Showing posts with label PRK DUN Chini. Show all posts
Showing posts with label PRK DUN Chini. Show all posts

Sunday, July 5, 2020

PRK Chini: Kerjasama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional hasilkan kejayaan luar biasa - Najib

Fareez Azman,
Astro Awani 
Julai 05, 2020

Mohd Sharim diumumkan memenangi kerusi DUN itu dengan mendapat 13,872 undi.
-Bernama

PEKAN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini disifatkan sebagai manifestasi kerjasama parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerjasama yang ditunjukkan gabungan parti itu membawa hasil kejayaan luar biasa.
"Berbaloi sebab kita nak majoriti besar di mana ia amat penting untuk kita kekalkan rekod (BN) Pahang... kita mula di Cameron Highlands dengan Muafakat Nasional (MN)... kini di Chini.

"Kita menang cemerlang. Saya ucap terima kasih Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana memberi sokongan kepada calon kita (Mohd Sharim).

"Ini bererti Muafakat Nasional disokong dengan Perikatan Nasional membawa kejayaan luar biasa," katanya ketika ditemui di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hilai pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan penghargaan kepada semua jentera parti yang menyokong BN sehingga berjaya mengekalkan kerusi tradisi itu.

Jelasnya, kejayaan di DUN Chini itu membuktikan bahawa BN masih relevan dan diterima rakyat.

"Ini adalah mesej penting kerana ada mendakwa BN tidak lagi releven... ia sebagai satu simbol pemerkasaan semula BN... saya yakin enam PRK telah jelas memberikan satu bukti bahawa BN itu bukan hanya relevan, malah Insya-Allah (mempunyai) masa depan agak cerah," kata Ahmad Zahid.

Terdahulu, Mohd Sharim diumumkan memenangi kerusi DUN itu dengan mendapat 13,872 undi, menewaskan calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing hanya mendapat 1,222 dan 137 undi.

BN berjaya meningkatkan majoriti kemenangan di kerusi itu kepada 12,650 undi berbanding keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu (4,622 undi).

Saturday, June 20, 2020

BN dicabar 2 calon bebas di PRK Chini

FMT Reporters
-June 20, 2020 10:50 AM

(Dari kiri) Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli ialah calon bebas yang akan menentang Mohd Sharim Md Zain (kanan) daripada BN.

PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional dan 2 calon bebas.

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, berdepan saingan daripada ahli perniagaan, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64 dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Pengumuman calon yang layak bertanding itu dibuat Pegawai Pengurus PRK, Zaliza Zulkipli di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pekan, Pahang pagi ini.

Sharim ialah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pekan dan pengerusi Majlis Belia Felda Kuantan.

Tengku Zainul Hisham dilaporkan ialah timbalan ketua PPBM Bahagian Pekan yang menggunakan simbol ‘rumah’, manakala Shukri ialah penulis blog yang menggunakan simbol kunci.

Chini antara 4 kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Abu Bakar yang mewakili BN pada pilihan raya umum 2018 berjaya mempertahankan kerusi disandangnya itu dalam saingan 3 penjuru dengan majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili Pakatan Harapan yang meraih 1,065 undi.

Chini mempunyai 20,900 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal. Mereka yang berusia 40 tahun ke bawah terdiri daripada 56%.

Ini ialah PRK pertama yang diadakan sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon dan parti diberi kelonggaran untuk berkempen secara berceramah, dari rumah ke rumah dan tinjauan mesra atau “walkabout”.

Tetapi, penganjur perlu memastikan pematuhan penjarakan sosial, memakai topeng, menggunakan cecair pembasmi kuman, saringan suhu badan dan pengambilan rekod kehadiran.

Katanya, setiap pengundi akan diberikan sarung tangan sebelum mendaftarkan diri dan diberikan berus pakai buang untuk mencalit jari sendiri.

Pengundian pos bermula esok, manakala pengundian awal pada 30 Jun ini dan hari mengundi pada 4 Julai nanti.

PRK Chini bermula dengan penamaan calon pagi ini

Bernama
Diterbitkan Hari ini 8:58 am

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bermula hari ini, dengan proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pekan, dibuka pada pukul 8 pagi.

