Showing posts with label PRK Kimanis. Show all posts
Showing posts with label PRK Kimanis. Show all posts

Sunday, January 19, 2020

PRK P.176: Isyarat PH ‘kerajaan sepenggal’


SYUKUR ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinanNya, sekali lagi Gagasan Muafakat Nasional menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Sabah yang berlangsung pada 18 Januari lalu.

Justeru itu sekalung tahniah PAS Kedah ucapkan kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Haji Alamin kerana berjaya mengalahkan calon Warisan, Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.

Memang tidak dapat disangkal keputusan tersebut menunjukkan kepada umum bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mendapat sokongan majoriti rakyat lantaran kegagalan menunaikan 100 janji mereka walaupun sudah 20 bulan memerintah negara.

Bertitik tolak dari itu, rakyat mula sedar PH hanya menempah kejayaan pada PRU lalu dengan melakukan penipuan semata-mata di mana tiga janji mereka (PH) yang terbesar iaitu menurunkan harga minyak ke RM1.50, pemansuhan PTPTN dan Tol, gagal dilaksanakan malah berlaku sebaliknya.

Kemenangan penuh bergaya BN itu melambangkan kehendak rakyat di negara ini dan keputusan yang diperolehi meningkat 13 kali ganda berbanding jumlah majoriti undi (156 undi) yang diperolehi semasa PRU ke 14 lalu.

PH harus sedar, Kimanis yang merupakan PRK ke 10 selepas PRU lalu memberi jawapan yang serupa seperti empat PRK yang telah dilalui sebelum ini, Cameron Highland, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai menunjukkan reputasi parti yang menerajui kerajaan amat memilukan.

Maka tidak keterlaluan andai dikatakan mutakhir ini merupakan hari-hari penuh berkabut dan menjadi gelap gelita kepada kerajaan sepenggal PH sementara Gagasan Muafakat Nasional terus kehadapan bekerja kuat untuk menjuarai PRU15 akan datang agar matlamat menjadikan wajah negara Malaysia kembali ceria, bahagia semula dan bertambah sejahtera menjadi kenyataan.

Kesempatan di sini, PAS Kedah tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada para petugas parti itu khususnya dari Kedah yang berhempas pulas menjayakan amanat dan arahan pimpinan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
24 Jamadil Awwal 1441H/ 19 Januari 2020M 

HARAKAHDAILY 
   19/1/2020

Saturday, January 18, 2020

Langsung: BN menang di Kimanis - keputusan tak rasmi

Diterbitkan Hari ini 5:12 petang | Dikemaskini Hari ini 7:29 malam

BERITA



LANGSUNG

BN menang di Kimanis


Berdasarkan pengiraan Malaysiakini, calon BN Mohamad Alamin menang PRK Kimanis.

Beliau mengalahkan lawannya Karim Bujang dari Warisan.

Berdasarkan pengiraan tak rasmi, Mohamad Alamin sudah berjaya meraih 11,992 undi, sementara Karim mendapat 10,200 undi.

Jumlah ndi yang diraih Mohd Alamin itu sudah melebihi separuh keseluruhan undi, yang memastikan kemenangna untuknya.

7.10 malam - BN makin hampir catat kemenangan

Mohamad Alamin dari Barisan Nasional semakin hampir mencatat kemenangan dalam PRK Kimanis.

Berdasarkan pengiraan tidak rasmi, beliau mendahului lawannya Karim Bujang dari Warisan dan kini semakin hampir untuk meraih lebih separuh undi yang dianggarkan hari ini.

Bilik Gerakan Umno mula riuh dengan sorakan yang dipimpin oleh pemimpin BN termasuk Ahmad Zahidi Hamidi, Mohamad Hasan, Annuar Musa dan Bung Moktar Radin.

Sebanyak 29,664 pengundi yang layak di Kimanis dan dianggarkan 80 peratus daripada jumlah itu keluar mengundi.

6.50 petang - Seorang penganalisis dalam respons segera berkata jika BN memenangi PRK Kimanis, ia hanya menunjukkan pengundi Kimanis juga dipengaruhi isu nasional.

"Ini menunjukkan ketidakpuasan terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan, telah merebak ke Sabah," kata penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi.

Beliau menambah bahawa rakyat juga tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) Sabah yang akan dilancarkan pada Jun.

Sebelum ini, pelbagai tinjauan mendapati isu dan pembangunan tempatan akan menjadi faktor utama dalam PRK Kimanis.

