Saturday, February 29, 2020

'Bohong untuk jadi PM?' - Mukhriz persoal jumlah MP Bersatu sokong Muhyiddin


BERITA

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir mempersoalkan majoriti sokongan terhadap Muhyiddin Yassin, apabila bukan semua anggota parlimen Bersatu menyokong presiden parti itu sebagai perdana menteri.

Mukhriz berkata enam anggota parlimen Bersatu menyuarakan sokongan kepada Mahathir.

Selain beliau dan Mahathir sendiri, Mukhriz berkata anggota parlimen tersebut ialah Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Syed Saddiq (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah).

"Bagaimana diakui 36 anggota parlimen Bersatu menyokong Muhyiddin sebagai PM jika ada enam penyokong Mahathir?

"Bohong untuk jadi PM?" soal menteri besar Kedah itu di Facebook.

Hantaran itu turut disertakan dengan kenyataan media Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya yang menyatakan parti itu menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang "dihadiri oleh 36 ahli parlimen".

Bersatu hanya mempunyai 26 ahli parlimen sebelum 10 ahli parlimen yang meninggalkan PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali menyertai parti itu.

Bagaimanapun pengiraan Mukhriz itu mungkin tidak lagi relevan.

Terdahulu hari ini Maszlee mengisytiharkan sokongannya terhadap Mahathir.

Bagaimanapun tiga jam kemudian, Maszlee kemudian mengumumkan beliau bersyukur Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Eddin pula pada mulanya dilaporkan sedang menuju ke Yayasan Albukhary, tempat pemimpin PH berkumpul, namun dilihat hadir ke kediaman Muhyiddin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-