Monday, June 1, 2020

PRK Chini: Nizar serah pada pucuk pimpinan parti

MyMetro
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

MOHD Nizar Najib. FOTO arkib NSTP

SERAH kepada pucuk pimpinan untuk tentukan. Itu komen Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib yang disebut-sebut sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini, 4 Julai depan.

Katanya, sebagai anggota parti, beliau bersama Pemuda Umno dan jentera Umno Bahagian Pekan melakukan persiapan seperti biasa bagi menghadapi PRK berkenaan.

"Soal calon itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan. Saya tidak ada apa untuk komen.

"Persiapan kita buat peringkat bahagian dan pemuda bahagian," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Kerusi Dun berkenaan kosong susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Pada 1 Jun lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan bahawa Umno akan meletakkan calon pada PRK berkenaan.

Antara nama yang disebut ialah Nizar yang juga anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah Pergerakan Pemuda Umno Pahang juga mencadangkan agar Nizar dipilih sebagai calon berdasarkan ketokohan dimilikinya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon pada 20 Jun manakala pengundian awal pula adalah pada 30 Jun.

Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 3:59 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-