Thursday, January 14, 2021

Anwar dicadang buat petisyen kepada Agong, PM tiada majoriti

Oleh MALAYSIA DATELINE
January 14, 2021 1:08 pm


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dicadangkan supaya mengadakan satu petisyen kepada Yang Dipertuan Agong untuk meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan kerana beliau tidak mempunyai sokongan majoriti lagi.
Seorang peguam, Zulhazmi Sharif (gambar) dalam cadangannya berkata, semua maklum bahawa keadaan sekarang yang tidak menyokong Kerajaan adalah 111 berbanding 109 yang tidak diketahui masih menyokong atau sebaliknya.

Justeru kerajaan sedia ada, katanya, khususnya Perdana Menteri sudah tidak mempunyai sokongan majoriti di bawah Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam situasi ini, Perdana Menteri hanya ada dua (2) pilihan iaitu samada meletak jawatan atau mohon perkenan pembubaran Parlimen, katanya.

“Oleh kerana darurat sedang berjalan dan diumumkan bahawa tiada apa-apa pilihanraya boleh dijalankan maka hanya satu (1) pilihan bagi Perdana Menteri iaitu meletakkan jawatan.

“Mengetahui kebebalan Perdana Menteri yang tidak tahu malu dan masih mahu kekal menjawat jawatannya maka suatu petisyen kepada ke bawah Duli Tuanku memohon perkenan Tuanku memanggil Perdana Menteri dan menasihatkan beliau meletak jawatan wajar dipertimbangkan,” kata beliau.

Bagi beliau, Baginda ke bawah Duli Tuanku perlu dimaklumkan secara rasmi kedudukan sokongan kepada Perdana Menteri sekarang supaya Tuanku boleh bertindak melantik seorang Perdana Menteri baru bagi menerajui Jemaah Menteri atau sebuah Kerajaan Baru Sementara dalam keadaan darurat.

“Ini sewajarnya dilakukan terlebih dahulu berbanding penubuhan Jawatankuasa Bebas Khas Covid19 untuk menasihati Tuanku kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memohon nama untuk keanggotaan Jawatankuasa juga sudah tidak layak dalam kerajaan.

“Tindakan memberi nama dan bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa sebelum seorang Perdana Menteri baru dilantik adalah tidak wajar dan bercanggah dengan Perlembagaan malah boleh dilihat sebagai mengiktiraf kerajaan sedia ada,” kata beliau.

Pihak Pembangkang khususnya Ketua Pembangkang, katanya, perlu sedar dan mengambil tindakan aktif dalam hal ini atas prinsip mempertahankan Perlembagaan yang dicanang selama ini.

“Jangan hanya kerana tidak tahu 111 menyokong siapa maka dibiarkan suatu pihak minoriti mentadbir negara.

“Ke Bawah Duli Tuanku perlu mendapat gambaran dan keadaan sebenar secara rasmi bukan hanya bergantung sidang media atau kenyataan media,” kata beliau.

Jawatankuasa Bebas Khas ini, katanya, boleh dimuktamadkan setelah isu keabsahan Perdana Menteri dan kerajaannya diselesaikan.

Semalam median melaporkan, bahawa Ketua Pembangkang telah dihubungi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri memohon nama wakil pembangkang sebagai ahli bagi Jawatankuasa Khas Covid19 yang dicadangkan oleh Kerajaan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan keperluan proklamasi darurat ditamatkan lebih awal berbanding tarikh asal 1 Ogos 2021.

Tanpa menyentuh budibicara YDPA untuk memperkenan proklamasi darurat, sewajarnya juga pihak pembangkang khususnya Ketua Pembangkang memohon perkenan ke bawah Duli Tuanku terkait keabsahan Kerajaan Tuanku sekarang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-