Showing posts with label darurat. Show all posts
Showing posts with label darurat. Show all posts

Wednesday, October 6, 2021

Pemuda Umno gesa darurat diisytiharkan di Melaka, elak PRN ketika pandemik

gerakmalaysia.com
by Editor Desk
October 6, 2021


KUALA LUMPUR, Okt 6: Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah akan memberi perkenan mengisytiharkan darurat di Melaka untuk mengelakkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan ketika pandemik.

Beliau berkata, darurat yang dimaksudkan itu bukan secara menyeluruh, sebaliknya ia menyerupai Proklamasi Darurat di Sarawak sehingga 2 Feb depan bagi mengelakkan PRN diadakan ketika penularan Covid-19.

“Ini bagi membolehkan usaha-usaha mengawal pandemik Covid-19 dapat difokuskan dan kebajikan rakyat yang terkesan teruk dapat ditangani terlebih dahulu,” katanya di Facebook.

Pada 31 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Feb depan, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan sepanjang tempoh itu.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Melaka, Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh semalam mengumumkan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan DUN Melaka, selepas empat ADUN mengumumkan mereka hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Dato’ Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya kemudiannya mengesahkan mesyuarat akan pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka berhubung pembubaran terbabit.

Thursday, July 29, 2021

Agong tak perkenan kerajaan batal Ordinan Darurat, kata Istana Negara

FMT Reporters
-July 29, 2021 12:20 PM

Yang di-Pertuan Agong menegaskan kenyataan Takiyuddin Hassan pada Isnin di Parlimen adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan baginda, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Dalam kenyataan Fadil berkata, Agong menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada Isnin adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Tan Sri Idrus Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” katanya.

Kenyataan itu menegaskan, Perkara 150 (2B) yang dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan Darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara memaklumkan, baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, Agong menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula pada Isnin lalu dan sejajar dengan saranan Raja-raja Melayu dalam Perbincangan Khas diadakan pada 16 Jun lalu supaya Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya darurat.

Menurutnya, Agong menegaskan Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah dihadapi.

Tuesday, July 27, 2021

Rakyat dikurung, dikompaun perlukan penjelasan PM, kata Ahli Parlimen PKR

FMT Reporters
-July 27, 2021 11:15 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak boleh bersikap lepas tangan susulan pemakluman Takiyuddin Hassan Ordinan Darurat dibatal sejak 21 Julai lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu memberi penjelasan tuntas kepada rakyat yang dikenakan tindakan mengikut Ordinan Darurat, sekiranya ia ditamatkan pada 21 Julai lalu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim juga mempersoal punca kuasa yang ada pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menjalankan pentadbiran dari tempoh 21 Julai sehingga semalam.

“Rakyat seluruh negara yang ditangkap, dilokap, dihantar ke penjara, disaman, dikompaun, kuarantin dan segala macam sekatan di bawah Ordinan Darurat inginkan penjelasan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya.

“Apakah implikasi undang-undang terhadap tindakan dan keputusan kerajaan atau pegawainya ambil di bawah Ordinan Darurat sejak 21 Julai itu hingga hari ini, tetapi hakikat sebenarnya ordinan itu sudah dibatalkan? Adakah tindakan kerajaan itu sah? Adakah menurut undang-undang? Ini semua menuntut jawapan daripada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Hassan berkata, pembatalan Ordinan Darurat dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dan pemasyhuran segala Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat dibuat atas nama Yang di-Pertuan Agong.

“Persoalannya kenapakah tidak ada pemasyhuran pembatalan Ordinan Darurat tersebut oleh Yang di-Pertuan Agong? Adakah Yang di-Pertuan Agong dimaklumkan oleh Perdana Menteri akan hasrat Kabinet untuk membatalkan Ordinan Darurat tersebut?

“Adakah Perdana Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?,” soal Hassan.

“Kalau jawapannya ya, persoalan berikutnya, adakah Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani sebarang dokumen atau surat memberi perkenan baginda terhadap pembatalan Ordinan Darurat tersebut?,” soalnya lagi.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa Ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu dan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas 1 Ogos ini.

Mengulas lanjut Hassan berkata, beliau berharap pada sesi petang sidang Parlimen semalam Perdana Menteri selaku ketua Jemaah Menteri akan menjawab dan memberi penjelasan mengenai kenyataan Takiyuddin, bagaimanapun ia tidak berlaku.

“Tetapi Perdana Menteri tidak muncul di Dewan Rakyat pada sesi petang. Mengapa pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang penting itu tidak dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri? Jika tiada penafian daripada Perdana Menteri, ia membawa makna kenyataan Takiyuddin itu adalah benar,” katanya.

Jangan dolak dalik, jawab Agong perkenan batal ordinan darurat atau belum, Anwar beritahu Takiyuddin

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-July 27, 2021 11:31 AM

Takiyuddin Hassan menegaskan semua isu berkaitan darurat akan dijawab beliau pada Isnin.

