Showing posts with label Covid-19. Show all posts
Showing posts with label Covid-19. Show all posts

Thursday, December 14, 2023

Covid-19: KKM mungkin keluar arahan ambil dos penggalak tak lama lagi

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
- 14 Dec 2023

Pengambilan dos penggalak baharu digalakkan terutamanya bagi golongan rentan.
Dzulkefly Ahmad berkata, kadar pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 ialah 54%, manakala kadar bagi dos ketiga ‘agak rendah’.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mungkin mengeluarkan arahan baharu untuk pengambilan dos penggalak Covid-19 tidak lama lagi, terutama bagi mereka yang lebih rentan terhadap komplikasi jangkitan virus itu.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kadar pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 ialah 54%, manakala kadar untuk dos ketiga “agak rendah”.

“Mungkin sedikit waktu lagi KKM akan keluar arahan untuk (ambil) dos penggalak, terutama mereka daripada kumpulan rentan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KKM pagi ini.

Dilaporkan semalam jumlah kes Covid-19 meningkat 88% kepada 12,757 minggu lepas, berbanding 6,796 pada minggu sebelumnya.

Dzulkefly juga berkata, stok vaksin mencukupi dan belum tamat tempoh.

“Vaksin yang kita ada masih boleh melindungi orang ramai daripada sebarang varian baharu Covid-19 di luar sana.”

Beliau menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka di kawasan sesak dan mengamalkan kuarantin kendiri selama lima hari jika didapati positif Covid-19, terutamanya menjelang musim perayaan.

Dalam kemas kini Covid-19 semalam, Ketua Pengarah kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata, majoriti daripada 12,757 kes yang dilaporkan sepanjang minggu lepas menunjukkan simptom ringan dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital.

Katanya, walaupun jumlah kes meningkat mendadak, ini sejajar dengan trend global pada akhir tahun. Keadaan di Malaysia terkawal dengan kemudahan penjagaan kesihatan beroperasi dalam kemampuan mereka, tambahnya.

Radzi juga berkata, KKM menjangkakan peningkatan kes Covid-19 selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu, selain disebabkan cuti sekolah yang bermula pada Sabtu.

Thursday, December 7, 2023

Kes Covid-19 meningkat, jangan abai gejala seperti selesema - MMA

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Dec 7, 2023 6:31 PM
Peningkatan kes Covid-19 dengan kebanyakan pesakit dilapor mengalami gejala ringan menimbulkan kebimbangan bahawa ramai pesakit mungkin mengabaikan prosedur yang boleh mengelakkan wabak itu daripada merebak, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini mengingatkan dua langka penting untuk diambil bagi mereka yang mengalami simptom Covid-19 iaitu menjalani ujian dan kuarantin kendiri.

"Mereka yang mengalami simptom seperti selesema, walaupun ringan, harus mengambil langkah bertanggungjawab dalam ujian kendiri dan segera mengasingkan diri untuk tempoh yang ditetapkan jika didapati positif Covid-19.

"Kita masih perlu melindungi mereka yang rentan yang berisiko mengalami Covid-19 yang teruk.

"Individu berisiko tinggi perlu memastikan mereka memakai pelitup muka apabila berada di hadapan orang lain dan mempertimbangkan untuk mengambil do penggalak (booster) yang disyorkan," katanya.

Ahad lalu, Kementerian Kesihatan dilaporkan berkata jumlah kes baru Covid-19 meningkat sebanyak 57.3 peratus kepada 3,626 kes minggu lepas berbanding 2,305 kes yang dicatatkan minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan juga berkata 48 peratus daripada kes itu melibatkan mereka yang berumur antara 20 dan 40 tahun, dengan lebih 98 peratus daripadanya hanya mengalami simptom ringan.

Menurut Radzi, empat varian Omicron baru dilaporkan dalam tempoh sama, yang kesemuanya merupakan varian yang membimbangkan.

Tahun lepas, formulasi vaksin Covid-19 telah dikemas kini kepada formulasi bivalen yang menyasarkan varian Omicron serta strain asal yang pertama kali dikesan di Wuhan, China.

Formulasi tahun ini dikemas kini dengan formulasi monovalen berdasarkan varian XBB.1.5.

Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan vaksinasi semula untuk melindungi diri daripada varian Omicron - dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas dos sebelum ini - terutamanya bagi individu dalam kalangan populasi sasaran, termasuk kakitangan kesihatan dan individu lemah imun.

Ditanya sama ada ketiadaan formulasi vaksin Covid-19 baru yang dikemas kini di Malaysia turut menjadi punca kebimbangan tersebut, Azizan berkata peratusan mereka yang belum mengambil dos penggalak masih tinggi.

"Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini harus mempertimbangkan untuk mengambil dos penggalak kerana ia masih melindungi daripada Covid-19 yang teruk," tegasnya.

Sementara itu, dua pakar kesihatan awam lain menyuarakan pandangan serupa bahawa langkah waspada berhubung protokal kesihatan perlu diambil berikutan peningkatan kes Covid-19 di dalam dan luar negara.

Pensyarah Utama Perubatan Jabatan Kesihatan Awam UiTM, Dr Khalid Ibrahim berkata jumlah kes Covid-19 akan terus meningkat dan menurun dalam "gelombang kecil", justeru lonjakan kes jangkitan sepatutnya telah dijangka.