Berikutan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, PRK kali ini 'mencipta sejarah', apabila bakal menyaksikan kebiasaan baharu dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.

Proses penamaan itu akan bermula pada 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Bagaimanapun hanya calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan masuk ke dalam dewan utama itu bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Selepas itu, Pegawai Pengurus PRK Datuk Zaliza Zulkipli akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding, dijangka pada 11 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu khusus bagi PRK Chini, untuk mengelakkan berlaku ‘kluster pilihan raya’, dalam keadaan negara sudah semakin berjaya mengawal penularan wabak itu.

Berdasarkan SOP itu, penyokong parti dilarang berada di pusat penamaan calon selain tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan, berlainan daripada kebiasaan PRK yang meriah dengan sorakan dan laungan daripada penyokong parti dan calon yang bertanding. Penyokong calon dan parti hanya boleh berada 1.5 kilometer dari pusat penamaan calon bagi menjaga jarakan sosial.

Selain SPR, kakitangan Kementerian Kesihatan merupakan agensi penting pada PRK kali ini, dengan kehadiran mereka di pusat penamaan calon sebagai persediaan, sekiranya terdapat calon, penyokong, atau pencadang, mempunyai gejala COVID-19 sebagai langkah berwaspada.

PRK ke-11 sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu menjadi 'ujian pertama' buat kerajaan Perikatan Nasional, sejak mula terbentuk pada Februari lalu, selain kesinambungan kerjasama Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS, yang mula terbentuk sejak PRK Parlimen Cameron Highlands.
Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Mohd Sharim Md Zain, 41, yang merupakan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, sebagai calon mereka untuk mempertahankan kerusi tradisi UMNO, memandangkan DUN Chini adalah kubu kuat BN.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan tidak meletakkan calon pada PRK itu, namun Mohd Sharim yang merupakan generasi kedua Felda Chini dijangka ditentang, memandangkan seorang calon Bebas sudah mengumumkan hasrat bertanding.

Ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, mengumumkan akan bertanding menggunakan simbol rumah, dan membawa manifesto 'Menjadi Suara Rakyat Chini' pada PRK itu.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi, selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi, manakala Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.

- Bernama

Saturday, June 6, 2020

PH sokong calon Bebas selepas putus tidak tanding PRK Chini, kata Fuziah

Faiz Zainudin
-June 6, 2020 2:25 PM

Pengerusi PH Pahang Fuziah Salleh berkata, gabungan itu akan menyokong calon Bebas dalam PRK DUN Chini pada 4 Julai ini.

PETALING JAYA: PKR dan Pakatan Harapan (PH) Pahang akur dengan keputusan pucuk pimpinan pusat gabungan itu untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.

Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh bagaimanapun berkata, gabungan itu akan menyokong calon Bebas yang bakal bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) di situ.

“Itu adalah keputusan selepas perbincangan Majlis Presiden PH, jadi walaupun PKR Pahang telah bersiap sedia dan memulakan gerak kerja, tetapi kita terpaksa akur dengan keputusan pimpinan.

“Kita tahu wabak Covid-19 meletakkan risiko tinggi kepada petugas, selain petugas dari negeri lain tidak boleh merentas negeri untuk membantu calon.

“Apapun kita akur dan besar kemungkinan akan sokong calon Bebas yang kita rasa layak dan mengikut cita rasa kita nanti.

“Kita akan sokong untuk lawan Umno. Keputusan PKR tidak meletak calon tidak bermakna petugas kita akan terus tarik ‘handbrake’, kita akan sokong calon Bebas,” katanya kepada FMT.

Fuziah yang juga pengerusi PKR Pahang berkata, keputusan tidak meletakkan calon tidak bermakna mereka “takut” pada BN.

“Saya sudah buat pengumuman minggu lepas, kita (PKR Pahang) sudah sedia bertanding, tetapi keputusan dibuat PH pusat itu kena diterima,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) yang akan disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRK itu juga tidak memihak kepada pembangkang.

Beliau berkata, walaupun pembangkang mempunyai peluang untuk merampas kerusi DUN Chini, namun hasil tinjaun yang dilakukan, menunjukkan kelebihan berada di pihak BN, termasuk penggunaan jentera kerajaan ketika berkempen.

