Showing posts with label rasuah. Show all posts
Showing posts with label rasuah. Show all posts

Friday, March 7, 2025

‘Pemimpin tergoda harta, rasuah, rakyat ikut sama’

harakahdaily.net
March 7, 2025
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa perangai dan akhlak rakyat sesebuah negara akan terikut dengan perangai pemimpin mereka.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, jika pemerintah berpegang pada ajaran agama dan berakhlak mulia, pengaruhnya akan sampai kepada rakyat jelata.

“Jika tidak maka rakyat pun bersikap sebaliknya. Itulah mengapa rakyat jadi begini, kerana pemerintah begini juga. Itu dia. Tuhan jadi macam itu. Itu fikir-fikirlah,” katanya dalam Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Tuan Guru memetik kisah Khalifah Umar Al-Khattab RA yang kagum dengan sifat amanah tenteranya ketika menerima harta rampasan perang dari Parsi, termasuk pedang kebesaran rajanya.

“Mereka yang menghantar pedang ini adalah yang sangat bersifat amanah. Orang hantar barang-barang antaranya pedang yang bertatahkan emas, permata. Saidina Umar kata amanah sungguhlah tentera ini. Tak ambil pedang macam ini,” katanya.

Beliau menceritakan bahawa Saidina Ali KWj kemudian menyambut dengan berkata kepada Umar bahawa sifat pemimpin mencerminkan rakyatnya.

“Saidina Ali kata ke Saidina Umar, kerana engkau sendiri yang bersifat tidak terpengaruh dengan kemewahan dunia maka rakyat juga menjadi begitu. Ingatlah kalau engkau juga tergoda dengannya maka rakyat juga akan ikut tergoda sama,” cerita Tuan Guru.

Tuan Guru menegaskan bahawa sejarah membuktikan rakyat sering mengikut telatah pemimpin mereka.

“Demikianlah ungkapan para ulama. Ulama kata rakyat mengikut telatah raja-raja, pemimpin-pemimpin mereka. Tuhan jadikan rakyat akan ikut telatah raja-raja dan pemimpin-pemimpin mereka,” katanya.

Menurutnya, ketika pemerintahan Umar Abdul Aziz, rakyat lebih banyak berbicara mengenai ibadat kerana khalifah ketika itu terkenal dengan sifat waraknya.

“Zaman Umar bin Abdul Aziz, di mana Umar Abdul Aziz terkenal dengan warak, terkenal dengan kuat ibadat, masa itu rakyat bercakap pasal ibadat dia. Pasal puasa sunat, pasal sembahyang sunat, pasal berzikir, pasal doa, pasal sedekah dan sebagainya,” katanya.

Namun Tuan Guru menjelaskan, ketika zaman Khalifah Sulaiman Abdul Malik yang terkenal dengan sifatnya yang gemar berkahwin, rakyat juga lebih banyak berbicara mengenai perkahwinan.

“Zaman Sulaiman bin Abdul Malik, khalifah juga. Sulaiman ni suka kahwin. Lepas kahwin, kahwin, lepas kahwin, kahwin. Rakyat cakap mu kahwin dak? Kahwin dak? Berapa orang bini? Berapa orang, berapa orang? Cakap hal kahwin saja,” katanya.

Tuan Guru menegaskan bahawa jika pemimpin tergoda dengan harta dan rasuah, rakyat juga akan mengikut jejak mereka.

“Bila pemimpin, raja-raja, tergoda dengan harta, dengan rasuah, rakyat akan ikut sama. Ini. Tak boleh kita nak hapus benda-benda yang mungkar melainkan ketua negara, orang yang atas sekali mesti menjadi contoh dan teladan,” katanya.

Tuan Guru turut mengupas sejarah tentera Islam yang terkenal dengan sifat amanah mereka dalam peperangan, termasuk dalam pengurusan harta rampasan perang.

“Sifat amanah tentera Islam berdepan dengan barang paling berharga di dunia ini iaitu emas, perak, permata dan perhiasan yang termahal harganya, namun tiada yang hilang dicuri atau disembunyikan.