“Ini kerana virus itu terus bermutasi.

"Sekali-sekala, akan ada varian baru yang dapat mengelakkan imuniti tubuh sedia ada," kata Khalid kepada Malaysiakini.

Ketika kemuncak pandemik Covid-19, sejumlah kes dicatatkan di negara-negara ketika memasuki musim dingin yang sering dikaitkan dengan penyakit pernafasan.

"Sesetengah negara mengaitkan lonjakan (sekarang) ini dengan varian baru BA 2.86. Saya setakat ini belum tahu mengenai Malaysia," katanya sambil menambah kajian berkaitan akan dijalankan oleh bahagian virologi Institut Penyelidikan Perubatan.

“Biasanya genome typing akan dijalankan apabila hospital mengesyaki varian baru dengan tahap virulensi berbeza daripada varian sedia ada,” katanya.

[Baca berita penuh]

Sunday, December 3, 2023

Kes Covid-19 meningkat 57.3 peratus pada 19 hingga 25 Nov

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 3, 2023 8:16 PM

Sebanyak 3,626 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 Nov lepas, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata majoriti kes iaitu 48 peratus melibatkan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Beliau berkata kes mingguan COVID-19 dikesan telah melepasi angka 1,000 pada setiap minggu sejak ME 41/2023 hingga ME 47/2023 dengan kadar peningkatan antara 7.1 hingga 57.3 peratus.

Dr Muhammad Radzi berkata terdapat lapan kluster COVID-19 yang masih aktif dilaporkan dengan 121 kes terlibat dalam kluster berkenaan.

"Jumlah kumulatif kluster yang dilaporkan hingga ME 47/2023 ialah 7,248. Majoriti kluster yang dicatatkan ialah kluster pendidikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk yang disyaki virus itu ke fasiliti kesihatan meningkat kepada 2.9 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 47/2023 berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata pada ME 47/2023, pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 0.4 peratus, manakala pengisian katil bukan kritikal COVID-19 (0.9 peratus) dan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) kekal pada 0.2 peratus.

Meskipun terdapat peningkatan kes COVID-19 menurut beliau, keadaan adalah terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Beliau berkata sebanyak empat varian Omicron baharu dilaporkan pada ME 47/2023 yang kesemuanya terdiri daripada varian membimbangkan (VOC).

Dr Muhammad Radzi berkata jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) ialah 28,102 kes dengan 27,297 kes merupakan VOC, manakala 805 kes VOI.

Bagi VOC, 72.8 peratus terdiri daripada varian Omicron, diikuti 26.3 peratus varian Delta dan selebihnya varian Beta dan Alpha, sementara bagi kes VOI, 785 kes (97.5 peratus) currently circulating VOI (519 kes XBB.1.16 dan sublineages, 251 kes XBB.1.5 dan sublineages, serta 15 kes EG.5 dan sublineages) telah dilaporkan.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Radzi berkata dua kes varian Omicron baharu BA.2.86 dilaporkan di Malaysia pada ketika ini dengan kedua-dua kes dirawat sebagai pesakit luar dan dalam keadaan stabil.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini melaporkan peningkatan varian BA.2.86 yang pertama kalinya dilaporkan pada 24 Julai lepas dan diklasifikasikan sebagai VOI.

Sehingga kini, terdapat hampir 46 negara melaporkan varian BA.2.86, namun tiada perubahan dari segi klinikal dan keterukan disebabkan varian berkenaan.

- Bernama

Tuesday, March 7, 2023

Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam meningkat

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Mar 7, 2023 1:13 PM
Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi berdasarkan kategori pada Minggu Epidemiologi kesembilan 2023 (ME 9/2023) berbanding ME 8/2023 meningkat 33 peratus bagi kategori satu hingga lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata perbandingan kes baru, kes sembuh dan kes kematian Covid-19 antara ME 8/2023 dan ME 9/2023 (26 Feb hingga 4 Mac) menunjukkan bilangan kes baru meningkat 5.2 peratus (1,367 kepada 1,438 kes), bilangan kes sembuh menurun 8.8 peratus (1,497 kepada 1,365 kes) dan bilangan kes kematian meningkat 300 peratus (dua kepada lapan kes).

“Bagi kes positif Covid-19 yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara pula menunjukkan penurunan dan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 9/2023 berbanding minggu sebelumnya menunjukkan bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun 12.2 peratus.

“Sementara bilangan kes Covid-19 baru yang menjalani pemantauan di rumah meningkat 321.7 peratus dan bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun 14.3 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dari 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 4 Mac 2023 (ME 9/2023), kumulatif kes baru ialah 5,043,626 kes manakala kumulatif kes sembuh sebanyak 4,997,806.

“Purata kes aktif ialah 8,851, kumulatif kes kematian 36,965 dan kumulatif kluster sebanyak 7,172 dengan dua kluster aktif,” katanya.

Selain itu, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 pada ME 9/2023 berbanding ME 8/2023 adalah katil bukan kritikal meningkat satu peratus, katil Unit Rawatan Rapi (ICU) tiada perubahan iaitu kekal pada dua peratus dan peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun pada 0.2 peratus.

“Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk kekal pada 2.8 peratus pada ME 9/2023 dari 26 Feb hingga 4 Mac berbanding ME 8/2023,” katanya.

