Showing posts with label hutan simpan. Show all posts
Showing posts with label hutan simpan. Show all posts

Sunday, September 19, 2021

Satu lagi hutan di S'gor berdepan risiko pembangunan

malaysiakini.com
Annabelle Lee, Chong Siew Zhen & Mukhriz Hazim
Diterbitkan: Sep 19, 2021 8:19 AM

Ketika orang ramai meraikan pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara, sebuah kumpulan di Selangor berusaha untuk mempertahankan sebuah kawasan hijau.

Kawasan Barat Laut Kuala Langat adalah kawasan yang dikenali sebagai Rimba Komuniti Shah Alam (SACF), yang sebelumnya disebut sebagai Setia Alam Community Trail.

Berkeluasan sekitar 174 hektar atau bersamaan 242 padang bola, SACF adalah tempat mendaki popular terutama di kalangan warga Shah Alam dan Klang. Hutan ini juga kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Dalam draf rancangan tempatan terbarunya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menetapkan sebahagian SACF sebagai tanah perkuburan dan untuk projek pembangunan bercampur, selain pembinaan jalan raya merentasinya.

Penduduk tempatan dan NGO alam sekitar menentang usaha berkenaan.

Lima bulan setelah pihak berkepentingan menyatakan bantahan mereka dalam pendengaran awam, mereka masih menunggu MBSA membuat keputusan muktamad,

Rancangan pembangunan MBSA

SACF terletak di tengah-tengah kawasan perbandaran Setia Alam dan Setia Eco Park yang semakin padat.

Peta menunjukkan ia dikelilingi oleh banyak pembangunan perumahan - sebahagiannya sedia ada dan banyak lagi yang sedang dibangunkan.

Pembangunan yang pesat kini telah memasuki ke pinggir hutan.

Para pendaki biasanya melalui pintu masuk trek SACF yang dikelilingi pagar besi di tapak projek perumahan Precinct Arundina.
Menurut Draf Rancangan Tempatan MBSA 2035, MBSA bercadang membina jalan baru yang menghubungkan Setia Alam dan Seksyen U10 di Shah Alam.

Peta (lihat di bawah) menunjukkan bahawa jalan tersebut akan merentasi SACF.

Walaupun MBSA tidak menetapkan berapa panjang jalan ini, penduduk tempatan menganggarkan ia sejauh 1km.
Jalan ini juga ditunjukkan dalam peta "penggunaan tanah" dalam rancangan tempatan yang sama (di bawah ). MBSA menetapkan bahagian SACF ini sebagai zon "tanah perkuburan" untuk orang ramai.

Di samping itu, draf rancangan itu menetapkan bahagian utara hutan yang lebih luas bagi projek pembangunan campuran (warna ungu ).

Malaysiakini difahamkan bahagian berwarna kelabu adalah tanah milik MBSA.

Sementara itu, bahagian berwarna ungu adalah milik kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Habitat bagi spesis terancam

Antara yang lantang menentang rancangan ini ialah Persatuan SACF - sebuah kumpulan yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pakar alam sekitar seperti Teckwyn Lim.

Lim, seorang penyelidik yang mengajar di University of Nottingham Malaysia, berkata hutan berkenaan berfungsi sebagai habitat bagi hidupan liar dan tumbuh- tumbuhan.

Diklasifikasikan sebagai hutan dipterokarpa pamah, dia berkata SACF telah terpelihara dengan dengan baik tanpa sebarang tanda-tanda pembalakan berskala besar dan pembakaran hutan.

Dalam tinjauan biodiversiti yang dilakukan di SACF dan kawasan sekitar hutan itu pada penghujung tahun 2020, para penyelidik merekodkan penemuan 106 spesis burung, 14 daripadanya merupakan spesis terancam atau rentan.

Ini termasuk Burung Daun Besar (Greater Green Leafbird), Burung Tali Pocong (Asian Paradise Flycatcher) dan burung Pong-Pong (Fluffy-backed Tit-Babbler).