“Sifat amanah yang lahir daripada iman yang ikhlas dalam kalangan bala tentera dan pemimpinnya melayakkan mereka mendapat pertolongan Allah SWT bagi menjatuhkan kuasa besar dunia yang berlipat kali ganda kekuatannya,” katanya.

Menurutnya, meskipun tentera Islam berpeluang mengambil harta rampasan perang, mereka tetap mematuhi hukum syarak dan tidak mengkhianati amanah.

“Tak ada barang yang hilang, tak ada orang curi harta. Tak ada orang curi emas. Mereka kumpul dengan penuh amanah. Tak khianat. Kalau diikutkan, ini peluang nak curi nak ambilnya. Semua ribu-ribu tentera itu tak ambil. Seorang pun tak ambil. Benar-benar amanah. Jaga,” ujarnya.

Beliau turut mengimbau kisah sejarah ketika Saad Abi Waqqas RA memuji anggota tenteranya kerana sifat amanah mereka yang tinggi.

“Dengan rasa syukur kepada Allah SWT, Saad bin Abi Waqqas RA memuji anggota tenteranya, ‘Demi Allah sesungguhnya anggota tentera ini bersifat amanah. Kalau tidak kerana Allah telah menetapkan kelebihan kepada ahli Badar pada zaman Rasulullah SAW, nescaya aku meletakkan kelebihan kepada mereka’,” katanya.

Tuan Guru turut menyentuh peristiwa Perang Badar yang menyaksikan keistimewaan diberikan oleh Allah SWT kepada para Sahabat Nabi yang terlibat.

“‘Wahai ahli Badar, Aku ampunkan semua dosa kamu. Walaupunmu buat dosa. Buat apa dosa, Aku ampun semua dosa kamu’. Itu khusus bagi ahli Badar yang 313 orang yang berperang dengan Nabi bulan Ramadan tahun kedua hijrah,” katanya.

Menurutnya, tentera Islam yang berperang di Parsi di bawah pimpinan Saad Abi Waqqas RA juga memiliki tahap keikhlasan yang tinggi dan tidak tergoda dengan harta dunia.

“Jabir bin Abdullah berkata ‘Demi Allah Tuhan yang tiada tuhan melainkan-Nya. Aku tidak melihat seorang pun dalam kalangan bala tentera yang terlibat dalam pertempuran di al-Khadisiyyah yang masih menginginkan harta dunia dan akhirat tergoda dengan harta dunia yang sangat banyak’,” katanya. 

– HARAKAHDAILY 7/3/2025

Tuesday, February 18, 2025

Azam Baki layak menang ‘anugerah jenaka terbaik’ - Warisan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 18, 2025 1:03 PM
Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua, percaya bahawa ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, telah memberikan pengajaran yang sangat berharga, walaupun bersifat lucu, kepada rakyat Sabah yang akan mengundi dalam pilihan raya negeri.

Dia secara sarkastik menyatakan bahawa Azam layak memenangi “anugerah jenaka terbaik”.

Dia juga berkata orang ramai akan menilai tindak balasnya dan cara kerajaan persekutuan menangani skandal rasuah Sabah.

“Saya dengan ikhlas memberitahu jika Malaysia mewujudkan anugerah jenaka terbaik, saya yakin Azam Baki boleh memenangi kejuaraan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau,” katanya.

Dia merujuk kepada kenyataan Azam bahawa video yang berkaitan dengan skandal tersebut tidak boleh digunakan untuk siasatan atau pendakwaan kerana ia telah disunting.

“Walaupun saya rasa sangat lucu berhubung kenyataan beliau, namun serahkan kepada masyarakat terutamanya rakyat Sabah sendiri yang menilaikan prestasi ketua pesuruhjaya SPRM dan peranan Kerajaan Persekutuan dalam siasatan kes ini.

“Saya berharap kes ini menjadi pengajaran kepada semua lapisan masyarakat Sabah dalam memilih pemimpin pada pilihan raya negeri Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Norfaizah menegaskan bahawa reaksi orang ramai terhadap kenyataan Azam jelas tercermin di media sosial.