BN semakin jarakkan diri, mendahului lebih 1,000 undi

6.44 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN kini mendahului lebih 1,000 undi.

Ketika laporan ini ditulis, BN meraih 8,212 undi sementara Warisan 6,820 undi. Ini meletakkan BN di hadapan dengan 1,392 undi.

Sokongan pengundi bukan Islam terhadap Warisan menurun di Simpangan

6.43 petang - ANALISIS: Berdasarkan pengiraan tak rasmi, Warisan sekadar menang tipis di pusat daerah mengundi (PDM) Simpangan.

Warisan meraih 49.81 peratus undi, berbanding BN 49.23 peratus undi. Terdapat juga 0.96 peratus undi yang ditolak.

Walaupun menang, ia bukan petanda yang baik untuk Warisan yang sebelum ini menang dengan selesa di PDM itu pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Pada PRU 2018, Warisan memperoleh 61.32 peratus undi berbanding BN 32.17 peratus BN di Simpangan.

Simpangan kebanyakannya terdiri daripada bumiputera bukan Islam sekitar 73.52 peratus. Kumpulan kedua terbesar adalah pengundi Cina.

Meskipun pengundi Cina hanya terdiri daripada 3.66 peratus di Kimanis, mereka paling ramai bertumpu di PDM Simpangan, iaitu 15.28 peratus daripada kesemua pengundi Cina.

Bumiputera Islam membentuk sembilan peratus di Simpangan manakala etnik lain pula ialah 2.19 peratus.

BN mendahului lebih 500 undi

6.21 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN semakin menjarakkan diri dari Warisan. Setakat laporan ini ditulis, BN mendapat 2,874 undi sementara Warisan 2,270 undi. Ini meletakkan BN di hadapan dengan 504 undi.

BN sedikit di depan pada peringkat awal pengiraan

6.06 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN berada di hadapan sedikit berbanding Warisan.

Ketika laporan ini ditulis, BN meraih 1,491 undi, berbanding Warisan 1,234 undi. Perbezaan 257 undi.

Terdapat sejumlah 29,664 pengundi yang layak. Dianggarkan bahawa lebih daripada 80 peratus daripada jumlah itu keluar mengundi pada PRK kali ini.

6.05 petang - SPR mula umumkan keputusan tidak rasmi.

Jalan sekitar pusat pengiraan undi ditutup

5.30 petang - Polis menutup jalan-jalan sekitar pusat pengiraan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd DUN Banir di Beaufort.

Puluhan polis antirusuhan ditempatkan di sebilangan pusat pengundi sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menunggu ketibaan kotak undi.

5.17 petang - Kotak undi pertama daripada kesemua 69 kotak undi tiba di pusat pengundian.

Pengundian ditutup, kiraan undi bermula

5 petang - Pengundian untuk pilihan raya kecil (PRK) Kimanis telah ditutup dan proses kiraan undi bermula.

PRK ini adalah antara calon BN Mohamad Alamin dan calon Warisan Karim Bujang.

BN disokong oleh PAS dan parti pembangkang tempatan manakala Warisan disokong oleh Pakatan Harapan.Kempen PRK ini bermula pada 4 Jan lalu dan berlangsung selama dua minggu.

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah Aman di Kimanis pada pilihan raya umum 2018 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mematuhi prosedur pilihan raya yang sepatutnya.

Dalam pilihan raya umum lepas, Anifah yang mewakili BN menang tipis dengan 156 undi majoriti.

Anifah meraih 11,942 undi, sementara Karim yang turut bertanding ketika itu, meraih 11,786 undi. Calon ketiga pada saingan itu, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah mendapat 1,300 undi.

Anifah tidak bertanding pada PRK ini tetapi menyokong BN walaupun keluar telah meninggalkan Umno.

Seramai 29,664 pengundi yang layak dalam pilihan raya kecil ini.

Beberapa fakta mengenai pilihan raya kecil Kimanis:
Ini adalah pilihan raya kecil ke-10 sejak pilihan raya umum 2018, dan yang kedua untuk Sabah. Pilihan raya kecil pertama di Sabah ialah PRK Sandakan yang dimenangi DAP pada 11 Mei tahun lepas.

Sehingga kini, Pakatan Harapan telah memenangi lima PRK (Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson, Sandakan) manakala BN memenangi empat PRK (Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai). Warisan yang merupakan sekutu Pakatan Harapan, mewakili gabungan pemerintah dalam PRK Kimanis.

PRK Kimanis akan menjadi pengukur paling jelas dari masyarakat Bumiputera Sabah. PRK di Sandakan sebelum ini adalah kawasan majoriti Cina.

