Sunday, October 25, 2020

Agong masih beri peluang kerajaan kemudi urus tadbir negara

Oleh Luqman Arif Abdul Karim 
bharian.com.my
- Oktober 25, 2020 @ 8:59pm
luqman.arif@bh.com.my


Penganalisis politik, Azmi Hassan (kiri) dan Pakar perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong menaruh keyakinan bahawa ahli politik akan meletakkan kepentingan memerangi COVID-19, dengan meluluskan Belanjawan 2021 mengatasi agenda peribadi masing-masing.

Penganalisis politik, Azmi Hassan, berkata titah Baginda sebenarnya tersirat tiga isyarat utama, iaitu mengenai keperluan mengawal situasi penularan wabak, mengekang amalan taksub berpolitik dan memperjuangkan kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, Yang di-Pertuan Agong masih memberikan peluang kepada kerajaan mengemudi urus tadbir negara, termasuk mengharungi 'ujian' menjelang pembentangan Belanjawan 2021, pada 6 November depan.

"Ia bukan lagi rahsia bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat nanti bakal dijadikan medan untuk mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

"Ia akan dapat dilakukan sekiranya RUU itu gagal diluluskan kerana tidak cukup majoriti, sekali gus mencerminkan kerajaan hilang mandat untuk menerajui negara, namun Yang di-Pertuan Agong berkemungkinan masih menaruh keyakinan.

"Seri Paduka mungkin memberi peluang dan ingin melihat sama ada ahli politik masih meletakkan keutamaan rakyat mengatasi agenda peribadi masing-masing, dengan memperhalusi RUU itu supaya menepati citra rakyat.

"Bukan menggunakan pembentangan RUU itu bagi tujuan mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, sehingga mengheret negara ke kancah polemik politik sekali lagi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah, hari ini dilaporkan bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia, buat masa ini, selepas menerima permohonan berbuat demikian daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fail Shamsuddin, dilaporkan berkata permohonan itu adalah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Permasyuhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) mengikut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan bagi memerangi ancaman wabak COVID-19.

Sekiranya Belanjawan 2021 gagal meraih majoriti untuk diluluskan, Azmi berkata 'tangan' Agong ketika itu akan terikat dan terpaksa menitahkan darurat bagi mengelak usaha memerangi COVID-19 terencat angkara amalan politik yang keterlaluan.

"Bagi saya, bukan sudah tertutup peluang untuk mengusulkan undi tidak percaya, tetapi bukan pada ketika ini kerana keutamaan paling penting sekarang ialah memperkasa usaha memerangi COVID-19.

"Bila keadaan sudah reda, mereka boleh mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri," katanya.

Pakar perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz, pula berkata Perkara 150(1) dan 150(2B) Perlembagaan Persekutuan dipersembahkan Perdana Menteri kepada Agong, berkemungkinan disebabkan faktor tertentu.

Beliau berkata, ia termasuk maklumat berkaitan COVID-19 yang dianggap sebagai rahsia kerajaan dan tidak boleh didedahkan kepada umum kerana bimbang ia bakal mencetuskan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

"Jadi, permohonan darurat dipersembahkan supaya kerajaan dapat kekal seperti 'status-quo' dan membolehkan usaha memerangi COVID-19 didahulukan sehingga situasi reda.

"Dari sudut lain, kalau kita bercakap mengenai risiko hilang kepercayaan, kerajaan mengusulkan permohonan darurat sebelum perkara itu berlaku.

"Memandangkan Agong bertitah tiada keperluan mengisytiharkan darurat, permohonan sekali lagi untuk berbuat demikian selepas kerajaan hilang kepercayaan adalah tidak wajar.

"Ini kerana ia akan dilihat sebagai tindakan tidak bermoral oleh kerajaan dan bakal menjejaskan kredibiliti semasa pentadbiran," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-