Friday, March 20, 2020

Covid-19: Kematian di Itali melebihi China

MyMetro
AFP

KENDERAAN tentera Itali kelihatan di tanah perkuburan di Bergamo untuk menghantar keranda mangsa Covid-19. FOTO Reuters.

Rom: Itali melepasi angka kematian akibat Covid-19 direkodkan China dan berdepan kemungkinan melanjutkan perintah berkurung yang boleh memberi kesan buruk kepada ekonominya sejak Perang Dunia Kedua.

Semalam, negara itu mencatatkan 3,405 kematian selepas 427 kematian baharu direkodkan pada Rabu.

China sebaliknya, mencatat 3,245 kematian, angka rasmi dimaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak hari pertama penularan wabak itu yang bermula penghujung Disember lalu.

Sedangkan semua kematian di Itali berlaku dalam tempoh empat minggu yang bermula dengan hanya beberapa kes di Milan, sebelum ia merebak pantas ke seluruh negara itu.

Iran pula merekodkan 1,284 kematian, namun angka rasmi itu dipersoal pakar perubatan, sementara Sepanyol mencatat 767 kematian dan Perancis 264 kematian.

Semalam, trak tentera Itali dilihat menghantar keranda dibuat baharu ke tanah perkuburan di Bergamo, bandar utara Itali yang secara tidak langsung menjadi pusat pandemik global.

Pengebumian hanya dilakukan dalam tempoh 30 minit bagi setiap jenazah bagi mengelak penyebaran wabak dalam kalangan orang ramai.

Agensi berita ANSA Itali melaporkan kematian dua doktor di pekan Como di barat Bergamo menjadikan jumlah kematian petugas perubatan akibat wabak itu cecah 13 orang.

“Gunakan akal anda dan bertindaklah dengan berhati-hati,” gesa Perdana Menteri Itali Guiseppe Conte kepada rakyatnya khusus bagi mengekang penularan wabak.

Katanya, “Kita tidak boleh memandang remeh apa-apa dan sentiasa bertindak berdasarkan senario terburuk.”

Lagi berita berkaitan Covid-19

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 11:14 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-