Dia berkata survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (Sari) bagi Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 17 sampel ILI dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 2.4 peratus pada ME 9/2023 dan tiada sampel SARI dikesan positif Covid-19 pada minggu sama.

-Bernama

Tuesday, January 3, 2023

Covid-19: Bersatu gesa k'jaan sekat kemasukan pelancong China

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 3, 2023 10:04 AM
Pemuda Bersatu (Armada) menggesa kerajaan menyekat kemasukan pelancong China buat sementara waktu berikutan lonjakan kes Covid-19 di negara itu.

Ketuanya, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata kerajaan perlu memantau perkembangan Covid-19 yang amat teruk di China seperti yang dilaporkan media-media antarabangsa.

"Tindakan tangkas dan tegas perlu segera diambil bagi mengelak penularan yang berlaku diluar jangka seperti mana yang telah berlaku pada 2020 yang lalu khususnya melibatkan pergerakan keluar-masuk manusia di semua pintu masuk sempadan negara.

"Pihak kerajaan mesti menghalang kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu sehinggalah kes harian di China menurun," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Fahysal berkata gesaan itu juga selari dengan gesaan Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia, En Uzaidi Udanis bahawa Malaysia mesti mengambil pengajaran daripada gelombang pertama dan kedua Covid-19 yang meranapkan industri pelancongan negara.
"Kerajaan Malaysia wajib mengambil pengajaran daripada kesilapan kerajaan Pakatan Harapan pada Febuari 2020 yang lambat menyekat kemasukan pelancong daripada negara berisiko.

"Kesilapan kerajaan pada ketika itu mengakibatkan kematian ribuan rakyat dan kemusnahan ekonomi yang sampai sekarang masih belum pulih.

“Armada mahu kepentingan rakyat diutamakan berbanding hal-hal lain dalam soal ancaman Covid-19 yang terbaru kini," katanya.

Sebelum ini PAS turut meminta kerajaan agar menangguhkan kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu, seperti yang dilakukan oleh beberapa negara lain.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin mengingatkan kerajaan supaya waspada dengan penularan varian baru virus tersebut, memandangkan republik itu membenarkan rakyatnya mengembara dengan kes bilangan yang sedang melonjak.

Semalam Kementerian Kesihatan memaklumkan dua varian Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini telah dikesan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata setakat 31 Dis lepas, terdapat sejumlah 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.

Bagaimanapun, dia berkata belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan kedua-dua varian.

Sunday, January 1, 2023

Tiong gesa jangan takutkan pelancong dari China

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 1, 2023 10:05 PM
Menteri Pelancongan, Tiong King Sing meminta orang ramai berhati-hati terhadap komen mereka berhubung ketibaan pelancong dari China susulan pembukaan semula sempadan negara itu.

Ini berikutan kebimbangan kedatangan pelancong dari China akan menyebabkan peningkatan semula kes Covid-19 seperti yang dihadapi negara itu ketika ini.

Dalam catatan di Facebook yang ditulis dalam bahasa Cina hari ini, Tiong berkata pelancong dari China tidak sewajarnya merasa tersisih untuk datang ke negara ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggesa semua orang supaya berhati-hati dalam kata-kata dan tindakan anda, jangan membuat komen yang tidak mesra sebelum anda mengetahui gambaran penuh.

“Jangan merosakkan persahabatan antara Malaysia dan China, atau wujudkan tanggapan bahawa kita tidak mengalu-alukan kedatangan pelancong dari China,” katanya.

Dia menambah sebarang persoalan atau keraguan perlu dibangkitkan melalui "saluran yang betul" bagi mencapai situasi menang-menang.

Awal bulan lalu, China menamatkan dasar "sifar-Covid" bagi membendung wabak berkenaan dengan pembukaan semula sempadan negara ini.

Bagaimanapun, penamatan dasar sifar-Covid turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya.

Timbul kebimbangan Beijing tidak memaklumkan mengenai penularan sebenar Covid-19 di negara itu ketika ini, di mana bilangan kes baru dipercayai oleh beberapa pakar berjumlah jutaan setiap hari.

Kementerian Kesihatan memaklumkan akan melakukan ujian ke atas semua pelancong dari China - termasuk sampel air kumbahan daripada pesawat yang dinaiki mereka.

Sesetengah pihak seperti PAS menggesa kerajaan menangguhkan kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu, seperti yang dilakukan beberapa negara lain.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan turut menggalakkan orang ramai mendapatkan dos penggalak berikutan jangkaan kemasukan pelancong China ke negara ini.

Namun tidak dapat dipastikan bila vaksin bivalent baru - yang jauh lebih berkesan daripada vaksin sebelum ini bagi menghadapi ancaman Omicron termasuk BA.5 - akan diberikan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata vaksin bivalent - yang sepatutnya diterima Malaysia pada November - mungkin hanya dapat diberikan pada penghujung Januari.

Sempadan China dibuka semula pada 8 Jan.

Saturday, December 31, 2022

COVID-19: Tujuh kes import antara 583 kes baharu

wartarakyat.com.my
By Wartawan WartaRakyat
-December 31, 2022
SEBANYAK 583 kes baharu Covid-19 direkodkan di seluruh negara, semalam dengan tujuh daripadanya melibatkan kes import.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal KKMNow, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu meningkat kepada 5,026,164 kes.