“Kita tahu Umno akan guna jentera kerajaan. Kita tengok ketika PRK Cameron Highlands, masa itu kita kerajaan PH, tetapi mereka (BN) guna agensi kerajaan pusat seperti Felda buat program untuk menteri besar.

“Kita tahu apa yang mereka akan lakukan kali ini. Ia tidak memberi kelebihan kepada kita,” katanya.

Katanya, tinjauan juga mendapati banyak isu rakyat gagal diselesaikan di bawah BN, antaranya masalah bekalan air.

“Antara isu paling besar ialah air. Selama 60 tahun isu air di Chini tidak selesai. Itu rintihan penduduk.

“Juga isu Tasik Chini yang mati, isu pengondolan bukit dan perlombongan haram,” katanya.

Semalam PKR memutuskan untuk tidak akan bertanding dalam PRK Chini Julai ini.

Setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu yang turut dipersetujui Majlis Presiden PH dibuat selepas mengambil kira penularan Covid-19 yang belum ditangani sepenuhnya.

DUN Chini kosong ekoran kematian penyandang, Abu Bakar Harun, 60, kerana serangan jantung pada 6 Mei.

Wakil rakyat BN itu menewaskan pencabarnya, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dari PAS dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR dengan majoriti 4,622 undi, selepas meraih 10,027 undi berbanding 5,405 undi dan 1,065 undi.

PKR tak tanding PRK Chini

FMT Reporters
-June 6, 2020 10:16 AM
PKR berkata, SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan bagi PRK Chini.

PETALING JAYA: PKR memutuskan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu yang turut dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan, dibuat selepas mengambil kira penularan Covid-19 yang belum ditangani sepenuhnya.

“Dalam konteks kebiasaan baru, prosedur operasi standard (SOP) sedang dirangka berhubung perjalanan pilihan raya, namun aspek keselamatan dan kesihatan pengundi ketika ini masih menjadi satu kerisauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, larangan lebih 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen dari rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya.”

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, PH perlu meletakkan calon di kerusi DUN Chini.

Katanya, walaupun menyedari peluang PH menang sukar susulan rekod kekalahan teruk gabungan itu dalam pilihan raya umum lalu, namun ia boleh dijadikan medan memberi mesej kepada rakyat yang pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin perlu bersih.

Penamaan calon PRK Chini ditetapkan pada 20 Jun ini, manakala pengundian awal pada 30 Jun dengan tempoh berkempen 14 hari.

Kerusi DUN Chini kosong ekoran kematian penyandang, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

Wakil rakyat BN itu menewaskan pencabarnya, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dari PAS dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR dengan majoriti 4,622 undi pada PRU14 lalu.

Wednesday, June 3, 2020

PKR akan wakili PH di PRK Chini, kata Fuziah

Faiz Zainudin
-June 3, 2020 1:04 PM

Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh.

PETALING JAYA: PKR akan mewakili Pakatan Harapan di DUN Chini sekiranya gabungan itu bertanding pilihan raya kecil itu nanti, kata Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh.

“PH Pahang sudah membuat ketetapan,” katanya kepada FMT.

Calon PKR bertanding di Chini pada pilihan raya umum ke-14. DUN tersebut terletak dalam Parlimen Pekan, kubu kuat Barisan Nasional dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Pengundi Chini akan memilih wakil rakyat mereka pada 4 Julai, dengan penamaan calon pada 20 Jun.

Sementara itu, Fuziah menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan tatacara operasi standard bagi tempoh berkempen, kerana pilihan raya kecil itu dijalankan ketika Covid-19 masih menular.

“Petugas kita berdepan dengan risiko,” katanya.

DUN Chini kosong ekoran kematian penyandang, Abu Bakar Harun, 60, kerana serangan jantung pada 6 Mei.

Wakil rakyat BN itu menewaskan pencabarnya, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dari PAS dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR dengan majoriti 4,622 undi, selepas meraih 10,027 undi berbanding 5,405 undi dan 1,065 undi.