Katanya, artikel di Facebook Malaysiakini BM sahaja telah menerima ejekan yang meluas.

“Saya ingin menasihatkan Azam Baki ayuh, sedarlah dengan 3,000 emoji ketawa yang dihadiahkan oleh masyarakat kepada beliau,” katanya.

Semalam, peguam kanan Shafee Abdullah menggesa Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, dan Adun yang dikaitkan untuk membuat laporan polis mengenai video “suntingan” yang dikeluarkan oleh anak guamnya.

Shafee mewakili ahli perniagaan yang mendakwa bahawa video tersebut mengandungi perbincangan mengenai rasuah yang didakwa diberikan kepada Adun sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.

"Kerajaan negeri tidak harus mensia-siakan peluang keemasan ini untuk membersihkan nama mereka," katanya.

Shafee juga meminta penjelasan Azam berkaitan dakwaan suntingan itu kerana istilah itu terlalu umum.

"Adakah SPRM mendakwa bahawa video ini telah dimanipulasi? Atau adakah mereka hanya merujuk kepada suara anak guam saya yang diubah untuk melindungi identiti?" soalnya.

"Sekiranya video itu benar-benar diubah, mengapa tunggu? Polis harus segera memulakan siasatan. Tangkap dia. Saya jamin dia akan menyerahkan semua bukti yang dimilikinya," tambahnya.

Hajiji menolak tuduhan tersebut sebagai cubaan untuk mencemarkan pentadbirannya, dengan mencadangkan bahawa pemberi maklumat sebenarnya bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

Monday, September 2, 2024

Jenayah rasuah tetap keutamaan kerajaan – Saifuddin Nasution

kosmo.com
Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
2 September 2024, 9:11 pm
Saifuddin Nasution pada sidang akhbar selepas Persidangan Keselamatan Dalam Negara di Putrajaya, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Isu integriti dan jenayah rasuah tetap menjadi keutamaan kerajaan walaupun ia tidak diangkat sebagai keutamaan pada Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu integriti turut dibincangkan pada persidangan yang dihadiri oleh 800 peserta dari pelbagai latar belakang itu.

“Kita berikan kebebasan kepada peserta untuk berbincang mengikut sudut pandang masing-masing. Apakah ia (jenayah rasuah) dibincang dalam persidangan ini? Jawapannya ya dan ia dalam perkara tentang integriti,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024, di sini hari ini.

Katanya, beliau menjelaskan bahawa apabila diangkat sebagai satu resolusi, ia mesti berpandukan kepada empat kluster yang dibincangkan dalam persidangan itu. 

– KOSMO! ONLINE

Monday, March 18, 2024

Kes VLN: Hakim terkilan peguam Zahid minta tangguh

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
18 Mar 2024, 11:36 AM

Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata beliau tidak ‘mahu berkata apa-apa lagi’ selepas pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu.

Pada 23 Sept 2022, Zahid Hamidi dibebaskan daripada semua 40 pertuduhan berhubung kes rasuah sistem visa luar negara (VLN). (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menyuarakan rasa terkilan apabila peguam Zahid Hamidi memohon penangguhan dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan presiden Umno dalam kes rasuah berkaitan sistem visa luar negara (VLN).

Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata beliau menghabiskan beberapa hari membaca nota prosiding di Mahkamah Tinggi hanya untuk lebih memahami kes itu.

“Ia mencecah lebih 1,000 muka surat. Saya tidak memberi tumpuan kepada kes lain. Memandangkan pihak pendakwaan tidak ada bantahan terhadap penangguhan itu, saya tidak mahu berkata apa-apa lagi,” katanya.

Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan SM Komathy Suppiah, berkata pihak mahkamah memberi penangguhan lebih lama untuk pihak pendakwaan menangani representasi Zahid.

Pendengaran rayuan kini telah ditetapkan pada 9 Sept.

Terdahulu, peguam utama Zahid Hisyam Teh Poh Teik memohon perbicaraan yang dijadualkan hari ini ditangguhkan kerana mereka telah menghantar representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara pada 7 Feb.