Data sama turut merekodkan satu kematian baharu akibat Covid-19, menjadikan angka keseluruhan korban meningkat kepada 36,853 orang.

Selain itu, sebanyak 930 kes sembuh pula dilaporkan, menjadikan angka keseluruhan meningkat kepada 4,976,990 kes.

Sementara itu, secara keseluruhannya, Malaysia masih mempunyai 12,322 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 94.6 peratus bersamaan 11,653 kes sedang dalam kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, terdapat 637 atau 5.2 peratus mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (0), unit rawatan rapi (ICU) (16) dengan 16 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kini, kadar penggunaan wad ICU di paras 65.6 peratus, alat bantuan pernafasan (39 peratus) dan katil hospital (70.6 peratus).

Friday, December 30, 2022

K'jaan digesa tangguh kemasukan pelancong China

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Dec 30, 2022 7:30 AM
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda.

Presiden Mata Mohd Khalid Harun berkata lonjakan ketara kes Covid-19 di China baru-baru ini meningkatkan lagi potensi varian baru yang bakal muncul sekali gus memberi kegusaran kepada rakyat Malaysia khususnya pemain industri pelancongan.

“Kita semua sedia maklum hospital di seluruh China telah dibelenggu oleh letupan kes Covid-19 berikutan keputusan Beijing untuk menarik balik peraturan ketat mereka.

“Trauma yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan akibat Covid-19 masih belum selesai malah banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat Covid-19 dengan kerugian berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun yang lalu,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Justeru, dia berharap perkara seumpama itu tidak berulang memandangkan pemain industri pelancongan amat terkesan sebelum ini dan masih dalam proses pemulihan.

Mohd Khalid juga berkata banyak negara telah memperketat kemasukan pelancong atau ahli perniagaan dari China buat masa ini bagi menyekat penularan virus Covid-19.

Dia turut menasihati pemain industri pelancongan Malaysia agar mengalihkan perniagaan mereka kepada pelancong dari Timur Tengah dan Eropah tanpa bergantung kepada China buat masa ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan susulan pembukaan semula sempadan China.

China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.

-Bernama

Wednesday, August 31, 2022

Dr M disahkan positif Covid-19

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 31, 2022 11:31 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, 97 disahkan positif Covid-19.

Pejabat Dr Mahathir dalam satu kenyataan memaklumkan dia dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemantauan buat beberapa hari seperti yang dinasihatkan doktor.

Kenyataan dua perenggan dari pejabat Dr Mahathir bagaimanapun tidak menyebut keadaan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Mahathir adalah perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia dan pernah menyandang jawatan itu sebanyak dua kali.

Dia mula dilantik sebagai perdana menteri pada tahun 1981 bagi menggantikan Hussein Onn dan meletakkan jawatan pada 2003.

Mahathir kemudian dilantik semula sebagai perdana menteri kali kedua apabila gabungan politik yang diketuainya, Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum (PRU) 2018 dan berkhidmat selama 22 bulan.

Thursday, April 21, 2022

Mungkin catat 20,000 kes Covid-19 selepas Aidilfitri, pakar kesihatan beri amaran

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-April 20, 2022 11:15 PM

Kerajaan membenarkan rakyat balik kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

PETALING JAYA: Seorang pakar kesihatan awam memberi amaran jangkitan harian Covid-19 mungkin meningkat kepada 20,000 kes selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ini kerana kebanyakan rakyat akan pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri, selain kadar suntikan dos penggalak yang rendah dalam kalangan penduduk umum dan pengambilan vaksin perlahan oleh kanak-kanak.

Semalam, Malaysia mencatatkan 6,069 kes baharu berbanding 7,140 kes yang direkodkan Isnin lalu.

“Kadar penularan varian Omicron yang tinggi dan vaksin Covid-19 tidak berkesan 100%. Menjelang musim cuti, kemungkinan kes akan meningkat,” katanya kepada China Press.

“Masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada pandemik itu telah reda atau keadaan akan lebih baik, (tetapi) kita perlu melihat pandemik itu dari perspektif lain, termasuk peningkatan pergerakan selepas cuti dan liputan dos penggalak, khasnya apabila keadaan tidak kelihatan baik bagi warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.”

Katanya, ia akan mengambil tiga bulan lagi untuk kes berkurangan, jika berlaku lonjakan jangkitan selepas cuti Hari Raya.

Kerajaan membenarkan rakyat beraya di kampung halaman tahun ini, selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Sharifa berkata, susulan pembukaan semula sempadan negara, kerajaan perlu berwaspada terhadap penularan varian Omicron XE di negara lain dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang sama turut berlaku di Malaysia.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengeluarkan amaran mengenai Omicron XE – hibrid mutan Omicron BA.1 dan BA.2.

Bercakap kepada media pada 7 April lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia belum mencatatkan sebarang kes varian Omicron XE dan sedang memantau perkembangan terkini.

Friday, April 1, 2022

44 kematian baharu Covid-19, 18,560 kes

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-April 1, 2022 8:00 AM
44 kes kematian Covid-19 direkodkan semalam dengan lapan diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 44 kes kematian Covid-19 semalam, menurut perincian dikeluarkan GitHub.

