Saturday, January 30, 2021

Petugas positif Covid-19: Jabatan Kecemasan & Trauma HSNZ Terengganu ditutup sementara

Bernama
-January 30, 2021 11:01 AM

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, perkhidmatan Unit Rawatan Rapi, dewan bedah dan kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah berjalan seperti biasa.

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengesahkan seramai 48 petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dijangkiti Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata, kesemua petugas berkenaan kini diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, siasatan untuk mengenal pasti punca jangkitan sedang dijalankan dan kontak rapat kes juga disaring dan diasingkan.

“Pengurusan rawatan pesakit di HSNZ masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.

“Perkhidmatan Unit Rawatan Rapi (ICU), dewan bedah dan kecemasan juga masih berjalan.

“Namun, bagi mengurangkan gangguan pada perkhidmatan sedia ada, rawatan kes ringan di Jabatan Kecemasan & Trauma ditutup sementara bermula semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes ringan (zon hijau) untuk datang ke Jabatan Pesakit Luar HSNZ atau ke klinik kesihatan berdekatan.

Dr Nor Azimi Yunus
Nor Azimi berkata, orang awam juga diminta tidak menularkan sebarang berita tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Jabatan akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit di kawasan hospital,” katanya.

Semalam, maklumat mengenai penularan Covid-19 dalam kalangan petugas HSNZ tular di media sosial, terutama aplikasi WhatsApp.

Ia menarik perhatian orang ramai yang melahirkan kebimbangan mengenai tahap perkhidmatan di hospital tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-