PETALING JAYA: Walaupun di asak berkali-kali oleh pembangkang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan hari ini enggan memberitahu Dewan Rakyat sama ada Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan kepada keputusan kerajaan menarik balik semua ordinan darurat pada 21 Julai lalu.

Sebaliknya Takiyuddin berkata beliau akan hanya mengupas isu itu pada Isnin depan.

Penjelasan Takiyuddin itu menimbulkan rasa tidak buat hati pihak pembangkang termasuk Gobind Singh (PH-Puchong), Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim supaya ia dijelaskan hari ini.

Anwar mendesak Takiyuddin tidak perlu membuat penjelasan secara terperinci hari ini sebaliknya hanya perlu mengesahkan sama ada keputusan kerajaan pada 21 Julai untuk tidak meneruskan darurat dan ordinan telah diperkenan Agong dan diwartakan atau belum.

“Semalam menteri kata batal. Kalau belum (diperkenan Agong dan diwartakan) cakap belum. Jangan nak dolak dalik,” tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Anwar berkata jika keabsahan penarikan balik ordinan darurat itu tidak dijawab segera, ia akan menyumbang kepada rakyat hilang kepercayaan sama sekali terhadap kepimpinan negara.

Bagaimanapun, Takiyuddin enggan memberi jawapan langsung yang dituntut Anwar dan Ahli Parlimen pembangkang lain, sebaliknya, berkata penerangan penuh akan diberikan Isnin.

“Saya nak menarik perhatian YB dan Dewan Rakyat bahawa semalam Speaker telah membuat satu ketetapan. Dia sebut menteri undang-undang beri penjelasan pada Isnin.

“Saya meminta, dengan rendah diri, untuk berlaku adil dengan keputusan dibuat Speaker untuk diberi peluang untuk menjelaskan semua perlaksaaan (ordinan darurat) Isnin ini. Ketetapan dibuat Speaker,” kata Takiyuddin pada hari kedua mesyuarat khas Dewan Rakyat.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Monday, July 26, 2021

Usaha pintu belakang Anwar gagal, usul undi tidak percaya buntu

suaramerdeka.com
Home

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menggunakan pintu belakang untuk memaksa usul undi tidak percaya pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Pihak pembangkang pada mulanya mahu memaksa Ordinan Darurat dibahaskan dan diundi, tetapi Parlimen hari ini diberitahu bahawa ordinan berkenaan telah dibatalkan pada 21 Julai yang lalu.

Selain itu kerajaan juga tidak bercadang untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos depan.

Dua keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu telah menyebabkan sebarang usaha untuk memaksa sidang khas Parlimen supaya meluluskan undi bagi usul tidak percaya gagal.

Sebelum ini difahamkan juga Anwar dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun usul berkenaan ditolak kerana ia dikemukakan kurang daripada 14 hari daripada tempoh ditetapkan oleh Dewan Rakyat.

Anwar dan Zahid sebelum ini berhasrat untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dan yakin bakal mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Dijangkakan Anwar dan Zahid kemudiannya akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan bahawa mereka berjaya membuktikan kerajaan hari ini tidak mempunyai sokongan majoriti.

Setelah gagal pada hari pertama berbuat demikian, kumpulan Anwar dan Zahid tentu tidak akan duduk diam dan akan mencuba lagi sepanjang lima hari Parlimen bersidang.

Hari pertama persidangan memperlihatkan Muhyiddin kini berada selangkah di hadapan pihak yang mahu menjatuhkan beliau dan kerajaan pimpinannya.

Melihatkan senario hari pertama Dewan, ia lebih menunjukkan sikap buruk wakil rakyat pembangkang yang tidak berminat untuk membincangkan isu pandemik Covid-19 dan kaedah menanganinya.

Ketika Muhyiddin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) mereka tidak berminat untuk mendengar, sebalik terus membuat bising hinggakan Perdana Menteri meminta ahli parlimen bertafakur dan membaca surah Al-Fatihah kepada mereka yang telah meninggal dunia akibat Covid-19, tenggelam dalam hiruk-pikuk kebisingan pemimpin pembangkang dan yang paling lantang ialah pemimpin DAP, Lim Guan Eng.

Sunday, July 25, 2021

Ahli Parlimen Umno harus undi batal kuasa darurat, kata Zahid


FMT Reporters
-July 25, 2021 8:08 PM

Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan ordinannya.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua Ahli Parlimen parti itu harus menyokong usul untuk membatalkan Proklamasi Darurat serta ordinannya dalam sidang khas Parlimen esok.

Beliau berkata, pucuk pimpinan memutuskan semua Ahli Parlimen perlu menzahirkan pendirian parti yang Dewan Rakyat mesti membahas dan membatalkan perisytiharan darurat serta ordinannya.

“Ahli-ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinannya,” katanya dalam kenyataan.

Zahid berkata, desakan itu dibuat kerana pelaksanaan darurat ternyata lebih banyak memudaratkan rakyat, khasnya dari segi ekonomi dan kebajikan mereka, termasuk pelaksanaan kompaun melampau dan bersifat “dwistandard” terhadap pengingkar peraturan sekatan pergerakan.