Monday, June 1, 2020

PRK Chini: Nizar serah pada pucuk pimpinan parti

MyMetro
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

MOHD Nizar Najib. FOTO arkib NSTP

SERAH kepada pucuk pimpinan untuk tentukan. Itu komen Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib yang disebut-sebut sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini, 4 Julai depan.

Katanya, sebagai anggota parti, beliau bersama Pemuda Umno dan jentera Umno Bahagian Pekan melakukan persiapan seperti biasa bagi menghadapi PRK berkenaan.

"Soal calon itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan. Saya tidak ada apa untuk komen.

"Persiapan kita buat peringkat bahagian dan pemuda bahagian," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Kerusi Dun berkenaan kosong susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Pada 1 Jun lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan bahawa Umno akan meletakkan calon pada PRK berkenaan.

Antara nama yang disebut ialah Nizar yang juga anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah Pergerakan Pemuda Umno Pahang juga mencadangkan agar Nizar dipilih sebagai calon berdasarkan ketokohan dimilikinya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon pada 20 Jun manakala pengundian awal pula adalah pada 30 Jun.

Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 3:59 PM

Saturday, May 30, 2020

PPBM pecat Dr M takkan jejas undi Melayu di Chini, kata penganalisis

Sean Augustin
-May 30, 2020 10:43 AM

Kamarul Zaman Yusoff berkata, pemecatan Dr Mahathir Mohamad daripada PPBM mungkin meningkatkan undi bagi Umno dalam PRK Chini.

PETALING JAYA: Dua penganalisis berpendapat pemecatan Dr Mahathir Mohamad daripada PPBM tidak banyak menjejaskan cara orang Melayu mengundi pada Pilihan Raya Kecil Chini pada Julai nanti.

Azmi Hassan daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, hanya “jumlah tidak signifikan” pengundi Melayu akan terasing, manakala Kamarul Zaman Yusoff daripada Universiti Utara Malaysia menyifatkan pengaruh bekas perdana menteri itu di Chini “sangat kecil”.

Azmi berkata, kebanyakan kemenangan PPBM dalam pilihan raya 2018 dicapai dengan bantuan yang banyak daripada penyokong DAP, PKR dan Amanah.

PPBM meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.
Azmi Hassan
Dari segi populariti dalam kalangan pengundi Melayu, Azmi berkata, PPBM ketinggalan di belakang Umno dan PAS yang kini menjalin kerjasama politik.

“Pengundi bukan Melayu yang menyokong PPBM pada PRU14 tentunya masih menyokong PH, tanpa mengambil kira pemecatan Mahathir,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, cara lebih baik untuk mengukur impak pemecatan Mahathir ialah melihat jika ia akan menyebabkan pembelotan dalam PPBM.

Kamarul meragui Mahathir mempunyai pengaruh besar di seluruh Pahang.

Beliau mendapati Chini, sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), terletak di bawah kubu kuat Pekan, di mana bekas perdana menteri, Najib Razak ialah ahli Parlimennya.
Kamarul Zaman Yusoff
“Pemecatan Mahathir daripada PPBM mungkin meningkatkan undi bagi Umno.”

Kamarul mengkritik Mahathir kerana tidak konsisten dalam pelbagai isu dan beliau secara perlahan-lahan semakin dilupakan, mungkin popularitinya hanya kekal di Kedah.

PRK Chini akan diadakan pada 4 Julai ini susulan kematian penyandang, Abu Bakar Harun daripada Umno, yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,622 undi selepas menewaskan calon PAS dan Pakatan Harapan pada PRU14 lalu.

Khamis lalu, PPBM menghentikan serta-merta keahlian Mahathir dan 4 ahli Parlimen lain kerana mereka duduk bersama blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Empat yang lain ialah anak Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah dan Maszlee Malik.

Wednesday, May 27, 2020

‘Naga’ Tasik Chini tunggu PH


RAKAN saya Hanisya Abdul Hamid dalam postingnya mencabar PKR meletakkan calonnya dalam PRK DUN Chini bagi membuktikan kekuatan mereka.

