Sunday, January 10, 2021

Bentuk kerajaan perpaduan yang dapat mandat rakyat selesai krisis, kata Mahfuz

Oleh FAZLI RADZI
malaysiakini.com
January 10, 2021 10:18 pm



Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berpendapat pembentukan kerajaan perpaduan baharu penting bagi menyelesaikan krisis politik negara.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) harus diberikan peluang mengetuai kerajaan perpaduan baharu dengan mempelawa parti lain sebagai rakan gabungan.

“Kerajaan perpaduan itu perlu untuk gabungkan semua pihak bagi pastikan negara lebih stabil. Kalau berasaskan majoriti sahaja pun tak dapat selesaikan masalah sekiranya berlaku penarikan sokongan.

“Harus ada kesepakatan dan perjanjian tiada PRU dalam masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, kerajaan perpaduan sedia ada Perikatan Nasional (PN) dibina berasaskan kepada pengkhianatan mandat rakyat menyebabkan ia goyah dan perlu kembali kepada kerajaan perpaduan yang mendapat mandat rakyat pada 2018.

Dalam masa sama, tegasnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melepaskan jawatan memandangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin hilang sokongan.

Terbaharu Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bersama 12 bahagian UMNO Kelantan menarik diri menyokong kerajaan PN.

“Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga mempersoalkan keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan Umno Gua Musang memutuskan menolak sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” ujarnya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sumbangan pakaian dan beg sekolah sempena program Kembali Ke Sekolah Parlimen Pokok Sena hari ini.

Mahfuz berkata, situasi terkini menyaksikan kerajaan PN hilang majoriti di Dewan Rakyat dengan hanya 110 ahli Parlimen daripada 222 menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN.

“Jumlah sokongan dimiliki Ahli Parlimen Pagoh itu sekarang 110 sahaja, iaitu bawah bilangan majoriti,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik pengganti di kalangan ahli Parlimen yang memperoleh majoriti sokongan untuk membentuk kerajaan baharu.

Mahfuz menegaskan kerajaan yang kukuh perlu kerana perbezaan tipis dengan dua atau tiga kerusi dibimbangi akan merosakkan masa depan negara.

Tambahnya lagi, PRU15 tidak sesuai ketika ini, sebaliknya hanya pembentukan kerajaan baharu yang diperkenankan Seri Paduka Baginda dapat merungkai kemelut politik ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-