Populasi majoriti di Parlimen Kimanis terdiri daripada bumiputera Islam sekitar 61.93 peratus. Mereka kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Brunei, Bisaya dan Bajau.

Kumpulan kedua terbesar adalah bumiputera bukan Islam sekitar 31.92 peratus, yang kebanyakannya adalah Kadazan-Dusun dan Murut. Cina terdiri hanya 3.66 peratus manakala lain-lain etnik adalah 2.49 peratus.

[Berita lanjut menyusul]

Sunday, January 12, 2020

Rehatkan ‘kuda tua’ Karim, Najib beritahu pengundi Kimanis

Jason Santos dan Durie Rainer Fong
-January 12, 2020 9:04 AM
Bekas perdana menteri Najib Razak menyampaikan ceramah di kampung Pimping, Kimanis, malam tadi.

KIMANIS: Najib Razak mengkritik calon Warisan bagi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, Karim Bujang malam tadi, dengan bertanya apakah yang telah dilakukan oleh bekas Adun Bongawan selama 5 penggal itu untuk pengundi.

Najib menyifatkan Karim sebagai “kuda tua” yang tidak lagi mampu berbuat apa-apa, menyebabkan kira-kira 500 khalayak yang menghadiri ceramah di Kampung Pimping di sini ketawa.

“Calon Warisan kuda tua. Jika ia kuda tua, ia harus ‘disembelih’.

“Dia wakil rakyat selama 5 penggal. Apa yang dia buat?,” soal bekas perdana menteri itu.

Karim, 67, merupakan Adun Bongawan dari 1990 hingga 2013 semasa beliau masih bersama Umno. Beliau berdepan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Alamin, dalam PRK KImanis Sabtu depan.

Najib berkata, Kimanis memerlukan pemimpin lebih muda dan calon Umno, Mohamad, yang berusia 48 tahun boleh menjadi suara penduduk serta BN di Parlimen.

Beliau berkata, kemenangan BN dalam PRK Kimanis akan membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 kerana “penipuan dan fitnah”.

Bekas presiden Umno itu juga berkata, pemimpin BN tidak pernah cuba mencuri hak Sabah, dengan menambah bahawa beliau bertanggungjawab memperkenalkan dasar yang menghendaki sekurang-kurangnya 90% guru sekolah di Sabah mestilah merupakan rakyat negeri itu.

Katanya, beliau merupakan perdana menteri pertama yang berusaha mengambalikan hak Sabah, bukan Dr Mahathir Mohamad, yang pernah memegang jawatan itu selama 22 tahun sebelum ini.

“Kita juga memulakan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia, tetapi malangnya kita tidak dapat memulakan proses itu. Bagaimanapun memang menjadi niat kerajaan BN untuk memberikannya (hak Sabah),” katanya.

Najib juga berjanji untuk menamatkan program Pas Sementara Sabah (PSS) sekiranya BN berjaya menawan semula Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Dalam pada itu, pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin menegaskan PSS tidak dimulakan oleh BN dengan berkata, Warisan-PH beria-ria mahu menyalahkan BN sehingga mereka “mendorong Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin supaya berbohong”.

“Ia satu penipuan untuk menutup kesilapan mereka,” katanya.

Beliau berkata, rancangan PSS tidak pun melepasi tahap perbincangan jawatankuasa teknikal Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Pendatang Tanpa Izin.

Najib: Shafie patut salahkan diri sendiri bukan Tun Razak, Ghafar

Diterbitkan Hari ini 9:42 pagi

BERITA

PRK KIMANIS | Bekas Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal tidak sepatutnya mengaitkan Allahyarham Abdul Razak Hussein dan Ghafar Baba bagi menutup kegagalannya membangunkan negeri itu sebelum ini.

Sebaliknya kata bekas presiden Umno itu, Shafie harus meletakkan kesalahan itu pada diri sendiri kerana peruntukan yang besar telah diberikan sewaktu beliau memegang jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

"Dia tak boleh salahkan orang lain, waktu dia jadi menteri luar bandar diluluskan satu peruntukan yang besar, saya dimaklumkan lebih kurang RM35 bilion telah diletakkan sepanjang tempoh jadi menteri luar bandar.

"Apa alasan dia bila projek lebuharaya Pan Borneo terbengkalai hari ini, itu diluluskan kerajaan perekutuan untuk rakyat Sabah, sepatutnya Pan Borneo sudah siap hari ini kalau BN berkuasa

"Projek-projek seperti naik taraf sekolah daif RM1bilion yang saya dah luluskan untuk Sabah, apa kedudukan projek ini," katanya ketika ditemui ketika berkempen di Kimanis, malam tadi.

