Thursday, February 27, 2020

Mahathir di Istana Negara mengadap Agong


BERITA

Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan rasmi Dr Mahathir dilihat memasuki perkarangan Istana Negara pada 10.57 pagi.

Bernama masih cuba mendapatkan pengesahan berhubung tujuan kehadiran Dr Mahathir di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong selesai menemu bual ahli-ahli Parlimen secara individu pada Isnin dan Selasa susulan kemelut politik negara berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa.

Seri Paduka mahu mendengar sendiri pandangan setiap Ahli Parlimen dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.

Ini menyaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen subur di negara ini apabila Al-Sultan Abdullah menjalankan peranan dalam mendapatkan fakta bagi membantu baginda membuat keputusan lanjut berhubung masalah tersebut.

Dr Mahathir pada Isnin, meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh serta pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa jam kemudian Seri Paduka melantiknya sebagai Perdana Menteri interim.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-