Mereka juga merekodkan 14 spesis mamalia dan reptilia.

Ini termasuk spesis terancam seperti Ungka Tangan Putih, Monyet Lutong, Kongkang Sunda serta spesies yang rentan seperti Makau Ekor Panjang.

Lim menjelaskan SACF berfungsi sebagai 'jambatan' semula jadi yang menghubungkan kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah dan kawasan tadahan air Subang di utara. Ia juga melindungi Taman Botani Negara Shah Alam di bahagian selatan, yang dulu dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam.

Dia berpendapat adalah sangat penting untuk memelihara koridor ekologi ini bagi menjaga ekosistem sedia ada.

"Sangat penting untuk hubungan ini berlaku. SACF membentuk hubungan penting antara kedua-dua kawasan hutan ini, ” jelasnya kepada Malaysiakini .

Koridor berkenaan sudah agak terganggu disebabkan pembinaan Persiaran Mokhtar Dahari.

Jalan ini membahagi bahagian utara SACF dengan kawasan rimba yang bersambungan dengan Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Sejak 2013, Lim menganggarkan sekurang-kurangnya tujuh penampakan tapir di sepanjang jalan yang sibuk itu. Malangnya, sebahagiannya sudah mati setelah ditemui.

Tapir adalah spesies yang terancam.


Rimba komuniti, faedah bagi masyarakat

SACF tidak diiktiraf secara rasmi sebagai laluan mendaki oleh MBSA atau mana-mana pihak berkuasa.

Terdapat juga "tasik SACF" - tempat yang disukai burung dan penggemar fotografi tempatan.


SACF memiliki beberapa puncak - yang tertinggi adalah Taman Puncak (226m di atas permukaan laut) dan Puncak Budiman kedua (143m di atas permukaan laut).

Dengan semua tempat menarik ini, SACF sering sesak pada hujung minggu.

Keghairahan ini dapat dilihat apabila komuniti berkumpul dalam kumpulan Facebook yang mempunyai 10,000 ahli sehingga kini.
Bagi pengasas dan Setiausaha Persatuan SACF, Alicia Teoh, rasa sayang yang ditunjukkan kepada hutan berkenaan merupakan sebab mengapa ia harus dipelihara.

" Penduduk di sekitar sini menghargai nilai hutan, bukan hanya dari segi harga harta tanah tetapi pemandangan dan udara.

"Ada begitu banyak faedah yang diberikan oleh hutan ini kepada kami sehingga anda tidak boleh meletakkan harga, (dan) ini adalah nilai semula jadi.

"Sangat jelas orang ramai menginginkannya tetapi saya tidak tahu mengapa kerajaan tidak dapat melihatnya atau (mungkin) mereka memilih untuk mengabaikan atau menafikannya," katanya kepada Malaysiakini .

Teoh mengingatkan bahawa rancangan MBSA untuk membina jalan itu sahaja akan memusnahkan hutan seluas 20 hektar iaitu seluas 28 padang bola.

Masih hutan simpan?

Pada April, anggota Persatuan SACF menghadiri pendengaran awam mengenai draf rancangan tempatan MBSA dan menjelaskan mengapa mereka menentangnya.

Majlis tempatan itu dilaporkan menerima 718 bantahan bagi pembinaan jalan dan 195 bantahan bagi tanah perkuburan.
Atas sebab alam sekitar dan komuniti, mereka membangkitkan kemungkinan SACF masih boleh menjadi sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Pada tahun 2002, majlis mesyuarat kerajaan negeri bersetuju menyahwarta sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Cherakah. Ini merangkumi kawasan di mana SACF berada sekarang.

Tahun lalu, Lim bersama dengan pakar perhutanan dan ahli Jawatankuasa Persekitaran dan Perubahan Iklim Majlis Peguam Malaysia melakukan kajian mengenai status tanah hutan berkenaan.

