Monday, October 26, 2020

Agong tolak darurat, Muhyiddin tidak perlu letak jawatan, kata penganalisis

 Mohamad Fadli

-October 26, 2020 7:11 AM

Penganalisis berkata, Agong dan Raja-raja Melayu menaruh kepercayaan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan usaha memerangi wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak perlu meletak jawatan walaupun Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menolak permohonannya untuk mengisytiharkan darurat.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, penolakan itu tidak menafikan hakikat bahawa Sultan Abdullah juga berpuas hati dan percaya kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

“Pemimpin pembangkang tidak perlu bergembira dengan keputusan Agong menolak permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat kerana Sultan Abdullah juga percaya kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan,” katanya kepada FMT.

Kamarul berkata, pada masa sama Agong juga memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
Kamarul Zaman Yusoff.
“Ini bermakna Agong mahu kerajaan sedia ada disokong dan tiada percubaan dibuat untuk menggugatnya,” katanya.

Dalam kenyataan semalam Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas Sultan Abdullah berbincang dengan Raja-raja Melayu berhubung situasi semasa negara.

Ahmad berkata, ketika menghadap Sultan Abdullah di Kuantan Jumaat lalu, Muhyiddin memohon untuk mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150(1) dan 150(2) Perlembagaan Persekutuan bagi memerangi Covid-19.

Bagaimanapun katanya, Agong mempercayai keupayaan kerajaan dalam melaksanakan dasar dan penguatkuasaan bagi membendung penularan wabak itu.
Sivamurugan Pandian.
Sultan Abdullah juga mengingatkan ahli politik supaya berhenti berpolitik bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sivamurugan Pandian berkata, Sultan Abdullah menaruh kepercayaan pada Muhyiddin untuk terus memimpin kerajaan dan menangani krisis Covid-19.

Katanya, apa yang boleh dilakukan pada masa ini ialah mengusahakan rekonsilasi politik dengan membawa semua pihak bekerjasama dalam menangani krisis Covid-19 dan usaha pemulihan ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat. .

“Pembangkang harus mengambil serius titah Agong yang meminta semua pihak berhenti bermain politik dan bersikap lebih bertanggungjawab,” katanya.
Mohd Izani Mohd Zain.
Penganalisis dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Izani Mohd Zain berkata, penolakan cadangan Muhyiddin itu tidak menimbulkan keperluan meletak jawatan.

Katanya, ia hanyalah proses biasa sistem demokrasi dan Raja berperlembagaan.

“Agong dan Majlis Raja-raja sudah tentu ambil kira semua pertimbangan. Kini masa depan perdana menteri dan kerajaan bergantung kepada proses di Parlimen,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-