“Pelaksanaan darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen.”

Katanya, desakan itu juga sebagai mendokong Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu bertitah tiada keperluan meneruskan darurat selepas 1 Ogos dan semua Ordinan Darurat perlu dibahaskan di Parlimen, sejajar Peruntukan 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, keperluan untuk menolak perisytiharan darurat sejajar keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 25 April lalu yang semua Ahli Parlimen perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan, jika darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Katanya, ia termasuk semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sunday, June 20, 2021

Beri ruang, masa kerajaan tentukan sidang Parlimen

bharian.com
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi 
bhnews@bh.com.my
- Jun 20, 2021 @ 3:35pm

FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Cendekiawan Negara mahu semua pihak memberi ruang dan masa sewajarnya kepada kerajaan berhubung isu perlu menyegerakan persidangan Parlimen.

Timbalan Presidennya, Prof Dr Kamarulnizam Abdullah, berkata pihaknya yakin kerajaan juga mahu sidang Parlimen diadakan segera.

Namun katanya, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan persidangan diadakan dengan selamat dan teratur selain mengikut peraturan.

"Seperti kerajaan negeri diberi ruang untuk menetapkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memenuhi undang-undang dan peraturan, berilah juga ruang sama kepada kerajaan Pusat demi maslahat bersama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarulnizam berkata, pihaknya kesal dengan hujah dilemparkan segelintir pihak untuk mengaburi mata rakyat seolah-olah negara sedang terjerumus dalam krisis Perlembagaan.

Katanya, ia berikutan ada ahli akademik dan peguam berpendapat dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021, maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan mengenai kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan baginda tidak lagi terikat dengan nasihat.

Beliau berkata, pihak terbabit turut mendakwa ia merangkumi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen yang dikatakan termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen perlu dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh baginda.

"Begitu juga dengan pendapat pelik mendakwa Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dibuat di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan prosedur untuk memanggil sidang Parlimen, termasuk pemberian notis sekurang-kurangnya 28 hari, tidak lagi terpakai berikutan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

"Selain itu ada hujah berkaitan Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan peruntukan Ordinan ini hendaklah mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak, selaras dengannya bagi menafikan kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat dalam tempoh darurat.

"Justeru tidak sewajarnya ahli akademik dan peguam mengeluarkan pendapat begini sedangkan asas penentangan golongan yang tidak bersetuju dengan Proklamasi Darurat dulu pun kerana ia akan memberi kuasa sewenang kepada Perdana Menteri, bukan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

"Sebab itulah apa yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai 'dekri' ini hanya dinyatakan Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagai 'pandangan'.

"Malah baginda sendiri pernah pada 24 Februari lalu menzahirkan pandangan penentuan tarikh sidang Parlimen ketika tempoh darurat berkuatkuasa terletak kepada nasihat Perdana Menteri," katanya.

Friday, June 18, 2021

Agong boleh arah Parlimen bersidang tanpa nasihat PM

tuncarlos.com
June 18, 2021


Anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Noh Omar berkata Yang di-Pertuan Agong berhak mengarahkan parlimen bersidang tanpa perlu mendapat nasihat perdana menteri berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu bersetuju dengan pandangan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung kuasa Agong untuk memanggil sidang parlimen.

"Saya setuju dengan pandangan Ku Li (Tengku Razaleigh). Kalau Perlembagaan masih kuat kuasa, Artikel 55 mesti terpakai tetapi bila ada Ordinan Darurat maka Ordinan Darurat mengatasi perlembagaan maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan parlimen bersidang tanpa nasihat perdana menteri.

"Kalau Artikel 55 tidak terpakai maka Artikel 40 juga tidak terpakai.

"Ringkasnya Ordinan Darurat yang dibuat menurut Artikel 150 (2C) Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu Undang-Undang Persekutuan.

"Pada menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong di bawah Ordinan Darurat, Yang di-Pertuan Agong tidak tertakluk di bawah Artikel 40 untuk bertindak menurut nasihat kabinet," kata Noh dalam satu hantaran di Facebooknya.

Perkara 55 adalah berkaitan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan parlimen. Manakala Perkara 40 adalah berkaitan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

Perkara 150 (2C) Proklamasi Darurat pula memperuntukkan: Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7); dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2B) boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

Berdasarkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selaku ketua mesyuarat perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum parlimen bersidang.

Darurat yang diisytiharkan sebelum ini berkuat kuasa dari 11 Jan ke 1 Ogos dan tertakluk kepada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan.

Muhyiddin pada 15 Jun lalu berkata parlimen boleh dibuka semula apabila Malaysia memasuki fasa ketiga pelan pemulihan Covid-19.

Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen itu, Muhyiddin berkata Malaysia dijangka memasuki fasa ketiga pemulihan pada September atau Oktober.