“Ia mesti diberi pertimbangan yang adil dan saksama,” katanya.

Representasi pertama dihantar pada Januari tahun lepas.

Thursday, March 7, 2024

Pendakwaan rayu pelepasan, pembebasan Isa Samad

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Mar 7, 2024 12:17 PM
Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula sabitan bersalah ke atas bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad berhubung sembilan pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan awal hari ini.

"Kami baru sahaja memfailkan notis (rayuan)," kata Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membenarkan rayuan Isa, 75 yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan terhadap keputusan bersalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.

Bercakap bagi pihak rakan hakim panel Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah, Vazeer Alam memutuskan bahawa hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah salah arah dirinya apabila mensabitkan perayu.

Vazeer Alam berkata apabila terdapat dua versi peristiwa mengenai wang yang didakwa diberikan kepada Isa, maka faedah kesangsian itu sepatutnya diberikan kepada perayu.

[Baca berita penuh]

Wednesday, March 6, 2024

Isa Samad lepas, bebas tuduhan rasuah RM3 juta

utusantv.com
Oleh Auzaee Athallah
-March 6, 2024

Isa Samad lepas, bebas tuduhan rasuah RM3 juta
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kelihatan gembira selepas dilepas dan dibebaskan atas kesalahan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak selepas dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera secara sebulat suara bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang turut dan Datuk S.M. Komathy.

Dalam keputusan yang dibacakan oleh Vazeer Alam Mydin, beliau berkata bahawa terdapat dua versi dan percanggahan dalam kes pendakwaan berhubung tujuan sebenar suapan itu.

Katanya, mahkamah mendapati bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan terdapat kes prima facie terhadap Mohd Isa sebelum ini berdasarkan keterangan-keterangan bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) yang juga saksi pendakwaan ke-16 (SP16),Ikhwan Zaidel.

“Hakim bicara membuat dapatan bahawa suapan itu diberi secara rasuah oleh SP16 kerana bimbang sekiranya pembayaran tidak dibuat, maka perayu boleh menjejaskan kontrak penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) dan hasil jualan boleh dibatalkan kerana pengaruh perayu sebagai Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB)

Susulan kebimbangan terhadap pengaruh Mohd. Isa sebagai pengerusi FICSB berkaitan penyiapan kontrak MPHS itu, ia telah menjadi punca bekas Ahli Lembaga GAPSB berkenaan memberikan suapan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sekiranya ketakutan dan kebimbangan itu mempengaruhi pembayaran suapan kepada SP-16, maka pertuduhan-pertuduhan itu adalah defektif kerana perkara itu tidak dinyatakan di dalam kesemua sembilan pertuduhan.

“Pertuduhan itu sendiri menetapkan bahawa suapan itu sebagai ganjaran atas bantuan Mohd Isa dalam mendapatkan kelulusan FICSB untuk pembelian MPHS.
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilepas dan dibebaskan atas kesalahan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak selepas dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Oleh itu, kami mendapati bahawa keseluruhan sabitan ke atas sembilan pertuduhan itu adalah tidak selamat.

“Kami mendapati bahawa terdapat merit dalam rayuan itu dan wajar ada campur tangan.

“Rayuan terhadap sabitan dan hukuman terhadap semua pertuduhan dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu dilepas serta dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Isa ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu selesai berkata beliau menzahirkan kesyukuran dan perasaan lega selepas keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepadanya.

“Saya berasa lega dan keputusan ini akan memudahkan urusan saya serta keluarga menjalankan kehidupan seperti biasa.

“Terima kasih khususnya kepada peguam dan rakan-rakannya kerana telah menjalankan tugas dengan baik selain turut bersusah dan bersabar selama enam tahun,” katanya.

Sebelum ini Mohd. Isa disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari 2021, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Susulan sabitan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara 6 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu ke atas Mohd. Isa.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun apabila mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilepas dan dibebaskan atas kesalahan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak selepas dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hakim Mohd. Nazlan dalam penghakimannya berpandangan pembelaan Mohd. Isa adalah perkara yang difikirkan kemudian tidak konsisten dan hanyalah satu penafian tanpa sokongan berasas atau boleh dipercayai.

