Wednesday, April 8, 2020

Segera letakkan jawatan masing-masing

@politik
-April 8, 2020


KUALA LUMPUR: Segera letakkan jawatan masing-masing.

Itulah gesaan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris terhadap mereka yang memegang jawatan atas lantikan politik ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Beliau mempersoalkan lantikan politik daripada DAP yang masih lagi memegang jawatan dalam badan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun kerajaan hari ini sudah beralih daripada PH.

Katanya, sebagai contoh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) merangkap Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Parlimen Tebrau yang juga Ahli Suruhanjaya, Steven Choong Shiau Yoon masih lagi belum meletakkan jawatan di dalam SPAN untuk memberi laluan dan peluang kepada individu baharu.

“Sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah masih ada dua pemimpin Dap yang masih belum dipecat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.

“Jika dahulu… kerajaan PH tidak mengambil masa yang lama untuk memecat lantikan politik daripada UMNO, kini kerajaan juga perlu melakukan perkara yang sama.

“Tindakan paling bermaruah dan elok adalah individu yang memegang jawatan melalui lantikan politik segera meletakkan jawatan masing-masing,” katanya.

Dr Najmil turut menyarankan semua pegawai lantikan politik PH supaya melepaskan jawatan secara terhormat kerana aspirasi kerajaan memerintah telah beralih kuasa daripada PH kepada PN.

“Mereka sepatutnya mencontohi keberanian Latheefa Koya dan Tommy Thomas.

“Kerajaan baharu…muka baharu,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-