Bagaimanapun, Agong pada 16 Jun menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Pada hari sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan mengulas kenyataan istana, berkata meskipun Agong menyebut parlimen perlu bersidang secepat mungkin, namun baginda tidak menitahkan bila tarikh tepat untuk itu.

Kuasa pada Agong

Semalam, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang memberi pandangan berhubung polemik mengenai parlimen perlu bersidang segera.

Katanya, perdana menteri tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong melanggar Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan kerana di bawah peruntukan itu baginda bertanggungjawab memanggil parlimen dalam masa enam bulan daripada tarikh akhir persidangan parlimen yang lalu.

"Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah melanggar perlembagaan dan sumpah jawatan," kata Tengku Razaleigh dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Noh berkata Seksyen 14 Ordinan Darurat secara spesifik menggantung operasi perlembagaan dalam hal memanggil atau memprorog atau menangguh sidang Parlimen.

"Kuasa itu diletakkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Maka, Yang di-Pertuan Agong di dalam menjalankan fungsi di bawah Seksyen 14 Ordinan Darurat, boleh bertindak menurut budi bicaranya, tanpa tertakluk kepada nasihat kabinet," katanya lagi.

-MalaysiaKini

Thursday, June 17, 2021

Terkini !!! Raja-Raja Melayu berpandangan darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos


Raja-raja Melayu yang bermesyuarat dengan Yang Dipertuan Agong hari ini berpendapat, darurat tidak perlu disambung lagi selepas 1 Ogos nanti dan pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Raja-raja juga sependapat dengan Yang Dipertuan Agong bahawa Parlimen perlu bersidang segera.




Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/darurat-tidak-perlu-disambung-selepas-1-ogos-kata-majlis-raja-raja/
gemilangdaily.com
16/06/2021 8:54 PM

Tuesday, June 15, 2021

Gempar !!! Portal lapor mesyuarat luar biasa menteri-menteri Umno dengan Presiden petang ini

inforakyat.net
15/06/2021 1:05 PM


Para menteri dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dikatakan akan mengada mesyuarat dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada jam 3.00 petang ini di Bangunan UMNO, PWTC.

Menurut sumber, mesyuarat tersebut diatur secara mengejut oleh Menteri Kanan Keselamatan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ismail dikatakan menghantar jemputan sejak petang semalam.

Setakat ini tiada makluman mengenai agenda yang akan dibincangkan, namun Ismail dikatakan akan mengadakan perjumpaan pra-mesyuarat sebagai persediaan berjumpa Ahmad Zahid bagi menerangkan tujuan sebenar perjumpaan.

Beberapa pegawai para menteri yang dihubungi SuaraTV juga tidak pasti tujuan perjumpaan, namun tidak menafikan ada jemputan mengejut bagi mesyuarat tersebut.

Spekulasi setakat ini ialah mesyuarat tersebut bertujuan meyakinkan Ahmad Zahid untuk menyokong sambungan Darurat atau membincangkan mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri dari UMNO.

Berita Penuh :https://suara.tv/15/06/2021/mesyuarat-luar-biasa-menteri-menteri-umno-dengan-presiden-petang-ini/

Saturday, May 29, 2021

Umno, pembangkang gesa parlimen bersidang meskipun 'total lockdown'

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan 29 May 2021, 8:10 pm
Dikemaskini 8:11 pm

Parlimen perlu bersidang bagi mencari penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi negara ketika ini selepas darurat gagal menentukan formula terbaik bagi membendung wabak Covid-19.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii, berkata parlimen adalah jalan terbaik untuk kerajaan membentangkan perancangan mereka.

"Kerajaan harus mencari lebih banyak pandangan dan berbincang untuk selesaikan masalah Covid, walaupun sudah laksanakan total lockdown.

"Parlimen adalah jalan terbaik untuk kerajaan membentangkan perancangan mereka untuk menyelesaikan masalah kehidupan rakyat malaysia.

"Kita ada banyak perkara yang perlu dilihat, seperti ekonomi, sosial dan juga bajet," katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Said menggesa kerajaan memanggil sidang Parlimen.

Dia turut menyertakan cadangan terperinci termasuk prosedur operasi standard (SOP) persidangan secara semuka dan virtual yang dilakukan di banyak negara.

Ahli Pengerang itu, berkata kerajaan tidak boleh melakukan proses "lockdown" ke atas proses demokrasi kerana itu hanya akan menafikan hak rakyat.

Sementara itu Pengerusi Parti Perjuangan Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan menyifatkan pelaksanaan proklamasi darurat gagal sepenuhnya.

"Di waktu 'lockdown' inilah parlimen harus dibuka. Proklamasi darurat sudah gagal 200 peratus. Parlimen wajib dibuka untuk persidangan bagi mendapatkan percambahan pendapat di kalangan wakil-wakil rakyat.
"Percambahan pendapat amat penting dan formula utama untuk mencari jalan penyelesaian terhadap situasi pandemik Covid serta kejatuhan ekonomi masa kini.

"Inilah fungsi parlimen bagi mendapatkan kepelbagaian pandangan dari semua pihak tidak kira kerajaan ataupun pembangkang," katanya.

