Tuesday, March 17, 2020

KSN mohon maaf tak pelawa 5 negeri ke mesyuarat Covid-19

FMT Reporters
-March 17, 2020 9:18 PM

Mohd Zuki Ali berkata, pengarah pembangunan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah menghadiri mesyuarat khas Covid-19 dengan perdana menteri hari ini.

PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali memohon maaf tidak mempelawa ketua kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan menghadiri mesyuarat khas berhubung Covid-19 dengan perdana menteri hari ini.

Katanya, Muhyiddin Yassin sudah mengarahkan semua pimpinan negeri dipelawa tanpa sebarang pengecualian.

“Saya bagi pihak urusetia mesyuarat ingin memohon maaf
atas kekhilafan yang timbul berkaitan jemputan yang hanya
dikeluarkan kepada menteri besar dan ketua menteri dari parti komponen kerajaan persekutuan.

“Bagi Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, hanya pengarah pembangunan negeri yang dijemput hadir,” kata Zuki dalam kenyataan malam ini.

Zuki berkata, Muhyiddin memandang serius perkara itu dan menyatakan pendiriannya untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira latar belakang parti politik.

Katanya, Muhyiddin sudah mengarahkan semua ketua kerajaan negeri dijemput ke mesyuarat khas menangani Covid-19 pada masa depan.

Terdahulu, menteri besar Kedah dan Selangor kesal dengan tindakan Putrajaya tidak mempelawa mereka ke mesyuarat khas menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri hari ini.

Mukhriz Mahathir mendakwa Muhyiddin mengakui dirinya perdana menteri untuk semua, tetapi sengaja tidak mempelawa menteri besar dan ketua menteri “dari negeri yang tidak sehaluan dengan Perikatan Nasional untuk hadir mesyuarat khas menangani Covid-19”.

Beliau mempersoalkan jika rakyat di 5 negeri itu tidak layak menerima perlindungan daripada penularan virus itu disebabkan perubahan aliran politik.

Amirudin Shari pula berkata, Selangor ialah negeri yang terkesan besar dengan Covid-19 dan pentadbiran negeri dukacita tidak dilibatkan dalam urusan penting melibatkan nyawa manusia.

Majlis Setiausaha PH pula dilaporkan berkata, 5 negeri itu mempunyai hampir 40% penduduk daripada keseluruhan populasi di Malaysia dan sejumlah besar kes Covid-19 turut berlaku di negeri terbabit.

“Tindakan kawalan Covid-19 yang tidak mengambil kira sebahagian wilayah dalam negara pasti akan menggagalkan usaha pengawalan itu.”
Semalam, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac ini dengan mengharamkan perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, pejabat kerajaan dan premis perniagaan pula ditutup.

Hanya perkhidmatan penting, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-