Mereka tidak menemui bukti adanya notis berkaitan dalam warta kerajaan negeri Selangor bagi keputusan menyawarta tersebut.

Seksyen 13 Akta Perhutanan Negara 1984 menyatakan pihak berkuasa hendaklah memberitahu dalam warta apa-apa pengeluaran kawasan tanah daripada hutan simpanan kekal.
Tanpa adanya notis seperti itu, Lim berpendapat proses penyahwartaan tidak lengkap dan menjadikan ia terbatal.

Oleh itu, dia berpendapat SACF harus kekal menjadi hutan simpan kekal dan dilindungi daripada pembangunan.

" Walaupun exco membuat keputusan, tidak pernah diterbitkan dalam warta.

"Persoalannya adalah - apakah penerbitan dalam warta itu sangat penting atau adakah anda harus melihat keputusan exco untuk menentukan apakah itu hutan simpan atau tidak?

"Untungnya undang-undang ini sangat jelas, undang-undang itu mengatakan ia tetap menjadi hutan simpan hingga notis pengecualian diterbitkan dalam warta ," kata Lim kepada Malaysiakini .

Semasa pendengaran awam, anggota exco Selangor Hee Loy Sian (Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli) dan Ng Sze Han (Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru) dilaporkan memberitahu Persatuan SACF bahawa mereka akan melihat status tanah ini.

Mereka masih belum memberikan jawapan kepada kumpulan berkenaan.

Hee dan Ng tidak memberikan respons terhadap permintaan berulang kali oleh Malaysiakini untuk mendapatkan maklumat mengenai status tanah SACF.

Malaysiakini juga telah menghubungi MBSA dan Jabatan Perhutanan Selangor untuk pengesahan mengenai status sah tanah tersebut.

Mereka masih belum memberi respons semasa laporan ini ditulis.
Sementara itu Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong memberitahu Malaysiakini bahawa ketiadaan notis mengenai penyahwartaan tidak semestinya menjadikan keputusan exco cacat kerana hak milik tanah adalah dokumen paling penting.

" Sekiranya ada keputusan oleh exco dan proses penyahwartaan diselesaikan oleh Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah telah mengeluarkan hak milik; maka ungkapan 'title is king' yang sering digunakan akan berlaku, " katanya.

Wong, yang kini mempengerusikan Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Selangor, berkata kerajaan negeri boleh memperbaiki keadaan tersebut dengan menerbitkan notis under tarikh (backdated).

Sebagai alternatif, Wong mencadangkan agar Persatuan SACF berinteraksi dengan pemilik tanah sekarang dan merundingkan usaha pemuliharaan di kawasan hutan sebagai gantinya.

[Baca berita asal]

Monday, December 28, 2020

Lapan ditahan ceroboh Hutan Simpan Panti

MyMetro
Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
ANTARA individu yang ditahan dalam operasi berkenaan, FOTO Ihsan JPNJ

Kota Tinggi : Lapan individu termasuk seorang wanita ditahan disyaki menceroboh Air Terjun Sungai Pelepah Kiri, Hutan Simpan Panti, di sini, semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), kesemua mereka ditahan hasil rondaan bersepadu bagi memantau aktiviti pencerobohan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Hutan Simpan Panti.

"Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Batu Ampat, Kota Tinggi untuk diambil keterangan.

"Lanjutan daripada tangkapan ini, mereka boleh disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, kes terbabit dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan, JPNJ dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"JPNJ memohon kepada orang awam yang memperoleh maklumat berkaitan pencerobohan di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) perlulah memaklumkan secara rasmi berserta bukti bagi membolehkan jabatan ini menjalankan siasatan dan tangkapan sekiranya laporan itu benar.

"Kami menasihatkan orang awam supaya mendapatkan maklumat yang jelas berkaitan keperluan dan kaedah permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal di pejabat hutan daerah terdekat sebelum menjalankan aktiviti dalam HSK.