Bagi Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid pula, parlimen sewajarnya bersidang kerana kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang negara yang banyak dalam situasi Covid-19.

Katanya, wakil-wakil rakyat khususnya ahli Parlimen yang dipilih rakyat secara demokratik wajar mendapat perincian mengenai wang yang telah dibelanjakan serta strategi kerajaan menghadapi pandemik.

"Wakil-wakil rakyat wajar untuk mengetahui bukan saja perbelanjaan negara, tetapi juga hala tuju kerajaan bagi memerangi wabak Covid-19.

"Semua pihak seharusnya diberikan peluang untuk bersama memerangi wabak ini,"katanya.
'Negara dipacu cara kuku besi'

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman pula berpendapat terdapat keperluan mendesak supaya persidangan parlimen segera diadakan.

Ini kerana katanya, kerajaan yang ada hari ini sedang dipacu secara kuku besi.

"Tentunya ada keperluan malah keperluan yang sangat mendesak untuk perkara sepenting Covid dibahaskan di peringkat parlimen.

"Kerajaan sedang memacu negara ini dengan cara kuku besi tanpa amalan demokrasi dengan membuat keputusan-keputusan yang besar melibatkan rakyat," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan "total lockdown" secara berperingkat berkuatkuasa 1 Jun ini.

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19.

Pada 24 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Agong pada masa itu dilapor menunggu nasihat daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang tersebut.

Tuesday, April 27, 2021

Apa motif sibuk desak Parlimen bersidang?

harakahdaily
April 27, 2021


KUALA LUMPUR: Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh mempersoalkan motif di sebalik tindakan pihak tertentu mendesak kerajaan membuka Parlimen serta membatalkan pengisytiharan darurat.

Menurut beliau, walaupun perkara itu mampu untuk dilaksanakan dengan kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan syarat-syarat tertentu, namun ia masih menimbulkan persoalan mengapa pembangkang begitu terdesak.

“Masalahnya untuk apa? Itu persoalan paling besar. Kenapa ahli parlimen sibuk hendak mendesak untuk diadakan sidang Parlimen?

“Adakah hanya kerana sekarang ini PN dikatakan mempunyai majoriti yang amat tipis ataupun sudah tidak cukup majoriti kalau Parlimen bersidang?

“Sibuk mendesak. Untuk apa sebenarnya mendesak diadakan sidang Parlimen? Ini yang kita hendak tahu sebenarnya. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?” soalnya.

Tambah Mohd Fuad, sepatutnya dalam situasi negara hari ini, ahli-ahli parlimen sama ada daripada pembangkang mahupun kerajaan duduk bersama membincangkan solusi untuk mengurangkan kenaikan kes penularan Covid-19.

Apatah lagi, dilaporkan Malaysia berkemungkinan berdepan mutasi baharu selain bakal menghadapi gelombang baharu, katanya.

“Ini yang sepatutnya dibuat. Bukan hanya mengejar hendak bercakap dalam Parlimen. Kalau hanya bukan hendak menonjolkan diri, memang sudah tidak ada cara lain dah, contohnya Anwar Ibrahim.

“Kalau tak ada sidang Parlimen, dia tidak dapat hendak membuktikan bahawa dia ada sokongan. Padahal sudah diberi peluang pun sebelum ini, (dan terbukti) tiada sokongan juga.

“Ini yang kita amat risau, nampak ahli-ahli politik Malaysia ini tidak matang. Yang penting impian peribadi dia tercapai. Rakyat nombor dua. Itu yang saya nampaklah,” tegasnya.

Tambahnya lagi, tindakan kerajaan mengisytiharkan darurat sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban serta membantu kabinet menumpukan perhatian kepada kerja-kerja kementerian.

Namun, sekiranya peluang tersebut tidak dimanfaatkan sebaik mungkin, ia akan menjadi ruang untuk rakyat terus mendesak kemudian menghukum kerajaan ketika pilihan raya umum (PRU) nanti.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan kerajaan agar bertindak dengan lebih berhati-hati dalam pelbagai perkara termasuk isu peniaga burger dikompaun RM50,000 baru-baru ini.

Jelasnya, dengan prestasi sebahagian kementerian hari ini, banyak ruang telah diberi kepada pembangkang untuk terus menghentam kerajaan.

Selain itu, beliau turut menyarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tarikh PRU lebih awal supaya setiap parti politik, termasuk parti daripada kerajaan sendiri dapat menjalankan serta melancarkan persiapan lebih awal. 

– HARAKAHDAILY
   27/4/2021

Tuesday, April 20, 2021

Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Darurat serah surat kepada Istana Negara

ismaweb.net
Siti Hafidah

Dakwa darurat bawa kesan buruk daripada pelbagai sudut


KUALA LUMPUR, 8 Ramadan 1442H, Selasa – Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat hari ini menghantar surat kedua kepada Istana Negara memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembah memorandum mendesak darurat ditamatkan.