Ekoran itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan pada 4 Februari 2021.

Dalam prosiding rayuan pada 16 Oktober tahun lalu, peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mewakili Mohd. Isa berhujah bahawa anak guamnya itu perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd. Isa menerima wang berkenaan.

Hujahnya lagi, Mahkamah Tinggi sbeelum ini menggunakan prinsip undang-undang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan yang tidak dinilai secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, berhujah bahawa Mohd. Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel, dalam mana-mana urus niaga yang membabitkan jumlah berkenaan.

Suapan berkenaan dikatakan diterima oleh Mohd Isa melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid.

Monday, December 4, 2023

Badan Peguam fail semakan kehakiman cabar DNAA Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 4, 2023

Badan Peguam Malaysia telah memulakan cabaran undang-undang terhadap keputusan Peguam Negara untuk mendapatkan pembebasan tanpa pelepasan (DNAA) kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan rasuah.

Badan berkanun profesion undang-undang itu mengumumkan pemfailan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi kenyataan media yang disiarkan di portal web rasminya petang ini.

Badan Peguam berkata bahawa ia cuba mencabar keputusan Peguam Negara untuk mendapatkan DNAA pada 4 Sept (yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) sebagai sebahagian daripada kewajipan berkanunnya untuk menegakkan keadilan, dan tidak dipengaruhi oleh rasa takut atau pilih kasih.

“Tidak boleh dipertikaikan bahawa perbicaraan Zahid Hamidi bermula lebih empat tahun lalu pada 18 Nov 2019, di mana kes wujud prima facie — dengan 77 hari perbicaraan telah dijalankan, saksi ke-15 Zahid Hamidi memberi keterangan, dan perkara itu berada di dalam di peringkat pembelaan pada 4 September 2023 — apabila dakwaan dibuat oleh Peguam Negara bahawa siasatan lanjut oleh SPRM diperlukan berdasarkan beberapa representasi yang dibuat oleh Zahid Hamidi pada Disember 2022, tiga tahun selepas kes itu bermula.

“Badan Peguam Malaysia berpandangan bahawa kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak mutlak dan harus dihadkan dalam skop dan hadnya, dilaksanakan dengan cara yang wajar seperti yang ditentukan oleh mahkamah di bawah kuasa penyemakan dan bidang kuasa yang wujud mengikut undang-undang,” kata Badan Peguam.

Menerusi kenyataan media itu, Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah berkata kes Zahid mempunyai kepentingan negara dan awam kerana ia melibatkan tuduhan serius berhubung pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadap individu yang berkuasa semasa pertuduhan.

Dia berkata semakan kehakiman itu menuntut beberapa pelepasan, antaranya perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Peguam Negara dalam memohon DNAA dalam kes Zahid, dan pengisytiharan bahawa keputusan Peguam Negara adalah batal dan tidak sah dan/atau dibuat melebihi bidang kuasa dan/atau kuasa di bawah Perkara 145(3) FC dan seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Cheah berkata tindakan undang-undang itu juga menuntut perintah mandamus untuk mengarahkan Peguam Negara untuk memberikan Badan Peguam Malaysia semua maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butiran yang boleh dipercayai dalam membuat keputusan untuk mendapatkan DNAA, termasuk (tetapi tidak terhad kepada) surat representasi yang dikeluarkan oleh pasukan guaman Zahid.

Dia menjelaskan bahawa salinan permohonan semakan kehakiman dan afidavit sokongan telah diserahkan kepada AG awal hari ini.

“Majlis Peguam Malaysia menekankan kepentingan proses semakan kehakiman — yang direka khusus untuk mencabar keputusan, tindakan atau peninggalan badan awam sekiranya semakan dan imbang terhadap Eksekutif dan Perundangan diperlukan, dan/atau di mana struktur asas perlembagaan kita dipersoalkan untuk tafsiran yang betul - demi kepentingan demokrasi kami," kata Cheah.

