Monday, December 28, 2020

Lapan ditahan ceroboh Hutan Simpan Panti

MyMetro
Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
ANTARA individu yang ditahan dalam operasi berkenaan, FOTO Ihsan JPNJ

Kota Tinggi : Lapan individu termasuk seorang wanita ditahan disyaki menceroboh Air Terjun Sungai Pelepah Kiri, Hutan Simpan Panti, di sini, semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), kesemua mereka ditahan hasil rondaan bersepadu bagi memantau aktiviti pencerobohan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Hutan Simpan Panti.

"Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Batu Ampat, Kota Tinggi untuk diambil keterangan.

"Lanjutan daripada tangkapan ini, mereka boleh disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, kes terbabit dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan, JPNJ dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"JPNJ memohon kepada orang awam yang memperoleh maklumat berkaitan pencerobohan di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) perlulah memaklumkan secara rasmi berserta bukti bagi membolehkan jabatan ini menjalankan siasatan dan tangkapan sekiranya laporan itu benar.

"Kami menasihatkan orang awam supaya mendapatkan maklumat yang jelas berkaitan keperluan dan kaedah permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal di pejabat hutan daerah terdekat sebelum menjalankan aktiviti dalam HSK.

"JPNJ bersama agensi penguat kuasa akan sentiasa menjalankan operasi pemantauan bersepadu bagi memastikan aktiviti pencerobohan dan aktiviti lain di dalam HSK dapat di bendung. Selain mengurangkan kemalangan yang berlaku dalam HSK yang berlaku di luar pengetahuan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 8:36 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-