Friday, December 4, 2020

Pembentukan kerajaan baharu Perak tanpa PAS

Jumaat, 04 Dis 2020 05:58 PM MYT

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akan terus berperanan seperti biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional. 
Foto oleh Miera Zulyana

KUALA LUMPUR, 4 Dis — PAS membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu ekoran keputusan penolakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, bagaimanapun, berkata PAS akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.

“PAS mengambil maklum keputusan usul undi percaya majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak terhadap Ahmad Faizal yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini di mana tiga Adun PAS menyokongnya (Ahmad Faizal).

“Sokongan itu selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah (Biro) politik PAS pusat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti adun dalam usul undi percaya terhadap menteri besar yang dikemukakan pada persidangan DUN Perak hari ini.

Dalam undi sulit terhadap usul itu, Ahmad Faizal, yang juga Adun Chenderiang, hanya menerima 10 undi menyokong manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi merangkumi 25 Adun BN yang kesemuanya daripada Umno, 16 daripada DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (5), Amanah (5), PKR (3), PAS (3), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menerusi hantaran Facebooknya berkata pimpinan parti itu akan membincangkan keputusan undi percaya yang tidak menyebelahi Ahmad Faizal terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.

 — Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-