Sunday, September 10, 2023

Kes Zahid calar maruah negara di peringkat antarabangsa

HARAKAHDAILY 
10/9/2023
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Isu pelepasan 47 kes rasuah melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuktikan negara ini akan menuju ke arah diperintah oleh golongan kaya sekiranya rakyat berdiam diri.

Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata isu tersebut mendapat liputan dunia yang telah mencalar imej negara secara keseluruhan.

“Jika perkara sebegini dibiarkan secara berterusan maka negara kita akan diperintah secara mutlak oleh sebahagian golongan seperti Chaebol yang memerintah Korea Selatan hari ini,” katanya.

Menurut beliau, impak golongan Chaebol amat besar yang mana ahli politik dapat memadamkan segala kes jenayahnya setelah mendapat kuasa pemerintahan dan perkara seumpama itu berlaku apabila Zahid terlepas daripada 47 kes rasuah.

“Apa yang membimbangkan ialah kes tersebut mendapat liputan dunia yang telah mencalarkan maruah dan reputasi negara khususnya dalam keseriusan kita melawan rasuah dan salahguna kuasa,

“Hakikatnya, laungan reformasi yang menjadi slogan perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lebih daripada sekadar kata-kata manis demi membeli secebis undi untuk berada di tampuk kuasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang diadakan di EDC Hotel Jalan Raja Laut hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Pemuda Parti Gerakan Wong Chia Zhen, Ahli Parlimen Taman Medan Dr Afif Bahardin dan Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa.

Menurut Fadhli lagi, kejadian yang berlaku itu merupakan malapetaka yang luar biasa kerana berlaku dalam tempoh kurang seminggu suasana menyambut hari merdeka negara.

Tambah beliau, badan kehakiman dan perundangan negara banyak disalahgunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk memberikan tekanan yang tidak wajar kepada pihak pembangkang.

“Seawal pentadbiran PH-BN banyak siasatan dan pendakwaan politik telah dikenakan ke atas pimpinan pembangkang tetapi rakan-rakan politik Madani mendapat kebaikan seperti kes-kes jenayah digugurkan oleh pihak pendakwa,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap perkara sebegini yang akan menjadi ikutan kepada mana-mana parti politik yang sememangnya akan mendatangkan ketidakadilan kepada setiap rakyat negara ini.

“Saya bimbang dengan hanya sekali sahaja perkara sebegini terjadi akan menjadi ikutkan kepada mana-mana ahli politik yang gilakan kuasa dan rakyat tidak boleh biarkan perkara sebegini terus berlaku,” katanya.

Ditanya bagi menghadapi masalah tersebut, beliau menyeru orang ramai hadir Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang bakal diadakan di hadapan Sogo pada 16 September ini.

“Saya menyeru semua rakyat termasuk anak-anak muda untuk turun beramai-ramai dengan berpakaian putih serta membawa Jalur Gemilang,

“Ini sebagai tanda kecintaan dan semangat kita untuk menyelamatkan tanah air tercintai,” katanya. – 

HARAKAHDAILY 10/9/2023

Friday, September 8, 2023

Pengguguran kes Zahid bukti rasuah amat buruk – UMMAH

harakahdaily.net
September 5, 2023
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR: Pengguguran kes mahkamah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan bahawa pentadbiran negara mempunyai isu rasuah yang amat buruk.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, seharusnya Timbalan Perdana Menteri juga perlu menjalankan proses mahkamah yang adil dan saksama lebih-lebih lagi beliau mempunyai 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Dana Yayasan Akalbudi (YAB).

“Kerajaan Madani sering mendakwa kononnya mereka membawa agenda reformasi undang-undang, keadilan serta tegas menentang rasuah tetapi mengapa perkara sebegini pula terjadi?” katanya kepada HarakahDaily.

Beliau menyatakan, perkara sebegini sebagai sesuatu tidak masuk akal sedangkan kes Ahmad Zahid mempunyai prima facie yang sememangnya tidak boleh diabaikan oleh pejabat peguam negara.

