Thursday, January 2, 2020

Penganjur demo Gamis akan dipanggil polis

Nicholas Chung
-January 1, 2020 8:17 PM


PETALING JAYA: Polis akan memanggil penganjur Himpunan Pertahan Jawi, Haramkan Dong Zong di ibu negara petang tadi kerana gagal memenuhi syarat-syarat Akta Perhimpunan Awam.

Ketua Polis Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata penganjur tunjuk perasaan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) itu tidak memberikan sebarang notis untuk berhimpun.

“Oleh kerana mereka tidak beri sebarang notis, satu laporan polis dibuat dan siasatan akan dijalankan dengan sewajarnya,” katanya kepada FMT.

Perkara itu disiasat bawah Seksyen 9(5) akta itu yang memperuntukkan hukuman bagi penganjur himpunan aman yang gagal memberikan notis 10 hari.

Terdahulu, kira-kira 500 orang berarak dari Masjid Jamek ke Kompleks Sogo mendesak kumpulan pendidikan Cina, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menghentikan bantahan terhadap pengenalan Jawi dalam silibus Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular.

Jika tidak, Presiden Gamis, Saifullah Baiduri berkata mereka akan mengerakkan mahasiswa seluruh negara menggesa Dong Zong diharamkan.

Sebelum ini, Dong Zong merancang suatu persidangan tertutup di Kajang bulan lalu bagi membincangkan isu pengenalan Jawi namun dibatalkan atas perintah mahkamah.

Polis memohon perintah mahkamah itu bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, selepas menerima banyak laporan polis dari seluruh negara berhubung persidangan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-