Thursday, December 24, 2020

Biadap, Ulamak PAS desak Miss/Mrs Plus Malaysia batal

Projekmm.com
Khamis, 24 Dis 2020 07:35 PM MYT
Penganjur Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 berkata pertandingan berkenaan tidak bertujuan mengeksploitasi kaum wanita. Foto Facebook

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan mendesak pertandingan Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 bulan depan dibatalkan.

Ketuanya, Md Ali Jamil berkata pertandingan berkenaan bercanggah dengan nilai Islam selain tidak bertepatan dengan suasana negara diancam Covid-19.

“Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan melihat penganjuran program ratu cantik di tengah wabak Covid-19 sangat tidak beradab, tidak bertanggungjawab dan memalukan negara.

“Di saat masjid dan rumah ibadah ditutup, aktiviti keagamaan tidak dibenarkan, majlis ilmu dihadkan, manakala banyak aktiviti yang berfaedah terhalang kerana kekangan PKPB di kebanyakan negeri, pertandingan ratu cantik pula dibuka dan dibenarkan.

Ia satu acara yang tidak memberi faedah kepada negara melainkan membawa impak negatif kepada masyarakat,” katanya.

Penganjur Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 pada Sabtu berkata pertandingan berkenaan tidak bertujuan mengeksploitasi kaum wanita.

Mereka mendakwa majlis yang akan diadakan di Putrajaya lebih kepada mewujudkan kesedaran terhadap pemerkasaan kaum hawa.

Pertandingan itu tidak memperagakan pakaian renang sebaliknya menonjolkan keyakinan dan kebijaksanaan wanita bertubuh besar, kata penganjur.

Md Ali berkata pertandingan berkenaan pada bulan depan jelas menunjukkan sikap tidak prihatin penganjur dalam menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, penganjur sengaja mahu mengundang kemarahan umat Islam dengan penganjuran pertandingan ratu cantik seperti ini.

“Apakah mereka sudah kering idea bagi menganjurkan aktiviti lain yang menambah nilai positif kepada masyarakat dan memberi kebaikan kepada semua pihak?

“Kami menegaskan, wanita bukan untuk dieksploitasi sedemikian rupa. Kecantikan wanita bukan untuk ditonton dan dipamerkan. Maruah dan harga diri wanita tidak boleh dijual beli dan diperagakan.

“Wanita adalah anugerah Tuhan untuk dimuliakan dan diangkat kedudukannya.

Mereka perlu dilindungi, dijaga, dikawal dan dipelihara sebaiknya.

Tempat mereka bukan di kawasan terbuka untuk dilihat oleh orang lain tanpa pakaian, tetapi di kedudukan tinggi yang dihormati semua pihak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-