kebanyakannya terdiri daripada bumiputera bukan Islam sekitar 73.52 peratus. Kumpulan kedua terbesar adalah pengundi Cina.

Meskipun pengundi Cina hanya terdiri daripada 3.66 peratus di Kimanis, mereka paling ramai bertumpu di PDM Simpangan, iaitu 15.28 peratus daripada kesemua pengundi Cina.

Bumiputera Islam membentuk sembilan peratus di Simpangan manakala etnik lain pula ialah 2.19 peratus.

BN mendahului lebih 500 undi

6.21 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN semakin menjarakkan diri dari Warisan. Setakat laporan ini ditulis, BN mendapat 2,874 undi sementara Warisan 2,270 undi. Ini meletakkan BN di hadapan dengan 504 undi.

BN sedikit di depan pada peringkat awal pengiraan

6.06 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN berada di hadapan sedikit berbanding Warisan.

Ketika laporan ini ditulis, BN meraih 1,491 undi, berbanding Warisan 1,234 undi. Perbezaan 257 undi.

Terdapat sejumlah 29,664 pengundi yang layak. Dianggarkan bahawa lebih daripada 80 peratus daripada jumlah itu keluar mengundi pada PRK kali ini.

6.05 petang - SPR mula umumkan keputusan tidak rasmi.

Jalan sekitar pusat pengiraan undi ditutup

5.30 petang - Polis menutup jalan-jalan sekitar pusat pengiraan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd DUN Banir di Beaufort.

Puluhan polis antirusuhan ditempatkan di sebilangan pusat pengundi sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menunggu ketibaan kotak undi.

5.17 petang - Kotak undi pertama daripada kesemua 69 kotak undi tiba di pusat pengundian.

Pengundian ditutup, kiraan undi bermula

5 petang - Pengundian untuk pilihan raya kecil (PRK) Kimanis telah ditutup dan proses kiraan undi bermula.

PRK ini adalah antara calon BN Mohamad Alamin dan calon Warisan Karim Bujang.

BN disokong oleh PAS dan parti pembangkang tempatan manakala Warisan disokong oleh Pakatan Harapan.Kempen PRK ini bermula pada 4 Jan lalu dan berlangsung selama dua minggu.

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah Aman di Kimanis pada pilihan raya umum 2018 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mematuhi prosedur pilihan raya yang sepatutnya.

Dalam pilihan raya umum lepas, Anifah yang mewakili BN menang tipis dengan 156 undi majoriti.

Anifah meraih 11,942 undi, sementara Karim yang turut bertanding ketika itu, meraih 11,786 undi. Calon ketiga pada saingan itu, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah mendapat 1,300 undi.

Anifah tidak bertanding pada PRK ini tetapi menyokong BN walaupun keluar telah meninggalkan Umno.

Seramai 29,664 pengundi yang layak dalam pilihan raya kecil ini.

Beberapa fakta mengenai pilihan raya kecil Kimanis:
Ini adalah pilihan raya kecil ke-10 sejak pilihan raya umum 2018, dan yang kedua untuk Sabah. Pilihan raya kecil pertama di Sabah ialah PRK Sandakan yang dimenangi DAP pada 11 Mei tahun lepas.

Sehingga kini, Pakatan Harapan telah memenangi lima PRK (Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson, Sandakan) manakala BN memenangi empat PRK (Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai). Warisan yang merupakan sekutu Pakatan Harapan, mewakili gabungan pemerintah dalam PRK Kimanis.

PRK Kimanis akan menjadi pengukur paling jelas dari masyarakat Bumiputera Sabah. PRK di Sandakan sebelum ini adalah kawasan majoriti Cina.

Populasi majoriti di Parlimen Kimanis terdiri daripada bumiputera Islam sekitar 61.93 peratus. Mereka kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Brunei, Bisaya dan Bajau.

Kumpulan kedua terbesar adalah bumiputera bukan Islam sekitar 31.92 peratus, yang kebanyakannya adalah Kadazan-Dusun dan Murut. Cina terdiri hanya 3.66 peratus manakala lain-lain etnik adalah 2.49 peratus.

[Berita lanjut menyusul]

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-