"JPNJ bersama agensi penguat kuasa akan sentiasa menjalankan operasi pemantauan bersepadu bagi memastikan aktiviti pencerobohan dan aktiviti lain di dalam HSK dapat di bendung. Selain mengurangkan kemalangan yang berlaku dalam HSK yang berlaku di luar pengetahuan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 8:36 AM

Sunday, November 15, 2020

Ceroboh 18 hektar tanah, adakah mereka ada ‘backup’ besar?

ismaweb.net
Siti Hafidah 
Bimbang wujud campur tangan politikus seperti kes di Raub

BANGI, 29 Rabiulawal 1442H, Ahad – Aktiviti penerokaan secara haram kawasan Hutan Simpan Lesong seluas 18 hektar bagi mengusahakan tanaman durian Musang King, di Rompin bukan satu kebetulan.

Difahamkan, kegiatan berskala besar itu dilakukan di Kompartmen 74 dan 75 membabitkan penggunaan pelbagai jentera berat untuk membersih dan meratakan kawasan selain aktiviti menanam pokok.

Selain Musang King, pihak terbabit turut menanam pokok durian belanda, nangka dan kelapa, mereka juga turut membina stor simpanan barangan dan pejabat dalam kawasan itu.

Memetik laporan berkenaan, Presiden gerakan Islam, Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan aktiviti haram pihak terbabit bukanlah secara sembunyi atau curi-curi, tetapi sudah seperti ‘level’ menjarah tanah.

“Lebih menarik lagi, pihak pejabat hutan daerah sudah memberikan lima kali amaran sebelum ini. Lima kali amaran bukannya sedikit, dan itu pun tidak menggerunkan mereka.

“Sepatutnya sekali amaran sahaja sudah cukup, dan terus ambil tindakan. Apakah ada ‘backup’ besar yang membuatkan mereka begitu berani dan rasa kebal?,” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Bimbang campur tangan politikus seperti yang berlaku kes percerobohan tanah haram di Raub kembali berulang, beliau menggesa kerajaan negeri bertegas.

Beliau percaya mereka akan membuka lebih luas kawasan tanaman durian Musang King kerana jentolak masih melakukan kerja pembersihan hutan.

Bahkan, banyak benih durian yang belum ditanam dan disimpan di tapak semaian.

Jika dibiarkan lagi lama, entah berapa hektar lagi akan dijarah.

“Syabas kepada pegawai-pegawai yang berani membuat serbuan ini.

” Saya pasti ini bukannya noktah bagi penceroboh ini kerana tidak mustahil ‘modus operandi Raub’ bakal diulang di mana akan wujud campur tangan politikus-politikus yang hadir kononnya membela ‘pekebun yang tertindas’.

“Sebab itulah kes Raub sebelum ini sangat penting untuk kerajaan negeri bertegas. Selepas ini kita tidak tahu hutan mana, di daerah mana pula akan ‘dicuri’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Wednesday, September 30, 2020

Orang Asli, Adun, agensi bersatu bantah nyahwarta hutan simpan

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 8:55 am

Satu sesi town hall berkenaan rancangan kerajaan Selangor untuk menyahwarta sebahagian besar hutan simpan Kuala Langat (Utara) menyaksikan masyarakat Orang Asli, NGO alam sekitar, agensi persekutuan dan malah syarikat swasta bersama-sama membantah hasrat itu.

Walaupun diadakan di Pulau Carey, yang memakan perjalanan selama 55 minit daripada hutan itu, wakil sekurang-kurangnya tujuh kampung Orang Asli menghadirinya semalam.

Mereka dari Kampung Busut Baru, Kampung Pulau Kempas, Kampung Bukit Cheeding, Kampung Bukit Kecil, Kampung Bukit Tadom, Kampung Sungai Bumbun and Kampung Bakar Leleh.

