Tuesday, July 21, 2020

Polis jejak 2 dipercayai wanita berhubung vandalisme mural gergasi pemimpin negara

Bernama
-July 20, 2020 8:57 PM
Mural potret gergasi pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Shah Alam dihasilkan anak muda, iaitu Muhammad Suhaimi Ali, Muhamad Firdaus Nordin, dan Abdul Hadi Ramli.

SHAH ALAM: Polis sedang mengenal pasti 2 individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan vandalisme dengan menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata, 2 individu itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bangunan kedai berdekatan lokasi kejadian.

“Kami sedang mengesan mereka… Beri masa kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan diharap mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan berkaitan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Kejadian vandalisme ke atas mural gergasi potret beberapa pemimpin negara tersebut disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan itu kira-kira 8 pagi tadi.

Mural gergasi itu yang dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah; Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

Mural itu adalah hasil karya 3 anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-