KKM turut melaporkan 18,560 kes Covid-19 meliputi 18,373 penularan tempatan dan 187 kes import.

Daripada jumlah kematian itu, lapan kes diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital (BID).

Jumlah kumulatif kematian kini mencecah angka 34,983.

Perak mencatatkan angka kematian tertinggi, iaitu 12 kes, diikuti Selangor (11), Johor (enam), Sarawak (lima), Pulau Pinang (tiga), Kelantan, Sabah dan Terengganu (masing-masing dua) serta Negeri Sembilan (satu).

Tiada kes kematian dilaporkan di Kedah, Melaka, Pahang, Perlis, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 206,854 kes aktif ovid-19 dilaporkan, termasuk 267 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 164 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 18,253 kes sembuh turut dilaporkan.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 direkodkan di negara ini kini ialah 4,201,919.

Monday, March 21, 2022

Mungkin ramai hilang kerja jika laksana gaji minimum baharu

ismaweb.net
Siti Hafidah

Wajar dilaksana selepas ekonomi negara pulih: Penganalisis

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara mendapat pelbagai reaksi daripada semua lapisan masyarakat.

Beberapa pihak dilihat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, namun tidak kurang juga menyarankan ia dilaksanakan selepas ekonomi negara pulih susulan penularan COVID-19·

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan gaji minimum akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Jelasnya, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan kadar baharu gaji minimum itu kepada syarikat, perusahaan kecil dan koperasi yang tidak mampu membayar RM1,500 kepada pekerja mereka.

Walaupun begitu, penganalisis ekonomi bebas, Dr Baayah Baba berpendapat sekarang belum masa untuk melaksanakan kadar gaji minimum baharu.

Sekiranya ia dilaksanakan, beliau tidak menolak kemungkinan ramai pekerja akan hilang pekerjaan.

“Ketetapan gaji minimum RM1,500 akan menyebabkan ramai pekerja hilang pekerjaan apabila pengusaha tidak mampu membayarnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Justeru, beliau melihat, ia hanya wajar dilaksanakan apabila ekonomi negara sudah kembali pulih.

“Saya rasa ini belum masanya untuk gaji minimum RM1,500.

“Banyak peniaga terkesan dengan COVID-19. Tidak dapat berniaga berbulan-bulan lamanya. Usahlah tambah beban mereka,” katanya.

Pautan terdahulu;

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, March 20, 2022

Hadi Awang positif Covid-19

mykmu.net
20/3/2022

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata bapanya yang berusia 74 tahun mengalami gejala ringan.

“Mohon doa kepada Ayahanda Tuan Guru supaya diberikan kesembuhan segera.

“Beliau telah disahkan positif Covid-19 dan hanya mengalami gejala ringan.

“Kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan dalam keadaan baik,” katanya di Facebook.

Tahun lalu, Hadi pernah masuk Institut Jantung Negara kerana masalah kesihatan.

Dia dimasukkan ke wad pada Februari selepas mengalami kesukaran bernafas dan sekali lagi menerima rawatan pada Jun lalu.

Semasa PRN Johor, Hadi juga dilihat mengehadkan pergerakannya semasa kempen, sering muncul dengan bilangan hadirin yang terhad.

Dalam acara lain, dia juga pernah diwakili oleh timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Negara ini menyaksikan gelombang jangkitan baru disebabkan oleh varian Omicron.

Semalam, terdapat 283,276 kes aktif Covid-19.

Bagaimanapun, jumlah kes harian kelihatan stabil selepas lonjakan bermula bulan lepas.

 Mk

Thursday, March 10, 2022

113 kematian: 30,246 kes baru Covid-19

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 10, 2022 8:35 AM

Kementerian Kesihatan memaklumkan 30,246 kes baru Covid-19 harian dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 3,711,199.

Kes aktif kini berjumlah 310,161, meningkat 8.3 peratus berbanding 14 hari lalu.

Kes baru mengikut negeri adalah seperti berikut:

Selangor (6,606)

Kedah (3,179)

Johor (2,986)

WP Kuala Lumpur (2,856)

Pulau Pinang (2,462)

Negeri Sembilan (1,798)

Sarawak (1,727)

Kelantan (1,691)

Pahang (1,529)

Perak (1,442)

Sabah (1,352)

Terengganu (1,283)

Melaka (725)

WP Labuan (246)

Perlis (224)

WP Putrajaya (140)


Sebanyak 113 lagi kematian yang dikaitkan dengan Covid-19 dilaporkan semalam, dengan 41 daripadanya diisytiharkan sebagai 'meninggal sebelum masuk ke hospital' (BID).

Sepanjang minggu lalu, purata 79.3 orang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, manakala purata bagi 30 hari lalu ialah 48.5 orang, menunjukkan kematian Covid-19 berada dalam aliran menaik.

Sejak permulaan wabak pada Mac 2020, sebanyak 33,497 kematian telah dikaitkan dengan Covid-19.

Negeri dengan kematian tertinggi ialah Selangor (22), diikuti Sabah (18), Johor (14), Kedah (12), Pulau Pinang (10), Pahang (9), Perak (7), Negeri Sembilan (6), Terengganu (4), Kelantan (3), Melaka (2), Perlis (2), Sarawak (2), WP Kuala Lumpur (2).

