Saturday, February 15, 2020

Lelaki pijak al-Quran ditahan

MyMetro
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my

SUSPEK ditahan polis di Johor Bahru

LELAKI yang memijak al-Quran dan membuat rakaman suara menghina Islam serta membuat siaran langsung di Facebook, Khamis lalu sudah ditahan polis di Johor Bahru, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, M Kumar berkata, lelaki itu ditahan 1.40 tengah hari.

“Suspek ditahan tengah hari tadi di sekitar bandar raya ini.

“Esok kita akan memohon perintah reman ke atas suspek daripada Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membantu siasatan lanjut kes ini, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khamis lalu, video suspek yang memijak al-Quran dan menghina Islam yang dibuat secara langsung di Facebook menimbulkan kemarahan ramai umat Islam.

Rakaman video itu juga tular menyebabkan suspek dilaporkan dipukul orang beberapa individu yang marah dengan perbuatannya itu.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, dilaporkan berkata, polis menerima aduan daripada seorang pengurus projek berusia 34 tahun mengenai insiden itu yang disedarinya ketika sedang melayari Facebook.

“Pengurus projek itu sedang melayari Facebook sebelum ternampak satu paparan daripada kenalannya.

“Paparan berkenaan menunjukkan seorang lelaki yang membuat siaran langsung dan dirakam semula oleh seorang pemilik laman sosial itu.

“Pengadu kemudian ke balai membuat laporan polis pada jam 2.56 petang Khamis lalu, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi hukuman di bawah Seksyen 295, ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda

atau kedua-duanya sekali. Seksyen 298 pula boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala hukuman di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula membawa hukuman penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

“Polis menasihatkan kepada orang awam berhati-hati menyebarkan video atau memuat naik video yang boleh menyentuh sensitiviti kaum terutama sekali membabitkan isu keagamaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 8:14 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-