Memang kenalah kalau dah jantan sangat mendakwa kononnya mandat mereka telah dicuri, mereka tetap popular dan didukung rakyat maka PRK inilah gelanggangnya. Minta Anwar Ibrahim, bakal PM tersohor di dunia turun berkampung di sana, jangan berdalih dan beri alasan berbagai.

Dan lebih hebat lagi kalau parti terkukuh dalam PH iaitu DAP yang konon mahu tegakkan amar makruh nahi mungkar itu yang letakkan calon.

Jangan dakwa parti kamu berbilang kaum kalau gentar bertarung dalam PRK ini kerana ia majoriti Melayu. Turunkan kekuatan RBA kamu, Kit Siang, Guan Eng, Superman Hiew, Teresa, Geobind, Lotong Jelutong turun berkempen. Pahang pun punya Ahli Parlimen DAP Melayu apa kata beliau dijadikan calon.

Dan jangan lupa heret sekali terompah kayu berjenama PAN untuk membantu. Walaupun lusuh dan buruk sudah, tetapi mampu menghiburkan pengundi Chini dengan lawak dan temberang mereka.

Apa pun PH memang wajar bertanding setelah bertempik dan berkokok sejak hilang kuasa beberapa bulan lepas. Muncullah ‘naga’ dari Tasik Chini menelan dan membaham mereka.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
    26/5/2020

PAS tak bertanding PRK Chini

Faiz Zainudin
-May 26, 2020 9:53 PM

Tanpa PAS, peluang calon BN yang akan mewakili Perikatan Nasional lebih besar untuk mengekalkan kerusi DUN Chini.

PETALING JAYA: PAS tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata tanpa parti Islam itu, beliau menjangkakan calon Barisan Nasional yang akan mewakili Perikatan Nasional, berpeluang besar mengekalkan kerusi itu.

“Setakat ini, PAS membuat persiapan dari sudut menyediakan atau menyusun organisasi jentera pilihan raya untuk membantu calon BN,” katanya kepada FMT.

Penamaan calon bagi PRK Chini di Pahang akan diadakan 20 Jun ini dan hari mengundi pada 4 Julai nanti.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 7 Mei lalu.

Beliau yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum 2018, berjaya mempertahankan kerusi disandangnya itu dalam saingan 3 penjuru dengan majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili Pakatan Harapan yang meraih 1,065 undi.

DUN Chini terletak di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

Tuesday, May 26, 2020

PH jangan buang masa bertanding di DUN Chini

By Wartawan MalaysiaGazette
      - 26 May 2020

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat dijangka mendapat malu besar sekali lagi jika meletakkan calon mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Ini kerana, DUN China pasti kekal milik Barisan Nasional (BN)/Muafakat Nasional (MN),

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, sesungguhnya Chini telah sekian lama menjadi kubu kuat BN/UMNO.

”Bagaimanapun kewujudan rancangan tanah Felda di Chini menjadikan Pas bertapak kuat dikawasan ini dan menjadi musuh utama BN.

”Kemunculan PH/PKR hanya dalam PRU14 ketika tsunami politik.

”Dengan wujudnya MN maka Chini sudah pasti milik BN/MN dan PH/PKR akan sekali lagi mendapat malu besar terutama dalam suasana politik hari ini. Gabungan undi BN/UMNO dan Pas tidak mungkin dicabar oleh PH/PKR,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh itu, katanya, adalah wajar PH/PKR tidak meletak calon dalam PRK Chini dan memberi laluan percuma kepada BN/UMNO, sekali gus boleh menyelamatkan perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya dan dapat membantu kerajaan melawan Covid-19.

Dalam PRU14, DUN Chini telah ditandingi oleh BN (UMNO), Pas dan PH (PKR).

Namun, BN menang bergaya apabila 10,027 dari 21,251 (47.2%) pengundi mengundi BN manakala PAS memperolehi 5,405 undi (25.4%).

PH hanya mampu mendapat 1.065 undi (5.0%) dan hilang wang pertaruhan.

Jumlah pengundi keluar mengundi ialah 79% atau 16,798. BN menang dengan majoriti 4,622 undi.

PRK bagi DUN Chini, Pahang akan diadakan pada 4 Julai depan, manakala hari penamaan calon adalah pada 20 Jun.