Seramai 8,570 pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital dengan 388 daripadanya berada dalam rawatan rapi.

Thursday, February 10, 2022

Ini 6 tanda anda dijangkiti Omicron tanpa anda sedari


Ini 6 tanda anda dijangkiti Omicron tanpa anda sedari, Sangat melegakan semua orang, varian COVID-19 yang sangat mudah tersebar, Omicron, telah terbukti sangat ‘ringan’ dan mudah dikendalikan.

 Memandangkan ia sebahagian besarnya menjejaskan saluran pernafasan atas, pakar percaya ia tidak menimbulkan sebarang risiko langsung kepada paru-paru, itulah sebabnya bilangan kemasukan ke hospital dan kes kematian adalah jauh lebih rendah daripada apa yang kita saksikan semasa gelombang COVID kedua.

Walau bagaimanapun, memandangkan simptom yang ringan seperti selsema, ia menjadi amat sukar untuk membezakan antara Omicron dan selsema biasa. Ramai yang mengalami simptom menganggapnya sebagai selesema biasa atau selesema dan mengelak daripada ujian COVID. Yang berkata, jika anda pernah sakit pada masa lalu, tetapi tidak menjalani ujian, berikut adalah beberapa tanda yang boleh memberitahu anda sama ada ia adalah Omicron.

Ketua Aplikasi Kajian gejala ZOE UK, Profesor Tim Spector sebelum ini menekankan bahawa simptom seperti demam, batuk dan hilang bau kini berada dalam “simptom minoriti”. Ini adalah beberapa tanda pasti COVID-19.

Kini, dengan kemunculan varian COVID terbaharu, Omicron, terdapat perubahan besar dalam jenis gejala.

Jika anda mengalami sakit tekak/gatal, hidung berair, sakit kepala, keletihan dan sakit badan, ia mungkin jangkitan Omicron. Profesor Spector menggesa semua orang yang mengalami simptom ini untuk segera menjalani ujian.

Virus pernafasan secara amnya sangat menular. Walau bagaimanapun, apabila ia datang kepada COVID-19, ia kini merupakan virus yang paling dominan di dunia.
Varian Omicron, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, telah terbukti lebih mudah ditularkan daripada strain sebelumnya termasuk Delta. Setelah berkata demikian, tidak mungkin sesiapa yang bersentuhan dengan orang yang dijangkiti boleh melarikan diri daripadanya.

Jadi, jika anda sakit dan perasan bahawa semua orang di sekeliling anda jatuh sakit satu demi satu, mungkin ia adalah jangkitan Omicron.

Menurut laporan, orang yang mempunyai jangkitan Omicron mungkin mengalami masalah perut juga.

Menurut App kajian ZOE, loya, muntah dan hilang selera makan adalah beberapa simptom yang dilaporkan pada penghidap Omicron. Semasa gelombang kedua, ramai yang dijangkiti juga melaporkan gejala seperti cirit-birit.

Alopecia atau keguguran rambut adalah isu yang lazim dan biasa dihadapi oleh orang yang telah pulih daripada COVID-19. Pakar percaya keguguran rambut boleh menjadi kesan selepas jangkitan COVID yang berlarutan. Ini telah dikaitkan dengan tekanan emosi, ubat-ubatan atau disebabkan oleh pembebasan sitokin proinflamasi sebagai tindak balas untuk melawan virus.

Yang berkata, jika anda juga telah kehilangan ketulan rambut selepas sakit anda, anda mungkin kecewa dengan Omicron, tetapi tidak tahu kerana anda tidak menjalani ujian.

Menurut siaran Jerusalem, mengalami jangkitan mata, yang dikenali sebagai mata COVID, atau ruam aneh pada jari kaki anda – jari kaki COVID – semasa anda sakit boleh bermakna anda telah dijangkiti Omicron.

Walaupun ringan, masih penting untuk mengambil semua langkah. Memandangkan sebarang gejala atau tanda, jangan keluar. Asingkan dan pantau gejala anda. Pakai topeng anda dan jaga jarak dari mereka yang terdedah.

Walaupun anda mungkin terlepas beberapa petanda, berikut ialah video untuk memberi anda gambaran keseluruhan tentang varian Omicron dan simptomnya.

Thursday, January 13, 2022

Lepas nama dipetik, Tuan Ibrahim kongsi butiran vaksin Covid-19

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jan 13, 2022 5:40 PM
Dikemaskini: 7:21 PM

Selepas timbul pertikaian mengenai status vaksinnya, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi butiran vaksin Covid-19 yang diambilnya sebelum menunaikan umrah.

Dalam kenyataan di Facebook, Tuan Ibrahim berkata dia menerima vaksin dos pertama pada 24 Mac 2021 dan doa kedua iaitu vaksin Pfizer pada 14 April 2021 di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya.

Bagi dos penggalak pula kata timbalan presiden PAS itu, ia diterima jenis vaksin yang sama pada 2 November lalu di Pejabat Kesihatan Titiwangsa.

Perkembangan ini hadir selepas nama anggota Parlimen Kubang Kerian itu turut terheret dalam kontroversi melibatkan pendakwah bebas Abu Syafiq.

Abu Syafiq sebelum ini dikritik warganet selepas membuat pengakuan secara terbuka menjelaskan bahawa dia membawa jemaah yang tidak lengkap divaksinasi menunaikan umrah.

