Tuesday, October 6, 2020

Positif Covid-19, Zulkifli jalani rawatan

Bernama
Isnin, 05 Okt 2020 06:51 PM MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad sedang menjalani rawatan selepas disahkan positif Covid-19. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad mengesahkan beliau positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya, hari ini.

“Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Alhamdulillah sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik.

“Saya menyeru orang ramai yang hadir majlis yang melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera,” katanya.

Zulkifli turut mendoakan semoga Allah SWT sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada Covid-19.

Sementara itu, dalam akaun Facebook rasminya, Zulkifli memaklumkan bahawa bantuan Musa’adah Khas Siswa Siri 2 kepada siswa yang terkandas akan diteruskan oleh agensi di bawah kementeriannya.

“Program Musa’adah Covid-19 yang telah diatur akan terus dijalankan seperti biasa di seluruh Malaysia. Masih ramai yang memerlukan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain dalam tempoh yang getir ini.

“Sejak Mac, bantuan disalurkan tanpa mengira agama dan bangsa. Pandemik Covid-19 benar-benar mengajar saya erti kebersamaan. Saya akan pastikan semua bantuan sampai kepada sasaran, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seorang individu yang menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada Sabtu lepas disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata individu berkenaan tidak mempunyai sebarang gejala dan kini telah dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada. 

Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-