Difahamkan surat berkenaan, yang diserahkan Pengerusi jawatankuasa itu Khalid Abdul Samad bersama-sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim pada kira-kira 3.30 petang.

Turut hadir di pekarangan Pintu 3 Istana Negara ialah Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu, Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Bercakap kepada pemberita, Khalid berharap permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dapat diberi pertimbangan.

Pengarah Komunikasi PAN itu mendakwa pengisytiharaan darurat telah membawa kesan buruk daripada pelbagai sudut terutama ekonomi dan kestabilan politik.

“Kami tuntut darurat ditamatkan dan Parlimen dibenar bersidang seperti biasa,” kata beliau sambil menambah jika permohonan itu tidak mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah, pihaknya akan sekali lagi menghantar surat permohonan beserta bahan bukti tambahan yang perlu.

Surat permohonan menghadap yang pertama diserahkan pada 26 Mac lepas.

 – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Monday, April 19, 2021

#TamatDarurat: Mahathir, Anwar dijemput sertai rombongan ke Istana Negara esok

thethirdforce.net
 Raggie Jessy
April 19, 2021 8:43 pm
Rombongan dijadualkan akan berada di Pintu 3, Istana Negara jam 3 petang esok. 
Sumber (gambar): Fail TTF

Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat akan menghantar surat kedua kepada Yang di-Pertuan Agong esok bagi memohon perkenan Baginda untuk menerima petisyen rayuan menamatkan darurat.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad merangkap Ahli Parlimen Shah Alam memaklumkan hal tersebut dalam sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ di Hotel Tamu di ibu negara hari ini.

Turut dijemput untuk menyertai rombongan ke Istana Negara adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat akan menghantar surat kedua kepada Yang di-Pertuan Agong esok bagi memohon perkenan Baginda untuk menerima petisyen rayuan menamatkan darurat.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad merangkap Ahli Parlimen Shah Alam memaklumkan hal tersebut dalam sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ di Hotel Tamu di ibu negara hari ini.

Katanya, ia berkaitan surat permohonan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyembah maklum terhadap kesan darurat kepada ekonomi negara.

Turut dijemput untuk menyertai rombongan ke Istana Negara adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Rombongan dijadualkan akan berada di Pintu 3, Istana Negara jam 3 petang esok.

Friday, April 16, 2021

Khalid ke Istana lagi, kali ini akan membawa Tun M dan Anwar

Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON
April 16, 2021


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan ke Istana Negara sekali lagi pada 20 April depan bagi menghantar surat permohonan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah buat kali kedua.

Ini susulan permohonannya menerusi Jawatankuasa Tamat Darurat pada 26 Mac lalu untuk menghadap Agong masih belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak istana.

Bagaimanapun katanya, sesi penyerahan surat permohonan kali ini akan disertai Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan ketua parti dari blok pembangkang

“Kali ini, saya dan Jawatankuasa telah menjemput bekas Perdana Menteri Tun Mahathir, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk bersama-sama ke Istana Negara.

“Apabila mendapat tarikh menghadap, kami semua akan ke Istana Negara bagi mempersembahkan rayuan dan petisyen untuk merayu kepada Tuanku bagi memperkenankan agar darurat ditamatkan.

“Ini kerana jelas terbukti darurat merosakkan ekonomi negara dan tidak diperlukan untuk malawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 Mac lalu, Khalid selaku Pengerusi jawatankuasa tamat darurat telah menyerahkan surat kepada pihak istana untuk memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 9 April.

Beliau berkata, majlis menghadap itu bagi menyampaikan hasrat rakyat kepada Al-Sultan Abdullah supaya darurat dapat ditamatkan segera.

Petisyen yang digerakkan tamatdarurat.com sehingga hari ini mengumpul hampir 20,000 tandatangan rakyat Malaysia yang membantah pengisytiharan darurat.

“Untuk pengetahuan semua, saya dan Jawatankuasa Tamat Darurat telah menghantar surat kepada Istana Negara pada 26 Mac 2021 untuk memohon perkenan Baginda bagi menyerahkan rayuan itu.

“Ketika itu kami memohon tarikh 9 April 2021 atau lain-lain tarikh yang sesuai untuk menghadap Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan petisyen dan rayuan itu.

“Namun sehingga kini, kami belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak Istana Negara,” katanya.

Wednesday, March 3, 2021

Umno, PKR gesa kerajaan panggil sidang parlimen

malaysiakini.com

Diterbitkan 3 Mar 2021, 10:07 pm


Pemuda Umno dan PKR hari ini masing-masing menggesa kerajaan memanggil sidang parlimen diadakan dalam tempoh darurat.

Ini di sebalik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan bahawa jemaah menteri bersetuju sidang parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

"Bagi Pemuda Umno, parlimen harus dibenarkan bersidang dengan SOP ketat dalam situasi Covid-19, bagi membolehkan keberkesanan mekanisme semak dan imbang buat kerajaan sebagaimana tuntutan dan amalan demokrasi!

