Thursday, February 13, 2020

Pemandu mabuk bakal dipenjara 20 tahun



Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu di Dewan Saksama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri hari ini.
KERAJAAN akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi meningkatkan hukuman lebih berat kepada individu yang memandu secara berbahaya dan mabuk hingga menyebabkan kematian.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, pindaan undang-undang itu membabitkan denda lebih tinggi termasuk hukuman penjara sehingga 20 tahun terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, kerajaan menyerahkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk mengubal akta berkenaan kerana ia di bawah kementeriannya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Secara prinsipnya Kerajaan bersetuju dengan penggubalan akta itu kerana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian perlu menerima hukuman yang setimpal,” katanya Sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) di Putrajaya tadi.

Turut hadir, Timbalan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed HanipaMaidin.

Pada sidang media 29 Januari lalu, Anthony Loke memaklumkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, cadangan yang mendapat persetujuan kabinet itu akan dibincangkan bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi membincangkannya dari sudut perundangan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada seisi kedua pada Jun atau Julai ini.

Vui Keong berkata, pada masa ini pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Menurut beliau, akta sedia ada tidak mencukupi dan pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian perlu menerima hukuman lebih setimpal.

Menjawab pertanyaan berhubung cadangan pakar kriminologi supaya pemandu mabuk yang membabitkan kemalangan maut didakwa mengikut 304 Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat) beliau berkata, kesalahan jalan raya adalah tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut beliau, pihak mahkamah akan memutuskan setiap kesalahan dilakukan pemandu termasuk menetapkan tindakan undang-undang kepada pesalah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 7:59 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-