Tok batin Kampung Busut Sari Senin bangun untuk menjelaskan bagaimana orang di kampungnya sering ke hutan simpan itu untuk mencari makanan, ubat-ubatan dan untuk amalan keagamaan.

"Saya tak setuju cadangan untuk nyahwarta hutan untuk projek pembangunan.

"Kerajaan negeri harus tarik balik penyahwartaan hutan ini," katanya.
Sari Senin
Sementara kebanyakan Orang Asli menyuarakan bantahan terhadap langkah itu, beberapa lagi menggesa lebih perhatian diberikan untuk mewartakan kampung mereka sebagai perkampungan Orang Asli.

Menurut tok batin Kampung Pulau Kempas Rahman Pahat, tanpa geran, ramai Orang Asli hidup dalam kebimbangan tempat tinggal mereka - yang telah diduduki keluarga bergenerasi lamanya - akan dirampas.

"Selagi kampung tak diwarta, selagi itulah pencerobohan berlaku.

"Kami bersuara dalam hal hutan simpan ini, (tetapi) kampung kami apa jadi? Ini yang saya nak, warta penting bagi anak cucu kami," katanya.
Rahman Pahat
Kenapa bangunkan hutan simpan?

Ketika sesi itu, penolong pengarah Seksyen Pengurusan Hutan Lembap Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Harry Yong menggesa kerajaan negeri menimbang semula rancangannya yang disifatkan akan membawa kepada "pembaziran dana awam".

Menurutnya, ini kerana wang pembayar cukai telah pun digunakan untuk memulihkan semula kawasan hutan yang pernah terbakar.

"Kerajaan negeri sendiri bangunkan kemudahan pencegahan kebakaran di hutan simpan ini.

"Dianggarkan kerajaan negeri dan persekutuan telah melaburkan sebanyak RM2.2 juta untuk pemuliharaan hutan," katanya lagi.
Harry Yong
Sementara itu, Pengarah Global Environment Centre (GEC) Faizal Parish Abdullah mahu lebih perincian diberikan berkenaan projek "pembangunan bercampur" yang ingin dilakukan dengan penyahwartaan hutan.

"Pembangunan bercampur apa? Kenapa penting sangat sampai mesti ambil satu hutan paya gambut di selatan Selangor? Apa manfaatnya untuk Orang Asli dan orang Selangor?

"Siapa pemaju? Kita tahu Menteri Besar Incorporated dengan pemaju lain (tetapi) siapa?

"Kenapa mereka nak sangat buat (projek di) kawasan ini? Tak ada tanah lain di Selangor? Kita tahu banyak sangat tanah yang ada," katanya.
Faizal Parish Abdullah
Beberapa peserta lain turut membangkitkan kewajaran projek itu di saat Selangor sudah pun berdepan masalah lambakan hartanah kediaman dan komersial.

Ketua Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM Sharan Raj mengesyaki masalah lambakan itu kian buruk susulan wabak Covid-19.

"Kita ada lambakan. Jadi adakah kita perlukan projek ini?"

Antara yang turut menyuarakan bantahan dalam sesi itu adalah Centre for Orang Asli Concerns (COAC), Malaysia Nature Society, World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Treat Every Environment Special (Trees), Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam (Peka) dan Greenpeace Malaysia.

Boh Plantations Sdn Bhd, yang memiliki ladang Sri Cheeding terletak berhampiran hutan simpan itu, turut menghantar wakil bagi menyuarakan bantahan syarikat terhadap rancangan penyahwartaan.

Selain itu, turut bersama ialah tiga Adun Selangor iaitu Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Lau Weng San (Banting).

Rancangan untuk menyahwarta hutan simpan Kuala Langat (Utara) menerima 45,423 bantahan, termasuk 29,443 menerusi petisyen dalam talian, 11,953 e-mel dan 3,895 bantahan bertulis.
Selain Orang Asli dan NGO, turut membantah adalah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Institut Arkitek Landskap Malaysia (Ilam).

Hee: MBI adalah pemaju 'setakat ini'

Sesi empat jam itu dipengerusikan Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian.

