Showing posts with label PKPB. Show all posts
Showing posts with label PKPB. Show all posts

Monday, January 11, 2021

Rentas negeri tidak lagi dibenarkan di seluruh negara

mykmu.net
January 11, 2021


PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara bermula Rabu ini.

Beliau berkata, bagi kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP), pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.

“Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada 12.01 tengah malam, Rabu ini.

“Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad dalam 10km radius sahaja,” katanya dalam perutusan khas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit berdekatan, hanya dua anggota isi rumah dibenarkan keluar dan berada dalam kenderaan sama.

Katanya, individu yang melanggar arahan itu boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

“Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan ‘take away’ manakala bagi kawasan PKPB dan PKPP, kedua-duanya
dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP ditetapkan.

“Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi,” katanya.

Muhyiddin berkata, pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital, farmasi dan bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

Calon SPM

Beliau berkata, walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021.

“Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran (KPM) akan memperincikan SOP ini,” katanya.

Katanya, bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum lima orang.

Perdana menteri berkata, bagi negeri dikenakan PKPP dan PKPB, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum ditetapkan dalam SOP.

“Pihak berkuasa agama negeri disaran memberi penetapan bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadira dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Katanya, bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70% atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu diberikan vaksin Covid-19.

“Buat masa ini, kerajaan telah pun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin Covid-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40% liputan populasi.

“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80% jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya.

Thursday, December 24, 2020

Biadap, Ulamak PAS desak Miss/Mrs Plus Malaysia batal

Projekmm.com
Khamis, 24 Dis 2020 07:35 PM MYT
Penganjur Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 berkata pertandingan berkenaan tidak bertujuan mengeksploitasi kaum wanita. — Foto Facebook

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan mendesak pertandingan Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 bulan depan dibatalkan.

Ketuanya, Md Ali Jamil berkata pertandingan berkenaan bercanggah dengan nilai Islam selain tidak bertepatan dengan suasana negara diancam Covid-19.

“Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan melihat penganjuran program ratu cantik di tengah wabak Covid-19 sangat tidak beradab, tidak bertanggungjawab dan memalukan negara.

“Di saat masjid dan rumah ibadah ditutup, aktiviti keagamaan tidak dibenarkan, majlis ilmu dihadkan, manakala banyak aktiviti yang berfaedah terhalang kerana kekangan PKPB di kebanyakan negeri, pertandingan ratu cantik pula dibuka dan dibenarkan.

Ia satu acara yang tidak memberi faedah kepada negara melainkan membawa impak negatif kepada masyarakat,” katanya.

Penganjur Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 pada Sabtu berkata pertandingan berkenaan tidak bertujuan mengeksploitasi kaum wanita.

Mereka mendakwa majlis yang akan diadakan di Putrajaya lebih kepada mewujudkan kesedaran terhadap pemerkasaan kaum hawa.

Pertandingan itu tidak memperagakan pakaian renang sebaliknya menonjolkan keyakinan dan kebijaksanaan wanita bertubuh besar, kata penganjur.

Md Ali berkata pertandingan berkenaan pada bulan depan jelas menunjukkan sikap tidak prihatin penganjur dalam menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, penganjur sengaja mahu mengundang kemarahan umat Islam dengan penganjuran pertandingan ratu cantik seperti ini.

“Apakah mereka sudah kering idea bagi menganjurkan aktiviti lain yang menambah nilai positif kepada masyarakat dan memberi kebaikan kepada semua pihak?

“Kami menegaskan, wanita bukan untuk dieksploitasi sedemikian rupa. Kecantikan wanita bukan untuk ditonton dan dipamerkan. Maruah dan harga diri wanita tidak boleh dijual beli dan diperagakan.

“Wanita adalah anugerah Tuhan untuk dimuliakan dan diangkat kedudukannya.

Mereka perlu dilindungi, dijaga, dikawal dan dipelihara sebaiknya.

Tempat mereka bukan di kawasan terbuka untuk dilihat oleh orang lain tanpa pakaian, tetapi di kedudukan tinggi yang dihormati semua pihak,” katanya.

Sunday, November 8, 2020

Semua sekolah di bawah KPM ditutup bermula esok hingga akhir tahun, kata menteri

Faiz Zainudin
-November 8, 2020 12:14 PM
Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin berkata, sepanjang tempoh penutupan sekolah, pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan mengikut kesesuaian guru dan murid.

PETALING JAYA: Semua sekolah dibawah Kementerian Pendidikan (KPM) ditutup bermula esok hingga hari terakhir persekolahan bagi tahun ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Radzi Jidin berkata, bagi sekolah di negeri Kumpulan A, sesi persekolahan berakhir pada 17 Disember, manakala bagi Kumpulan B pada 18 Disember.

