Sunday, February 23, 2020

KM Sarawak elak wartawan, MP GPS ada di Kuala Lumpur

Diterbitkan Hari ini 5:20 petang

BERITA

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg mengelak pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama anggota parlimen dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) selama dua jam di Kuala Lumpur, hari ini.

Tiada seorang anggota Parlimen yang didekati pemberita memberi maklum balas apabila ditanya berkenaan tujuan mesyuarat hari ini, yang diadakan di Hotel Ritz Carlton.

GPS merupakan gabungan empat parti dan memiliki 18 anggota parlimen.

Walaupun Abang Johari sudah meninggalkan hotel itu, sejumlah anggota parlimen dan pemimpin parti dilihat masih berada di sana.

Mereka dipercayai sebagai kumpulan kedua anggota parlimen yang berkumpul hari ini, selepas perkumpulan para anggota parlimen yang menyokong Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Mesyuarat-mesyuarat ini tampak diadakan serentak dengan mesyuarat pemimpin Bersatu di Petaling Jaya.

Baca: Desas-desus pembentukan k'jaan baru tercetus

Mesyuarat yang diadakan pemimpin GPS dan penyokong Azmin, ditambah pula dengan pemimpin Bersatu yang mengunci mulut berkenaan mesyuarat mereka, membawa kepada spekulasi kemungkinan pertukaran kerajaan.

Secara rasmi, Abang Johari sebelum ini berkata GPS akan menyokong Mahathir sebagai perdana menteri jika kedudukannya dicabar.

Beberapa minggu kebelakangan, timbul dakwaan ada kumpulan yang mengadakan usaha mengumpul sokongan 138 anggota parlimen daripada pelbagai parti untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.

Turut dilaporkan adalah langkah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang cuba mendapatkan sokongan pemimpin parti itu untuk menyokong Mahathir.

PAS yang memiliki 18 anggota parlimen sebelum ini pula menyuarakan hasrat untuk membentangkan usul percaya kepadanya.

Bagaimanapun hasrat itu dibatalkan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH menyerahkan kepada Mahathir untuk menetapkan tempoh untuknya memegang jawatan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-