Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Sunday, May 31, 2020

Air dicencang takkan putus…selepas Pas, bertautlah UMNO-BERSATU




KALAU orang UMNO dan Pas boleh bersama-sama, mengapa tidak dengan orang dari Parti BERSATU?

Dalam politik, segalanya tidak mustahil. No permanent enemies and no permanent friends.

Kita ambil semangat Syawal sebagai titik mula untuk tujuan ini. Mana lebih penting, antara kita korbankan perasaan masing-masing sehingga boleh mengorbankan agama dan bangsa? Atau kita korbankan ego, dendam kesumat demi manfaat bangsa, agama?

Ya, memang kelihatan mustahil khususnya buat pemimpin-pemimpin UMNO yang lompat parti. Mungkin itu juga ada hikmahnya yang kita tidak tahu seperti mana yang terjadi hari ini – yang tiba-tiba sahaja bertukar kerajaan.

Bayangkan kalau tiada kelibat bekas ahli-ahli parlimen dari UMNO ini. Adakah Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat mengawal atau menguasai situasi politik hari ini.

Dan amat jelas, sama ada mahu diakui atau tidak, bekas MP UMNO ini kelihatan terkehadapan dalam mempertahankan Perdana Menteri Muhyiddin.

Kita yakin ini semua dilakukan demi agama, bangsa dan negara, bukannya atas dasar peribadi.
Bahkan, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam mendedahkan beliau pernah diarahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP.

Arahan itu katanya, dibuat ketika Dr Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri untuk pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). Dan beliau akur dengan arahan itu.

Antara arahan lain oleh Dr Mahathir kepada Hamzah termasuk menganjurkan Kongres Maruah Melayu, Oktober tahun lalu serta berbincang cara-cara bagaimana untuk BERSATU keluar dari PH.

Begitu juga demi bangsa dan agama, difahamkan seorang lagi rakan Hamzah iaitu Datuk Dr Latiff Ahmad turut berperanan memujuk beberapa ahli parlimen BERSATU supaya tidak menyeberang semula ke sebelah sana.
Allah SWT telah berfirman, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu “ (Surah Al –Baqarah, ayat 216).

Untuk Anwar Ibrahim menjadi PM dengan mendapat sokongan daripada Dr. Mahathir sekarang sudah hampir mustahil. Ini apabila beliau sudah hilang power di dalam BERSATU dan hanya empat ahli Parlimen BERSATU bersamanya.

Untuk Mat Sabu pula dapat jadi menteri semula juga sudah gelap gelita. Ini apabila Dr. Mahathir sudah tersungkur dan terbuang dari BERSATU. Dan juga kerana Anwar sudah gagal jadi PM.

Semua ini terjadi kerana Dr. Mahathir salah langkah akibat sifat tamak, ego dan `hati keringnya’. Beliau letak jawatan dengan niat nak ‘mematikan’ politik orang lain.

Maka inilah masanya untuk Anwar dan Mat Sabu isytihar untuk memutuskan terus hubungan mereka dengan Dr Mahathir sebagai tindak balas kepada kerakusan PM ke-7 itu.

Biarkan dia keseorangan melayan impian mahu jadi PM lagi.

Sedarlah, jangan kita asyik mengejar dunia untuk terus bertanding jawatan sepanjang hayat. Reda dan akurlah dengan memberi ruang dan peluang kepada generasi hari ini.

Memang kita pahit melihat mengapa kaum tertentu boleh pula bersatu di bawah DAP sedangkan Melayu berpecah kepada lima, enam parti.

Waima apa pun, jangan cuba jolok sarang tebuan. Jangan cuba bermain api. Pemimpin-pemimpin Melayu yang ada sekarang harus buktikan mereka semuanya berjiwa besar.

Gelora fasa 1 sudah selesai. Pernahkah terbayang dek kita yang Pas dan UMNO kini boleh duduk bersama, sepakat dan bertaut? Sampai boleh terfikirkah kita yang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh masuk PWTC Disember tahun lalu untuk hadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO? Bukan itu saja, mengiringi pemimpin-pemimpin UMNO pula masuk Dewan Merdeka menuju ke pentas.

Pokoknya, semua kena ikhlas. Ayuh kita buktikan kepada penyokong-penyokong tegar DAP ini.

Pemimpin-pemimpin Melayu mesti menjadi bangsa contoh di negara ini.

Bangsa yang lemah tidak mampu bertolak ansur secara beralah atau secara mengalah. Mereka akan hadapi masalah untuk mengekalkan apa jua hak yang masih ada padanya dalam dunia yang nasibnya tidak lagi dapat diselamatkan melalui ideologi tolak ansur yang formal itu.

Melainkan, diselamatkan melalui kecekapan bangsa itu – menerusi daya saingnya dalam segala bidang.

Dan lebih penting lagi melalui kecekapan dan kebijaksanaan para pemimpinnya.

Di ambang PRU ke-14 yang lalu, umum melihat kaum Melayu-Muslim berpecah kepada empat golongan iaitu UMNO, Pas, BERSATU dan PKR serta AMANAH.

Perpecahan itu dari satu sudut dianggap sebagai kelemahan kaum Melayu-Muslim sendiri yang tidak dapat menguruskan perbezaan.

Tetapi dari satu sudut yang lain mungkin juga strategi pihak-pihak tertentu yang melaksanakan amalan ‘pecah dan perintah’. Berdasarkan keputusan PRU14, secara kasarnya boleh dianggarkan UMNO memiliki 42% sokongan kaum Melayu-Muslim, Pas pula memiliki 33%, BERSATU memiliki 15% dan PKR/PAN memiliki 10%.

Sekiranya sokongan yang dimiliki oleh UMNO dan Pas diselaraskan berkemungkinan situasi pasca PRU ke-14 adalah berbeza.

Suasana pasca-PRU ke-14 telah memperlihatkan siapa HARAPAN sebenarnya. Mereka bukan sahaja tidak menepati janji manifesto mereka kepada rakyat, tetapi sudah mula bertindak seperti anai-anai mahu meruntuhkan tiang-tiang seri pembinaan negara Malaysia.

Ambil iktibar Malayan Union – yang menjadi suatu hikmah kepada bangsa Melayu apabila mereka berada dalam keadaan “perahu sudah terasak ke tebing, ikan sudah sesak ke belat”.

Ledak kebangkitan semangat ketika itulah berjaya menyatupadukan orang Melayu – yang sayangnya hari ini sudah `merencat’ pula .
 – SM

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-