Katanya, sekolah di negeri Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) juga ditutup hingga akhir tahun.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara ‘home-based learning’ mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Saturday, November 7, 2020

PKPB di Semenanjung? Ini SOP yang perlu anda tahu

 mykmu.net

November 7, 2020

Penduduk di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu pastinya terkejut selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri-negeri tersebut.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tempoh penguatkuasaan adalah selama empat minggu, bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020.

Berdasarkan maklumat tersebut, ia bermakna hanya tiga negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Perlis tidak dikenakan PKPB.

Bagi memastikan penduduk di semua negeri terkesan cakna dengan prosedur operasi standard (SOP) diamalkan, Astro AWANI kongsikan beberapa SOP yang turut diguna sebelum ini.


Berikut antara senarainya:

• Pergerakan keluar masuk/merentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada PDRM.

• Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

• Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

• Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz adalah ditutup.

• Aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.

• Semua aktiviti sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan.

• Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.

• Semua kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

• Restoran/kedai makan secara dine-in dihadkan 2-4 orang satu meja dengan SOP premis makanan yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, pembelian makanan digalakkan secara take away/delivery/drive thru.

• Pasar harian dibuka jam 6.00 pagi –
2.00 petang, Pasar Borong 4.00 pagi – 2.00 petang, Pasar Tani 6.00 pagi – 12.00 tengah hari.

• Operasi pasar malam adalah bermula 4.00 petang sehingga 10.00 malam dengan pematuhan SOP yang ketat dan dengan pengawasan anggota RELA.

• Operasi stesen minyak bermula daripada 6.00 pagi hingga 10.00 malam (kecuali di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam).

• Pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing (maksimum dua penumpang) dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.

• Kenderaan bawa pekerja boleh bawa penumpang seperti ditetapkan sebelum ini.

• Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.

• Waktu operasi klinik, hospital kerajaan dan swasta dibenarkan 24 jam manakala farmasi dan kedai ubat-ubatan mulai 8.00 pagi sehingga 11.00 malam.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sunday, June 7, 2020

PKP pemulihan mulai 10 Jun, rentas negeri dibenarkan

Adam Abu Bakar
-June 7, 2020 3:17 PM

Muhyiddin Yassin berkata, aktiviti pelancongan domestik dibenarkan, tetapi pelancongan ke luar negara dilarang kerana sempadan negara masih ditutup. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 9 Jun ini digantikan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini.

Perdana menteri berkata, keputusan melaksanakan PKPP itu dibuat selepas mendapati kadar kes dalam kalangan warga tempatan semakin baik dan terdapat tren penurunan kes.

Katanya, lebih banyak kelonggaran akan diberikan, termasuk perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun ini, kecuali di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Mereka yang ingin menziarahi ibu bapa tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen hari ini.

“Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat sesak semasa pulang ke kampung.”

Beliau berkata, hampir semua aktiviti sosial, termasuk keagamaan akan dibuka semula secara peringkat.

Katanya, Putrajaya sedang memperhalusi kelonggaran untuk lebih ramai jemaah menunaikan solat berjemaah dan menyertai aktiviti keagamaan di masjid serta rumah ibadat mengikut ruang keluasan.

Beliau berkata, waktu operasi perniagaan akan kembali seperti biasa dan aktiviti komersial bukan dalam premis juga dibenarkan.

Beliau memberi contoh lawatan ke muzium, “indoor busking”, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi, termasuk kolam pancing komersial serta penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

“Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, ‘food truck’ dan gerai makan juga akan dibenarkan.”

Muhyiddin berkata, aktiviti sukan dan rekreasi, termasuk latihan persediaan serta aktiviti sukan tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah dan konvoi motosikal dibenarkan.

“Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.”

Katanya, aktiviti pelancongan domestik turut dibenarkan, tetapi pelancongan ke luar negara dilarang kerana sempadan negara masih ditutup.

Beliau berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban dibenarkan, tetapi tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.

Muhyiddin berkata, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP selepas Kementerian Pendidikan mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.

Katanya, beberapa aktiviti atau sektor masih dilarang, termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, refleksologi, karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah ramai, kenduri, rumah terbuka serta aktiviti lain melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan SOP.

PKPB mula dilaksanakan sejak 4 Mei lalu menggantikan PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Antara larangan dilaksanakan Putrajaya di bawah PKPB termasuk perjalanan rentas negeri bagi tujuan balik kampung untuk berhari raya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-