Dia kemudian tampil menjelaskan bahawa vaksin yang dimaksudkannya adalah vaksin Meningococcal Meningitis atau MM dan bukannya vaksin Covid-19.

Jelas Abu Syafiq, kerajaan Arab Saudi tidak lagi mewajibkan vaksin MM.

Abu Syafiq kemudian membidas menteri agama Idris Ahmad yang menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadapnya.

Katanya, selain dia, terdapat juga individu dalam kerajaan yang turut menunaikan ibadah umrah itu namun tidak mendapatkan vaksin MM, termasuk Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim dalam kenyataan hari ini tidak menyentuh mengenai vaksin MM.

Wednesday, November 24, 2021

Guru belum vaksin dakwa diasingkan dekat stor 'cleaner' sekolah

tuncarlos.com
November 23, 2021 - Isu Semasa


IPOH: Video seorang lelaki yang mendakwa sebagai seorang guru diasingkan oleh pihak sekolah di sebuah bilik simpanan stor tukang cuci kerana belum menerima vaksin Covid-19, tular dalam media sosial.

Video berdurasi kira-kira tiga minit itu tular dalam aplikasi TikTok selepas dimuat naik sejak semalam dan sehingga kini sudah mencecah 1.2 juta tontonan.

Dalam rakaman itu, individu yang mendakwa sebagai guru sebuah sekolah menengah di sini berkata, dia diasingkan pihak sekolah kerana belum menerima suntikan vaksin.

Berikutan itu, lelaki itu meluahkan rasa kesal atas layanan yang diberi pihak sekolah terhadapnya.

video:
Katanya, pada mulanya dia ditempatkan di stor pendidikan jasmani, namun, ditukarkan ke stor tukang cuci atas alasan ia merupakan kawasan laluan dan mempunyai banyak peralatan sukan.

Jelasnya, bilik stor tukang cuci tersebut hanya mempunyai meja dan kipas, namun, tidak mempunyai kerusi serta palam (plug) untuk menggunakan komputer riba dan sebagainya.

“Dinding bilik diperbuat daripada zink, jadi saya masuk sekejap dan tidak tahan kerana sangat panas.

“Jadi, sekarang saya duduk dalam kereta ambil sedikit penghawa dingin sebab bilik itu terlalu panas dan tidak layak diduduki,” katanya dalam rakaman video itu.

Sementara itu, netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap video itu antaranya tindakan pihak sekolah itu bagi melindung pelajar dan guru yang sudah divaksin.

Ada juga yang menasihati guru itu supaya menerima vaksin demi keselamatan semua dan keselesaan guru tersebut.

Bagaimanapun, ruang komen berkenaan telah ditutup pemilik akaun terbabit setakat pukul 12 tengah hari tadi.

– UTUSAN ONLINE

Friday, October 22, 2021

Tindakan tatatertib terhadap penjawat awam enggan divaksin

hmetro.com
BERNAMA

TAN Sri Mohd Zuki Ali menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19. FOTO Bernama

Labuan: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyeru kepada semua penjawat awam agar patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

Beliau berkata, tindakan tatatertib boleh diambil kepada penjawat awam yang enggan memberi kerjasama menerima vaksin.

"Kalau mengikut pekeliling dan dari segi peraturan, penjawat awam harus patuh dengan apa yang telah diputuskan oleh pihak ketua jabatan masing-masing.

"Dalam konteks ini, memang akan ada tindakan mungkin diambil sekiranya mereka masih enggan untuk divaksin.

"Jadi, pada kesempatan ini, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk memberikan kerjasama memastikan diri mereka lengkap divaksinasi sebelum tarikh yang ditetapkan oleh JPA," katanya selepas menerima dos penggalak di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Membedai, dekat sini, hari ini.

Mohd Zuki berkata, selepas kesemua negeri beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), operasi di semua pejabat kerajaan akan dibuka semula.

"Untuk mengelakkan ketidakselesaan, apabila tidak divaksin dan datang ke pejabat, ia akan memberikan kesan atau anggapan negatif dalam kalangan mereka yang telah divaksin.

"Penjawat awam di Labuan yang telah menerima vaksin melebihi 90 peratus, iaitu sama dengan peratusan seluruh negara," katanya.

Ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.

JPA menerusi kenyataan akhbar sebelum ini memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menurutnya, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa PPN.

Disiarkan pada: Oktober 22, 2021 @ 2:47pm

Tuesday, October 19, 2021

Penjawat awam gagal lengkapkan vaksinasi boleh kena tatatertib, ditamatkan perkhidmatan

freemalaysiatoday.com
Bernama
-October 19, 2021 12:05 AM

Pekeliling yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman itu menyebut pegawai boleh diarah untuk mendapatkan dos lengkap mulai 1 Nov 2021.

KUALA LUMPUR: Pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang gagal melengkapkan imunisasi Covid-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan apabila dasar baharu berhubung imunisasi melibatkan penjawat awam dilaksanakan mulai 1 Nov ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Pekeliling yang ditandatangan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman itu menyebut pegawai boleh diarah untuk mendapatkan dos lengkap mulai tarikh itu.

“Pada atau selepas 1 Nov 2021, mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan,” menurut pekeliling itu yang dimuat naik di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam hari ini.