"Rakyat tentu sekali sukar untuk menerima alasan penangguhan parlimen yang dibuat kerajaan bahawa sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19.

"Malah proses vaksinisasi juga sudah dimulakan terhadap ahli-ahli parlimen," katanya dalam satu kenyataan.
Asyraf berkata kerajaan tidak seharusnya dilihat takut dan cuba 'memandulkan institusi demokrasi' dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada ahli-ahli parlimen untuk berbahas, meluluskan rang undang-undang serta membawa isu dan masalah mereka di parlimen.

Nada yang sama disuarakan Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mengatakan kenyataan Takiyuddin bercanggah dengan titah Agong.

"Kerajaan seharusnya membenarkan demokrasi berfungsi selaras dengan titah baginda Yang di-Pertuan Agong.

Justeru itu saya menggesa kerajaan segera memanggil sidang parlimen bagi membolehkan ahli-ahli parlimen mengambil bahagian dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

Kata Shamsul, demokrasi berparlimen seharusnya diraikan dan bukan direncatkan dengan alasan 'tempang'.

"Beralasan mengambil kira faktor kesihatan dan terdapat ramai ahli parlimen berusia emas adalah alasan dangkal yang mencacatkan demokrasi.

"Wakil-wakil rakyat merupakan kumpulan pertama penerima Vaksin Covid-19. Sehubungan itu alasan kebimbangan berkait penularan wabak Covid-19 adalah tidak relevan," tegasnya.

Terdahulu Takiyuddin berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan Covid-19 dalam bangunan parlimen.

Selain itu Takiyuddin memaklumkan sebahagian ahli parlimen merupakan warga emas yang berusia 61 tahun ke atas dan berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Wednesday, February 24, 2021

Agong: Parlimen boleh bersidang ketika darurat

malaysiakini.com
Diterbitkan 24 Feb 2021, 4:38 pm
Dikemaskini 5:00 pm

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara ini pada satu kenyataan hari ini.

"Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

"Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

"Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat perdana menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini," kata kenyataan Istana Negara.

Ahmad Fadil Shamsuddin turut memaklumkan terdahulu Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara Senator Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

"Dalam sesi menghadap ini, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut," kata kenyataan Istana Negara.

"Dalam sesi menghadap hari ini, Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi," katanya lagi.

Tuesday, February 23, 2021

Thailand lanjutkan darurat menjelang program vaksinasi COVID-19

Februari 23, 2021 @ 7:36am

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha, menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 Sinovac semalam. - Foto AFP

BANGKOK: Thailand melanjutkan tempoh darurat sehingga akhir Mac dengan melonggarkan beberapa langkah kawalan COVID-19 menjelang kempen vaksinasi seawal minggu depan.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, meluluskan lanjutan darurat buat kali ke 10 itu dalam usaha mengekang penularan coronavirus.

Salah seorang anggota panel itu, Piyasakol Sakolsatayadorn, berkata Kabinet yang bermesyuarat hari ini, dijangka menyokong usul itu, yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu.

"Panel juga bersetuju menamatkan larangan beroperasi terhadap restoran menjual minuman keras di beberapa wilayah termasuk Bangkok berikutan pengurangan kadar jangkitan sejak pertengahan Disember lalu.

"Bar dan kelab malam yang sebelum ini ditutup di beberapa wilayah, kini boleh beroperasi sehingga jam 11 malam," katanya.

Thailand menyaksikan kes COVID-19 kurang daripada 100 jangkitan sejak kebelakangan ini selepas larangan beroperasi terhadap perniagaan dan sekatan perjalanan dilaksanakan awal tahun ini.

Ia mendorong panel COVID-19 menilai semula risiko jangkitan dan meletakkan Bangkok pada tahap amaran peringkat kedua.

Hanya Samut Sakhon, di mana kadar jangkitan masih lagi tinggi, perintah kawalan ketat dilaksanakan.

Prayut, 66, semalam menawarkan diri bagi menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 dalam usaha meyakinkan rakyat walaupun Kementerian Kesihatan tidak mengesyorkan vaksin Sinovac bagi mereka berusia lebih 60 tahun. 

- AGENSI

Monday, February 22, 2021

Demokrasi Malaysia sudah dikafankan, kata Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan 22 Feb 2021, 8:07 am
Dikemaskini 8:09 am

Demokrasi di Malaysia sudah dikafankan - begitu gambaran oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi apabila ahli-ahli Parlimen tidak lagi boleh bersidang bagi menyampaikan keluhan dan isu yang dibangkitkan rakyat.

Sedangkan, katanya, akibat wabak Covid-19, rakyat dihimpit kemelut ekonomi, dan mereka bukan hanya mahu melihat wabak itu ditangani, tetapi juga memerlukan pendapatan bagi menyediakan makanan untuk keluarga serta meneruskan kelangsungnan hidup mereka.

“Saya adalah sebahagian daripada kerajaan, tetapi oleh kerana Parlimen tidak bersidang, maka jangan disekat suara rakyat yang saya menjadi lidahnya.

