Friday, October 23, 2020

DAP kecam kenyataan PKR 'hormati' keputusan Umno kekal sokong PN

 susan loone

malaysiakini.com

Diterbitkan Hari ini 1:42 pm

Kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bahawa parti itu "menghormati" keputusan Umno untuk terus menyokong Perikatan Nasional (PN) nampaknya mencetuskan rasa tidak puas hati DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata ia membayangkan memang ada kerjasama dengan Umno - sesuatu yang tidak dipersetujui pihaknya.

Katanya, DAP telah mengatakan secara jelas kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim bahawa kerjasama dengan Umno tidak pernah menjadi pilihan.

"Kita telah berlawan dengan Umno. Ketika PRN Sabah, di Kota Kinabalu, saya kata kita tak akan bersama dengan Umno di bawah pimpinannya, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak," kata Lim dalam wawancara bersama Malaysiakini di Pulau Pinang.

"Kita melawan mereka dalam pilihan raya. Kita bersatu dalam hasrat menyingkirkan kerajaan kleptokrat BN yang diketuai Umno, bagaimana kita boleh patah balik dan bekerjasama dengan mereka?" soalnya lagi.

Dalam kenyataan pada 21 Oktober lalu, Saifuddin berkata PKR menghormati keputusan Umno tetapi parti itu akan terus berusaha "ke arah mengembalikan mandat rakyat" bersama-sama ahli parlimen yang mempunyai hasrat sama.

Kenyataan Zahid berkenaan "gencatan politik" dibuat seminggu selepas mesyuarat biro politik Umno yang memutuskan untuk menimbang menarika semula sokongan terhadap PN dan membincangkan syarat baru untuk kerjasama itu.

Langkah itu di tengah-tengah usaha Anwar untuk meraih sokongan anggota Parlimen Umno di Dewan Rakyat.

'Itu keputusan Anwar sendiri'

Dalam pada itu, Lim yang merupakan bekas menteri kewangan menyifatkan kenyataan Saifuddin sebagai "tidak dijangka" dan tidak mencerminkan pendirian PH.

Menurutnya, ketika Anwar membuat pengumuman memiliki majoriti pada 23 September lalu, pihaknya difahamkan sokongan diperolehi termasuk daripada beberapa parti politik dan ahli parlimen secara individu, tetapi bukan Umno.
"Pendirian kami dan PH jelas. Anda perlu tanya PKR tentang pendirian mereka," katanya.

Ditanya berkenaan langkah Anwar itu - yang dikatakan tanpa berunding dengan DAP dan Amanah, Lim berkata mereka difahamkan ia perlu dibuat secara sulit dengan mengambil kira sensitivitinya.

Bagaimanapun, Lim akui bahawa Anwar ditanya sama ada pengumuman wajar dibuat sebelum perkara itu berlaku.

Untuk rekod, pengumuman itu dibuat tiga hari sebelum PRN Sabah.

"Bukankah ia wajar dibuat pihak yang sesuai, berbanding Anwar seorang? Kita bimbang ini akan menjejaskan kewibawaannya, tetapi dia sangat yakin.

"Dia membuat keputusan itu, dan sebab itu kami tidak berada bersama ketika pengumuman. Itu keputusannya sendiri," katanya lagi.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-