Saturday, February 29, 2020

Jangan persoal ketetapan Agong

Semua pihak kena terima dengan hati lapang pelantikan PM ke-8
29/02/2020


BANGI, 5 Rejab 1441H, Sabtu – Semua pihak dinasihat menerima ketetapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof menegaskan bahawa ketetapan YDPA tidak boleh dipersoal dan dirayu.

Ini kerana Perkara 40(2) secara jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:(a) melantik seorang Perdana Menteri.

“Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang amat luas dalam melaksanakan budi bicara ini. Dalam Perkara 43(2) (a) disebut bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang “pada hematnya mungkin” mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri;

“Perkataan “pada hematnya” dan perkataan “mungkin” menggambarkan betapa luasnya budi bicara baginda,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, memperkenan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Perkara itu diputuskan Baginda selepas mendapat representasi daripada semua ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Fathi berkata, rakyat sudah bosan dengan polemik dan pergolakan politik.

“Rakyat mahukan pentadbiran yang lancar bagi memacu pembangunan negara. YDPA telah membuat keputusan yang jelas.

“Oleh itu, dinasihatkan agar semua pihak menerima dengan hati yang lapang dan tidak mempersoal ketetapan YDPA,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-