Monday, June 1, 2020

13 dari 14 bahagian Bersatu Kelantan sokong Muhyiddin


Sebanyak 13 daripada 14 bahagian Bersatu negeri Kelantan tampil menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan bersama hari ini, turut dinamakan menyatakan sokongan tersebut ialah dua anggota parlimen Bersatu Kelantan iaitu Mustapa Mohamed dan Ikhmal Hisyam Abd Aziz Tanah Merah.

"Bersatu Kelantan melalui pimpinan negeri ingin mengulangi sikap kami untuk menyokong dan berdiri teguh bersama Mahyuddin selaku pemangku pengerusi dan presiden Bersatu merangkap perdana menteri Malaysia dalam memimpin parti dan kerajaan pada masa ini.

"Negara yang kini sedang berdepan dengan ancaman penyakit wabak pandemik covid-19, berserta dengan kesan buruk ekonomi yang dahsyat, memerlukan kepimpinan yang matang dan berpengalaman serta sangat cakna rakyat dalam menangani masalah-masalah tersebut," kata kenyataan media tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika pergolakan kepimpinan Bersatu antara kem Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad sedang hangat diperkatakan susulan isu pemecatan beberapa pimpinan tertinggi parti itu baru-baru ini.

Pada 29 Mei lalu, keahlian Dr Mahathir dan empat pemimpin lagi dihentikan serta-merta atas alasan menyertai blok pembangkang semasa sidang Parlimen baru-baru ini.

Empat lagi ialah Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri bagaimanapun menegaskan beliau masih pengerusi Bersatu yang sah.

Sementara itu Bersatu Kelantan berkata, Muhyiddin mempunyai kriteria kepimpinan yang baik dalam menerajui negara ketika berdepan krisis mutakhir ini.
"Tokoh yang mempunyai ciri-ciri tersebut ialah Muhyiddin sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau walaupun baru dibentuk tiga bulan yang lalu, terbukti telah dapat membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita.

"Serentak dengan itu beliau bersama jemaah menterinya sedang rancak menangani usaha pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

"Oleh itu tidak wajar beliau diganggu gugat kedudukannya supaya tumpuan fikiran, tenaga dan masa beliau dipergunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah negara," jelas kenyataan itu.

Sebagai rekod, hanya satu bahagian Bersatu di Kelantan tidak menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin iaitu bahagian Machang dipimpin oleh Ketua Bahagian, Sazmi Miah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-