Sebelum ini ketika berkempen di Kimanis, Shafie mendakwa jika beliau dikatakan gagal membangunkan Sabah, dua bekas menteri luar Razak dan Ghafar juga turut gagal berbuat demikian.

Shafie berkata demikian sebagai menjawab dakwaan BN bahawa beliau gagal membangunkan negeri itu ketika menjadi menteri kabinet.

Ia susulan kenyataan Shafie yang mendakwa BN gagal membangunkan Sabah sejak puluhan tahun lalu ketika berkuasa.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Dalam pada itu Najib berkata, BN melalui kepimpinannya adalah pihak yang pertama berusaha mengembalikan hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beberapa langkah drastik telah diambil kepimpinanya ketika itu sebagai usaha ke arah mengembalikan hak Sabah.

"Kita buat cara administratif, cara pertamanya guru-guru, lebih 90 peratus guru di Sabah adalah anak Sabah. Apa yang boleh dibuat buat secara pentadbiran kita buat cara pentadbiran, dari segi perundangan ambil masa sikit," katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengulas dakwaan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bahawa pas sementara Sabah (PSS) adalah cadangan BN.

Najib berkata BN tidak pernah berhasrat melaksanakan PSS meskipun ia dibangkitkan, tetapi kerajaan BN menolak cadangan tersebut.

"Tidak, sebab walaupun ada cadangan berbangkit setelah dibuat suruhanjaya siasatan diraja (RC), tetapi cadangan itu tidak dilaksanakan, tidak diterima BN.

"Di mana kita tiada ada niat nak laksana PSS, tapi Warisan dan PH menyatakan ini hasrat mereka," katanya.

Sunday, January 5, 2020

#PrkKimanis: Karim Bujang Hairan, Rakyat Lagi Hairan

 rhg
oleh Ab Jalil Backer


Calon Warisan bagi PRK Kimanis Karim Bujang menyatakan beliau hairan melihat Najib Razak disambut baik di Kimanis walaupun bekas Perdana Menteri itu berhadapan dengan puluhan tuduhan penyelewengan.

Jika Karim tahu budaya orang Malaysia tentulah beliau faham bahawa rakyat negara ini jenis tahu mengenang jasa dan menghormati bekas pemimpin.

Jika Karim hairan melihat orang sambut Najib Razak, rakyat lagi hairan melihat magik dan sihir Pakatan Harapan (PH).

Rakyat hairan kerana sebaik PH menang individu yang berada dalam siasatan SPRM berkaitan penyelewengan kira-kira RM1.5 bilion dana awam telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.

Rakyat hairan kes Shafie Apdal diklasifikasikan sebagai Non Further Action (NFA) oleh Peguam Negara lantikan politik.

Rakyat juga hairan melihat Lim Guan Eng yang berhadapan perbicaraan rasuah di Mahkamah dilantik sebagai Menteri Kewangan dan kes beliau ditarik balik oleh Peguam Negara lantikan PH.

Rakyat juga hairan tiba-tiba sahaja Warisan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sedangkan project IC di sabah berlaku pada zaman beliau menjadi Perdana Menteri.

Paling rakyat hairan BN yang menang di negeri Sabah dalam PRU lepas, namun akhirnya Warisan yang memerintah akibat permainan kotor di belakang tabir dengan bantuan Persekutuan.

Saturday, January 4, 2020

PRK Kimanis: Pertandingan satu lawan satu antara BN, Warisan

Kow Gah Chie & Haspaizi Zain
Diterbitkan Hari ini 9:54 pagi


BERITA

PRK KIMANIS | Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan, Karim Bujang dan calon BN Mohamad Alamin.

Ini selepas tiada calon bebas hadir di pusat penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort apabila proses penyerahan borang pencalonan ditutup pada jam 10 pagi.

Pegawai Pengurus PRK Kimanis Jupari@Jupry Etok mengumumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pencalonan daripada kedua-dua calon.

Mohamad merupakan calon pertama tiba pada jam 9.07 pagi dan selesai menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.27 pagi.

Manakala Karim yang tiba pada jam 9.13 pagi selesai mengisi borang pencalonan pada jam 9.30 pagi.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Beliau mendapat 11,942 undi berbanding 11,786 undi yang diperoleh Karim manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah, mendapat 1,300 undi.

[Berita penuh menyusul]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-