Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Thursday, January 28, 2021

Siapa di belakang usaha jadikan Zahid liabiliti Umno?

themalaysiadateline.com
Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA
January 28, 2021 10:44 am


Desakan terbuka melalui kain rentang dan akar umbi Umno supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai presiden, dapatkah diertikan petanda adanya rancangan bahawa Umno bakal mempunyai pemimpin baharu?

Kain-kain rentang yang dipasang di Kuala Kangsar dan Tanjung Malim, sebelum ini di Seremban dan Shah Alam mempamerkan kaedah dan taktik pecah-belah yang bertujuan supaya elemen penafian, timbulnya tuduh menuduh dan laga-melaga yang akan membawa kepada situasi haru-biru dan `chaos’ dalam Umno. Agak menarik untuk memerhatikan secara wacana perjalanan berita ini.

Jika diteliti dari manakah sumber berita kain rentang dan desakan supaya Zahid letak jawatan ini. Adakah sumber berita dari dalaman Umno sendiri atau dari luar?

Wacananya ialah “letak jawatan”. Jika ini menjadi tema andaikan daripada sumber dalaman yang ingin mencetuskan keharubiruan maka akan beberapa objektik ingin dicapai.

Dalam percaturan strategi yang berselindung di sebalik pelitup itu, antara objektif yang ingin dicapai oleh halimunan-halimunan politik ini sama ada jangka pendek dan jangka panjang ialah memecah belah Umno, Umno dengan kepimpinan totok pro Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) atau mentalkinkan Umno.

Dalam agenda tersebut terdapat kumpulan-kumpulan ahli parlimen dan penyokong-penyokong yang cenderung kepada pihak-pihak tertentu antaranya pro-Tun Dr Mahahir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau berkecuali dengan pelbagai niat, motif dan hasrat.

Dalam hal ini Presiden Umno dijadikan liabiliti dan mangsanya. Walaupun terdapat kewajaran untuk Zahid meletakkan jawatan atau berehat sementara menunggu kes mahkamah selesai tetapi kemelut ini akan digunakan pihak-pihak tertentu untuk meraih kuasa dalam Umno, sekurang-kurang mencetuskan persepsi dalam kalangan akar umbi bahawa Zahid adalah liabiliti kepada masa depan Umno.

Percaturan ini boleh menjadi membunuh dua ekor burung dengan melastik seketul batu, mendesak Zahid letak jawatan dan pada masa yang sama agenda multi dimensional yang berada dalam gambar satu bingkai: pemimpin baharu, pengaruh akar umbi Umno ke arah Bersatu, pecahkan Umno atau kuburkan Umno sama ada melalui proses undang-undang atau hilang sokongan akar umbi.

Kita akan melihat tokoh-tokoh tertentu, ahli politik tertentu akan digunakan mengeluarkan kenyataan-kenyataan supaya Zahid meletak jawatan dengan justifikasi moral politik.

Penggunaan moral politk bukan atas dasar kebenaran (walau tidak dinafikan itulah hakikatnya) tetapi kesempatan yang diambil dengan mewujudkan justifikasi pengawajahan atau pencitraan atas sosok tertentu.

Perhatikan bagaimana syarikat akhbar Utusan dicabut pengaruh Umno yang dahulunya merupakan akhbar lidah Umno secara langsung dan tidak langsung.

Namun bagi kumpulan sang politikus halimunan gerakan kain rentang dan desakan supaya Zahid letak jawatan pada peringkat awalnya untuk membuka ruang kepada persepsi negatif akar umbi dan penyokong Umno berhubung tahap keyakinan terhadap parti.

Perbuatan dilakukan ‘musuh politik’ bertujuan melaga-lagakan hubungan dalam kalangan ahli Umno. Maka media sosial adalah pentas terbaik bagi mereka membuat keputusan.

Kita dapat perhatikan yang terbaharu daripada Umno Paya Besar yang memberi alasan antaranya “lemah ketegasan tindakan”, di sebalik pergolakan dalam parti yang berpaksikan kerjasama Umno dengan PPBM.

Ketuanya, Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa arah tuju parti yang tidak jelas meluntur daya juang dan kesungguhan ahli Umno.

Adakah ini dapat dikaitkan dengan “Grand Design rancang Annuar Musa presiden Bersatu, Hishammudin presiden Umno?” (Malaysia Dateline 24 Januari 2021).

Atau adakah desakan supaya Zahid letak jawatan berpunca daripada pendedahan Tan Sri Annuar Musa bahawa surat sokongan yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi Umno kepada pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Annuar, ini merupakan pertama kali surat bertarikh 11 Oktober itu didedahkan kerana beliau tidak bersetuju dengan pendirian menyokong Presiden PKR itu.

Adakah ini puncanya kepada desakan supaya Zahid meletak jawatan sebagai Presiden Umno?

Namun jika diteliti Zahid akan digunakan sebagai ‘scapegoat’ `sandera’ atau `mangsa’ bagi sang parisit yang mengambil kesempatan daripada kemelut yang berlaku dalam Umno, dan sang halimun politik akan menebarkan jaringan fitnah, kekaburan dan kegelisahan supaya pemimpin baharu akhirnya akan muncul sebagai sang penyelamat kepada Umno.

Atau lebih buruk lagi apabila Zahid dicanangkan sebagai liabiliti, maka akan berbondong akar umbi menyertai Bersatu, Warisan atau juga menyokong PH? (ruang politik shahih kerana parti Pejuang tidak berdaftar).

Umno sedang bergelora, bahteranya sedang dilambung ombak dan nakhoda harus mengemudi menentukan haluan dan tujuan dalam menelesuri gelombang besar ini.
———————-
Kolumnis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-