-July 25, 2020 8:11 PM
Lim Guan Eng meninggalkan ibu pejabat SPRM pada jam 7.50 malam selepas siasatan lebih 7 jam hari ini.
PUTRAJAYA: Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng memberi keterangan lebih 7 jam selepas hadir kali ke-2 di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.
Bagaimanapun, bekas menteri kewangan itu enggan memberi sebarang komen walaupun ditanya oleh pemberita yang menunggunya di lobi utama sejak pagi tadi.
Guan Eng dilihat keluar meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7.50 malam ditemani peguamnya RSN Rayer.
Difahamkan, beliau diarahkan hadir semula pada jam 11 pagi esok.
“Beliau akan sambung beri keterangan esok,” kata pegawai SPRM.
Guan Eng tiba di ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan kali ke-2 jam 12.35 tengah hari tadi.
“Beliau sepatutnya beri keterangan 10 pagi tadi, tetapi lewat sampai sebab kami difahamkan kenderaan dinaiki beliau ada masalah ketika dalam perjalanan,” kata seorang pegawai SPRM kepada media.
Terdahulu, pada jam 9.30 pagi Guan Eng yang memuat naik gambar menunjukkan tayar keretanya pancit di Lebuhraya Utara-Selatan, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dipercayai menuju ke ibu pejabat SPRM.
Rabu lalu, beliau memberi keterangan selama 6 jam kepada SPRM sebagai saksi dalam siasatan terhadap projek sama.
Sebelum ini, beberapa pemimpin kerajaan Pulau Pinang dan bekas pemimpin dipanggil SPRM bagi membantu siasatan projek itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan ke atas projek itu berkaitan dakwaan pengubahan wang dan dijangka selesai dalam 2 hingga 3 minggu.
Katanya, tanggapan kes itu sudah ditutup tidak betul kerana siasatan berterusan sejak 2017.
Beliau berkata, SPRM sudah mengambil keterangan 32 orang sehingga kini dan mahu menemubual 10 hingga 15 individu lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.