Sementara itu, sekiranya pegawai tidak dapat melengkapkan dos imunisasi Covid-19 atas faktor kesihatan, mereka boleh diarahkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan pengamal perubatan berdaftar.

Mereka juga boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk membuat ujian pengesanan Covid-19 jika telah disahkan tidak layak menerima vaksinasi itu atas sebab kesihatan.

“Pegawai adalah bertanggungjawab untuk mendapatkan dos imunisasi Covid-19 yang lengkap sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini bertujuan untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap yang optimum,” menurut pekeliling itu.

Pekeliling itu menyatakan ketua jabatan juga boleh pada bila-bila masa mengarahkan mana-mana pegawai yang belum mendapatkan dos lengkap untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi menentukan status kesihatan mereka.

Ketua jabatan juga boleh mempertimbangkan apa-apa kaedah sesuai untuk memastikan pelaksanaan dasar itu dalam menguruskan pegawai yang tidak mendapatkan vaksinasi lengkap termasuk mengarahkan mereka menjalani ujian pengesanan Covid-19 dengan kos ditanggung pegawai terbabit.

Bagaimanapun, kos ujian pengesanan untuk mereka yang tidak layak menerima imunisasi atas faktor kesihatan akan ditanggung kerajaan.

Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan selaras dengan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan selain terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani oleh pegawai di bawah subperaturan 20 (3) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U. (A) 1/2012].

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan 30 Sept lepas memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19 dan dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 Nov 2021.

Friday, October 15, 2021

KKM jelaskan perbezaan data kematian Covid-19 mengikut kaum

malaysiakini.com

Diterbitkan: Oct 15, 2021 12:49 PM


Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan mengapa terdapat dua jawapan berbeza di parlimen berhubung data kematian akibat Covid-19 berdasarkan kaum bagi tempoh yang sama.

Ketua Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Negara (CPRC), Dr Mahesh Appannan berkata, angka kematian berbeza membabitkan kaum Melayu, Cina dan India dalam jawapan-jawapan berkenaan adalah disebabkan oleh proses pengesahan.

Pada mulanya, jawapan bertulis kepada Ong Kian Ming (DAP-Bangi) menyatakan dari 1 Januari hingga 3 Oktober tahun ini, sebanyak 8,886 kematian akibat Covid-19 direkodkan membabitkan kaum Melayu, dikuti kaum Cina (2,815 kes), India (1,746 kes) dan kaum-kaum lain (12,765 kes).

Bagaimanapun, jawapan yang dikemas kini pada 12 Oktober memperbetulkan kesilapan sebelumnya mengenai kematian bukan rakyat Malaysia, yang menunjukkan data yang berbeza bagi ketiga-tiga kaum ini.

Kali ini, ia menunjukkan bahawa dari 1 Januari hingga 3 Oktober tahun ini, kematian akibat Covid-19 di kalangan kaum Melayu adalah sebanyak 13,772 kes diikuti kaum Cina (4,753 kes) dan India (2,502 kes).

Ini adalah kenaikan 35 peratus kematian membabitkan kaum Melayu, 69 peratus bagi kaum Cina dan 43 peratus bagi kaum India, berbanding jawapan pertama.

Ditanya mengenai perkara ini, Dr Mahahesh berkata perbezaan ini berlaku kerana ketika jawapan pertama dibuat, CPRC masih membuat pengesahan mereka yang berada dalam kategori "lain-lain".

Pada ketika jawapan terkini diberikan, kaum dan kewarganegaraan mereka yang berada dalam kategori "lain- lain" telah disahkan dan ditambahkan kepada kategori yang relevan.

"Pada masa ketika jawapan pertama, kami sedang melakukan pengesahan kewarganegaraan bagi ramai orang dalam kategori "lain- lain " iaitu untuk memeriksa sama ada mereka mempunyai nombor kad pengenalan.

"Setelah selesai, kami memecahkannya kepada kaum tempatan atau bukan warganegara dalam jawapan kedua.

"Kami seharusnya mengingatkannya dalam jawapan pertama. Maaf," katanya di Twitter.

Integriti data

Jawapan bertulis awal mengenai kematian berdasarkan kaum juga mencuri perhatian apabila KKM memasukkan sekali rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai 'lain-lain' bersama dengan bukan warganegara.

Pertanyaan mengenai perkara itu mendorong KKM mengeluarkan jawapan terkini pada 12 Oktober, yang membahagikan antara Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak, rakyat Malaysia yang dikategorikan "lain-lain" dan bukan rakyat Malaysia.

Perbezaan antara data untuk Melayu, Cina dan India juga ditimbulkan oleh pakar perunding pediatrik, Dr Amar Singh.

"Integriti data sangat penting jika kita memahami risiko dan tindak balas sosial untuk mitigasi," katanya.

Ahli Parlimen Bangi Ong berkata, dia berharap pertanyaan yang kemukakan mengenai proses pelaporan data Covid-19 dapat menimbulkan perdebatan yang sihat mengenai analisis data.

Sebelum ini, KKM mengeluarkan data kematian mengikut usia, jantina, lokasi kematian dan komorbiditi tetapi tidak mendedahkan etnik si mati.

Setakat ini, seramai 27,681 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia sejak wabak itu melanda negara pada Januari 2020.

Daripada jumlah ini, 20 peratus meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-