“Suara saya adalah nadi daripada rakyat, dan ramai lagi kawan-kawan lain yang menyebutkan perkara ini kerana kalau bukan kita (wakil rakyat) yang menyuarakan suara rakyat, siapa lagi?

“Wakil rakyat yang sepatutnya duduk di Parlimen menyuarakan suara dan nadi rakyat, apabila demokrasi telah dikafankan, atau sekurang-kurangnya telah disemadikan, maka apakah suara rakyat harus ditutup?” soalnya.

Dia berkata demikian dalam bual bicara yang disiarkan oleh Malaysia Post malam tadi.

Bukan pandangan Azalina seorang

Bahkan, kata Ahmad Zahid, surat yang dihantar oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman kepada Peguam Negara Idris Harun mengenai cabang legislatif yang telah lumpuh akibat penggantungan Parlimen, bukanlah suara Azalina seorang.

“Suara timbalan speaker Dewan Rakyat adalah suara kita, bukan suara dia saja. Apabila dia menulis surat kepada peguam negara, bukan sahaja daripada aspek perundangan dan politik, tetapi itu suara rakyat yang disalurkan olehnya, melalui pemikirannya.

“Tentunya, dalam perkara ini, apabila dia meminta supaya Parlimen bersidang.

“Kenapa Parlimen tak boleh bersidang? Pasar malam dibuka, pasar rayat dibuka, adakah ahli parlimen lebih bahaya daripada pengunjung pasar malam?” soal ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika disoal mengenai pengurusan Covid-19 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Negara diisytiharkan darurat berkuat kuasa 11 Jan hingga 1 Ogos, yang menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, merupakan langkah yang perlu diambil bagi membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, tindakan Muhyiddin berdepan kritikan, daripada pembangkang, dan tidak ketinggalan, sekutunya sendiri terutama dari Umno.

Ada yang menyifatkan darurat itu hanyalah langkah Muhyiddin mengekalkan kuasa setelah dikatakan hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam suratnya kepada Idris sebelum ini, Azalina berpandangan keadaan sekarang menyebabkan cabang eksekutif seolah-olah mentadbir secara bebas dalam hal ehwal negara dan tidak dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.

Kata Azalina, dia bingung mengapa Malaysia sama ada tidak dapat atau tidak mahu berusaha melaksanakan sidang Parlimen seperti negara lain, seperti dengan mengurangkan penyertaan ahli Parlimen, menggunakan waktu sidang yang anjal, mahupun menyiarkan persidangan kamar khas.

Darurat mungkin dilanjutkan

Mengulas lebih lanjut mengenai pengurusan Covid-19 di bawah PN, Ahmad Zahid dengan nada sinis, beberapa kali memanjatkan ucapan tahniah dan alhamdulillah atas “kejayaan” kerajaan.

Katanya, dengan prosedur operasi piawai (SOP) yang cukup ketat, pengumuman yang kerap dilakukan bagi mengemas kini SOP, kes tetap juga mencatatkan peningkatan.

Sedangkan, katanya, ada negara di rantau Asean yang lebih terkebelakang ekonominya, tetapi lebih terkehadapan dalam pengurusan Covid-19 seperti dalam perolehan vaksin Covid-19.

Malah, kata Zahid, berdasarkan keadaan sekarang, dia menjangkakan tempoh darurat mungkin dipanjangkan lagi.

“Malah ada jangkaan insya-Allah bulan Mac ini (kes) akan meningkat kepada 20,000 kes sehari. Alhamdulillah, ia satu pencapaian yang cukup baik. Ini adalah satu kejayaan kepada negara kita.

“Tentunya, darurat harus diperpanjangkan, kerana darurat ini adalah darurat untuk menangani pandemik Covid-19. Maka adalah sebab yang kukuh darurat ini untuk diperpanjangkan.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sedemikian,” katanya lagi.

Wednesday, February 17, 2021

Isu darurat: Permohonan kebenaran semakan kehakiman Anwar didengar 4 Mac

malaysiakini.com

Diterbitkan 17 Feb 2021, 11:08 pm

Permohonan kebenaran semakan kehakiman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu darurat akan didengar terlebih dahulu sebelum empat persoalan undang-undang berkaitan darurat dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu adalah bagi mencabar tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya memutuskan untuk mendengar permohonan itu pada 4 Mac ini pukul 2.30 petang menerusi prosiding secara dalam talian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes yang berlangsung secara dalam talian yang turut disertai SFC S. Narkunavathy dan peguam yang mewakili Anwar iaitu Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo.

Dalam permohonan difailkan Anwar 25 Jan lepas, beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Anwar memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak konsisten dengan Perkara 150 (3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan serta tidak berpelembagaan dan tidak sah selain memohon perintah mandamus memerintahkan kedua-dua responden untuk menasihatkan Al-Sultan Abdullah supaya membatalkan Seksyen 14 Ordinan Darurat berkenaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga memfailkan permohonan untuk merujuk empat persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung isu sama (darurat).

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-