Monday, February 22, 2021

Mahkamah minta bukti Zahid hadir mesyuarat Umno, minta surat rentas negeri

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan 22 Feb 2021, 1:46 pm

Mahkamah meminta pihak pembelaan untuk menyerahkan bukti bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menghadiri mesyuarat ahli majlis tertinggi (MKT) parti itu di Janda Baik, Pahang, pada Jumaat.

Arahan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan kes kerana Zahid sedang menjalani kuarantin 10 hari selepas seorang pemimpin Umno yang bermesyuarat dengannya positif Covid-19.

Timbalan pendakwa raya, Raja Rozela Raja Toran meminta mahkamah membenarkan pihak pembelaan mengemukakan bukti Zahid menghadiri mesyuarat tersebut serta surat kebenaran Zahid rentas negeri.

"Kami ingin tahu bukti bahawa tertuduh sebenarnya menghadiri mesyuarat tersebut dan juga kami ingin sama ada perjumpaan diadakan pada hari tersebut.

"Bila dan mana dia menghadiri mesyuarat itu? Siapa lagi datang. Sebab, sesiapa sahaja boleh beritahu bahawa dia kontak rapat kepada orang diuji positif. Kita nak bukti," katanya.
Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid berdepan pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu tidak dapat menghadiri perbicaraan hari ini selepas menjadi kontak rapat kepada Johan Abd Aziz.

Rozela juga mempersoalkan bagaimana Zahid boleh merentas negeri ke Pahang.

"Setahu saya, Janda Baik di Pahang. Mesyuarat diadakan pada 19 Feb dan nampak macam dia langgar PKP.

"Semasa PKP, arahan kerajaan adalah kamu tidak dibenarkan merentas negeri. Jadi, kami nak bukti adakah dia mendapat kebenaran untuk menghadiri mesyuarat," katanya.

Peguam bela, Hamidi Mohd Noh kemudian berkata bahawa mesyuarat Umno itu tidak mempunyai kaitan dengan mahkamah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun menekankan bahawa mesyuarat Umno itu memberi impak kepada perbicaraan hari ini.

"Memang mesyuarat Umno tidak berkaitan dengan mahkamah. Tapi, ia memberi impak.

"Atas kecuaian dalam mesyuarat itu, kita terpaksa menangguhkan perbicaraan hari ini.

"Saya minta pihak pembelaan akan menyerahkan bukti kehadiran Zahid ke mesyuarat dan kebenaran permit rentas negeri," katanya.
Collin Lawrence Sequerah
Dia mengarahkan bukti itu diserahkan pada hari ini.

Mahkamah direhatkan selama 30 minit, sebelum Hamidi menyerahkan buktinya.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan pengecualian kepada anggota parlimen untuk merentas negeri untuk urusan rasmi.

Sementara, dia turut menunjukkan surat pekeliling oleh setiausaha agung Umno Ahmad Maslan yang meminta semua ahli MKT Umno menghadiri mesyuarat.

Sequerah kemudian berkata bahawa dia menerima kedua-dua dokumen tersebut sebagai bukti atas niat baik walaupun pihak pendakwa mempersoal kesahihan surat tersebut yang didakwa tidak ditandatangani.

Perbicaraan akan disambung semula pada 4,5,6,18,19 dan 26 Mac.

Zahid, yang juga bekas menteri dalam negeri dibicarakan atas 47 pertuduhan.

Dua belas pertuduhan itu melibatkan dakwaan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-