Thursday, March 26, 2020

Kejatuhan harga, stesen minyak mungkin tutup susulan perintah kawalan, kata persatuan

Robin Augustin
-March 26, 2020 3:12 PM

Banyak pengusaha stesen minyak berdepan masalah kewangan susulan kejatuhan harga bahan api itu dan kemerosotan jualan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

PETALING JAYA: Persatuan pengusaha stesen minyak tempatan menyuarakan kebimbangan sebahagian besar daripada 3,800 ahlinya di seluruh negara yang berkemungkinan terpaksa menghentikan operasi disebabkan masalah kewangan berikutan kejatuhan harga bahan api dan kehilangan pelanggan berikutan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz memberitahu FMT bahawa jualan produk bahan api turun sebanyak 70%.

Rata-rata katanya, stesen memerlukan modal dari RM150,000 hingga RM200,00 sebulan untuk membeli minyak.

Kos operasi, termasuk utiliti dan upah pekerja adalah sekitar RM30,000 hingga RM70,000 bergantung pada saiz stesen.

“Biasanya wang untuk ini datang daripada margin menjual bahan api. Tetapi bulan ini, tiada margin berikutan harga bahan api turun selama 3 minggu berturut-turut.

Katanya, ini menyebabkan stesen mengalami kerugian kira-kira RM40,000 berikutan mereka membeli minyak pada harga lebih tinggi berbanding harga jualan pada minggu berikutnya.

Beliau berkata, perintah kawalan pergerakan menyebabkan jualan menurun dan kebanyakan stok dibeli pada harga RM1.82 seliter tetapi kini dijual pada harga RM1.44.

“Itu kerugian sebanyak 38 sen seliter. Ini bermakna kita secara efektif memberi pengguna subsidi 38 sen seliter.”

Khairul berkata, tanpa margin dan dengan kos operasi perlu dibayar, ramai pemilik stesen minyak mungkin terpaksa menghentikan sementara operasi kerana mereka tidak mempunyai rizab yang mencukupi.

“Bagi kebanyakan stesen, jika mereka terus beroperasi, keadaan akan menjadi lebih buruk.

Beliau memberitahu FMT isu yang dihadapi bukanlah membabitkan keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada ketahanan kewangan.

“Kami tidak pernah melalui situasi di mana kedua-dua harga dan lalu lintas jatuh begitu mendadak.”

Beliau bercakap mengenai keperluan ditetapkan harga lantai, dengan berkata, beberapa negara mempunyai dana penstabilan yang boleh diikuti oleh Malaysia.

Dengan dana tersebut katanya, akan ada harga lantai. Jika harga jatuh di bawah harga lantai, wang yang dijimatkan oleh kerajaan boleh dimasukkan ke dalam dana.

Jika harga naik melebihi harga siling, wang daripada dana itu boleh digunakan untuk mensubsidi bahan api.

Khairul berharap kerajaan akan memilih untuk membuat semakan harga bahan api secara bulanan selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dengan berkata, mekanisme penetapan harga secara mingguan terlalu sukar diramal.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengehadkan waktu operasi stesen minyak dari 7 pagi hingga 7 malam sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Ini akan membantu mengurangkan kos. Stesen perlu membayar antara antara RM8,000 ke RM15,000 sebulan untuk elektrik sahaja. Kita boleh berjimat lebih banyak jika hanya beroperasi selama 12 jam.

“Kami juga berharap kerajaan akan menguatkuasakan peraturan tidak boleh memasuki kedai di stesen minyak dan semua pembelian dibuat melalui tingkap juruwang sahaja.”

Katanya, petugas pam minyak tidak perlu dipaksa bekerja bagi melindungi mereka daripada Covid-19.

Pada masa ini, ini bukan peraturan dan pemilik stesen mesti mengikut arahan syarikat minyak.

Khairul berkata, kerajaan sepatutnya menjadikannya sebagai satu peraturan.

“Kami mahu memastikan pekerja juga selamat.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-