Tarikh bagi pengundian awal pula adalah pada 30 Jun.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar pada 7 Mei lalu. 

MalaysiaGazette

Friday, May 22, 2020

PAS sudah bincang, terima siapa saja calon BN, PN di Chini

Shakira Buang
Diterbitkan Hari ini 9:57 pm

PRK CHINI | PAS telah mengadakan perbincangan berhubung pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berikutan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, pada 6 Mei lalu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata perbincangan lanjut bersama Perikatan Nasional (PN) akan dibuat dalam masa terdekat ini.

"Kita dah bincang di peringkat kita (PAS) dan memandangkan kerusi tersebut adalah kerusi yang dimenangi oleh BN (sebelum ini), jadi kita akan mengadakan perbincangan yang lebih lanjut dengan BN dan PN untuk kerusi DUN Chini.

"Dan nanti keputusan akhir adalah daripada PN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menjelaskan lanjut, Kamaruzzaman berkata PAS juga sepakat untuk memberi sokongan kepada sesiapa saja calon yang akan dipertaruhkan BN-PN pada PRK itu nanti.

"Dari sudut calon kita akan menerima siapa sahaja calon yang diputuskan... InsyaAllah oleh PN. Maknanya siapa sahaja calon PN kita akan terima dan kita akan mendukung calon tersebut," katanya.

Kamaruzzaman berkata demikian ketika diminta mengulas calon PRK DUN Chini, Julai depan.

PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.
Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PH (Bersatu) Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Mengulas kaedah yang akan digunakan PN sepanjang kempen PRK DUN Chini memandangkan ia bakal berlangsung dalam suasana perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), Kamaruzzaman berkata jentera pilihan rayanya akan meneliti perkara itu.

"Kempen dalam keadaan PKPB ini, jentera pilihan raya kita nanti kita akan tengok bagaimana kaedah kempen yang terbaik untuk kita dekati pengundi di DUN Chini nanti.

"Jadi, bergantung kepada keadaan semasalah," katanya.

Pada 14 Mei lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan mengesahkan Umno akan meletakkan calon pada PRK DUN Chini.

Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang berkata, PAS juga tidak mempunyai masalah untuk Umno bertanding mempertahankan kerusi itu walaupun kedua-dua parti itu bertembung pada PRU14 lalu.

Umno dan PAS mula membentuk Muafakat Nasional (MN) sejak PRK Cameron Highlands pada Januari 2019 dan kerjasama itu diteruskan dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas itu.

MN bersama-sama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin, GPS dan parti-parti kecil lain, membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang runtuh susulan "Langkah Sheraton."

Saturday, May 16, 2020

PH umum keputusan bertanding PRK DUN Chini dalam masa terdekat

Faiz Zainudin
-May 16, 2020 1:28 PM
Fuziah Salleh menggesa SPR mengemukakan SOP berkempen yang jelas berikutan petugas PRK berdepan risiko jangkitan Covid-19.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan keputusan sama ada akan mencabar kerusi DUN PRK Chini dalam masa terdekat.

“PH Pahang akan buat kenyataan dalam masa terdekat,” kata Pengerusi PKR negeri, Fuziah Salleh.

Fuziah turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang jelas susulan PRK itu dijalankan ketika wabak Covib-19 masih menular.

“Ini kerana 2 hari lalu terdapat kes positif Covid-19 di Chini.

“PRK kali ini bukan PRK biasa, tidak cukup setakat mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi.

“Yang paling penting ialah SOP sepanjang tempoh berkempen kerana petugas kita berdepan dengan risiko,” katanya kepada FMT.

PKR mewakili PH di kerusi Chini pada pilihan raya umum lalu.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar yang mewakili BN memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405 undi) dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain (1,065 undi).

DUN Chini berada di bawah kawasan Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri Najib Razak.

SPR semalam mengumumkan PRK Chini akan berlangsung pada 4 Julai di mana hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun, manakala hari mengundi awal pada 30 Jun dengan tempoh masa berkempen selama 14 hari.

Mereka turut memaklumkan SOP kempen juga sedang diteliti Kementerian Kesihatan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-