Turut hadir adalah wakil daripada Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar Selangor, Jabatan Tanah dan Survei Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langar dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Di awal program, beberapa peserta dilarang memasuki dewan. Perkara itu selesai setelah Hee meminta semua orang untuk dibenarkan masuk.

Dalam ucapan penutupnya, Hee berjanji akan membincangkan persoalan yang dibangkitkan dalam mesyuaratnya bersama pakar dan agensi kerajaan.

Keputusan akhir berkenaan penyahwartaan akan dibuat oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri, katanya lagi.
Berkenaan permintaan untuk pewartaan perkampungan Orang Asli, Hee berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan geran kepada 74 kampung Orang Asli.

"Kita telah peruntukkan RM1.5 juta untuk proses pewartaan 74 kampung Orang Asli di Selangor dan ini termasuk empat kampung yang disebut tadi, serta Kampung Busut Baru.

"Saya ingin katakan bahawa kita sentiasa pertahan hak Orang Asli," katanya.

Ditanya kemudian berkenaan projek pembangunan bercampur itu, Hee tidak memberikan maklumat tambahan tetapi menjelaskan ia masih di tahap cadangan sehinggalah hutan simpan itu ditukar status menjadi tanah kediaman atau komersial.

"Setakat ini pemaju adalah MBI di bawah kerajaan negeri.

"Kita belum berikan (projek) lagi. Setakat ini MBI," katanya lagi.
Annabelle Lee

Friday, February 15, 2019

Peguam: K'jaan Johor membisu isu pencerobohan Sungai Pulai

Diterbitkan Hari ini 8:38 pagi


Kerajaan negeri Johor kini tidak sepatutnya membisu berhubung keputusan kerajaan terdahulu membenarkan sebahagian daripada hutan simpan Sungai Pulai dibangunkan sebagai pusat peranginan, kata peguam N Surendran.

Dalam satu kenyataan, Surendran, yang merupakan penasihat kepada Lawyers For Liberty, berkata pencerobohan hutan di Sungai Pulai yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sepatutnya didedahkan kepada umum oleh kerajaan negeri sekarang.

"Pendedahan terbaru mengenai pembangunan hutan simpan bakau Sungai Pulai sangat mengejutkan. Terutama mengenai kemelut Pulau Kukup baru-baru ini, yang menggesa campur tangan segera dan drastik oleh kerajaan persekutuan untuk memelihara kawasan bakau yang kaya di Johor.

"Kini jelas kerajaan Johor tidak mampu melindungi tapak ini, walaupun keputusan dan proses pembangunan bermula semasa pemerintahan BN, kenapa Pakatan Harapan Johor berdiam diri?

"Mereka juga senyap mengenai Pulau Kukup sehingga didedahkan media," kata Surendran.

Terdapat tiga hutan bakau di Johor - Pulau Kukup, Sungai Pulai dan Tanjung Piai - yang dianggap tanah lembap berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar, perjanjian antarabangsa yang mana Malaysia menandatanganinya.

Disember lalu, Malaysiakini mendedahkan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi sepenuhnya dibatalkan secara senyap-senyap.

Keputusan itu dibuat oleh kerajaan Johor pada Mac 2018.

Semalam, Malaysiakini menerbitkan laporan khasyang menegaskan bahawa kerajaan Johor membenarkan sebahagian daripada hutan simpan Sungai Pulai untuk dibangunkan menjadi padang golf 2,000 ekar.

Surendran berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor berdiam diri berhubung perkara itu kerana orang ramai menjangkakan tahap ketelusan yang tinggi daripada kerajaan baru.

"Sementara itu, pemimpin negeri dan persekutuan BN sebelum ini mesti menjelaskan bagaimana kemusnahan hutan simpan Sungai Pulai berlaku secara senyap-senyap dan berdasarkan alasan apa mereka membenarkannya, "katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-