“Perkara ini menunjukkan bahawa tadbir urus peguam negara kita sendiri telah dihancurkan dan sistem tatakelola negara berada pada tahap yang sangat merbahaya,

“Buktinya, bagaimana kes yang sudah mempunyai prima facie boleh dilepaskan daripada pendakwaan pejabat peguam negara? Ini jelas menunjukkan rasuah semakin berleluasa di negara ini,” ujarnya.

Mohd Zai turut melahirkan rasa kebimbangan terhadap perkara ini yang semakin berleluasa dan akan memberi kesan yang amat buruk pada masa akan datang di negara ini.

Tambah beliau, semakin rakyat mula menunjukkan rasa ketidakpuasan hati terhadap sifat pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan persekutuan pada masa ini.

“Tahap kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan sudah berada pada tahap sangat negetif dan hilang kepercayaan akibat kepimpinan perdana menteri yang hanya pandai beretorik dan sangat lemah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa untuk tidak berdiam diri dan bangkit melawan sistem perundangan negara yang penuh dengan amalan rasuah.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit melawan amalan-amalan rasuah yang ada di negara kita memandangkan setiap agama mengajar kita untuk tidak mengambil sebarang rasuah.

“Ini kerana sistem perundangan negara bakal menjadi bangkai yang semakin membusuk di negara ini yang akan memberikan kesan buruk kepada kita sendiri sebagai rakyat biasa jika perkara sebegini dibiarkan,” katanya. 

‘Zahid lepas tapi pencuri RM22 berdepan penjara 10 tahun’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2023 
Biro undang-undang Bersatu mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim pilih kasih.

Timbalan ketuanya Sasha Lyna Abdul Latif berkata demikian ketika membandingkan kes Zahid Hamidi dengan kes curi tabung masjid sebanyak RM22 di Kuala Terengganu.

Katanya, terdapat perbezaan ketara apabila pihak pendakwaan memohon Zahid dilepaskan sedangkan tertuduh kes kecil berdepan penjara 10 tahun.
Sasha Lyna Abdul Latif
“Kenapa ada beza antara layanan terhadap rakyat biasa yang menganggur dengan timbalan perdana menteri,” soalnya.

Dia menegaskan bahawa Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang sama di sisi undang-undang.

Isnin lalu, pihak pendakwaan memohon menghentikan prosiding walaupun mahkamah telah memerintahkan tertuduh membela diri selepas kes prima facie dibuktikan.

Pihak pendakwaan antaranya memberi alasan bagi membenarkan SPRM menjalankan siasatan lanjut, melihat kemungkinan terdapat pendakwaan terpilih; dan menunggu suruhanjaya siasatan diraja mengenai memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur justeru melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid Hamidi
Sementara dalam kes curi di Kuala Terengganu itu, penganggur 45 tahun Suhaidi Abdul Hamid mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmod.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung Masjid Pulau Sekati, Kuala Terengganu pada 27 Jun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

[Baca berita asal]

Pemimpin mesti bebas rasuah, bukan bebaskan perasuah

harakahdaily.com
September 8, 2023
Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud

MUAR: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, seseorang pemimpin harus bebas daripada rasuah dan bukannya membebaskan perasuah.

Tambahnya, pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir PAS sebanyak dua kali semenjak merdeka telah berjaya membuktikan sebuah pentadbiran yang penuh integriti dan pemimpin bebas rasuah.

“Terbukti kita diberi peluang oleh rakyat dengan pertolongan Allah, kita telah memerintah negeri Kelantan lebih daripada 50 tahun iaitu dari tahun 1959 sampai tahun 1978. Dan diberi peluang kali kedua pada tahun 1990 hingga ke hari ini.

“Sudah lebih 50 tahun. Tidak ada seorang pun pimpinan kita, wakil rakyat kita yang disiasat, yang didakwa kerana terlibat dengan rasuah. Seorang pun tak ada. Ini rekod bersih kita yang tidak ada pada parti PH dan juga BN, tidak ada,” tegasnya semasa berucap di ceramah Grand Finale PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Dewan BJ Ballroom, di sini, malam ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PN Pusat, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden NGO Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa turut berucap pada majlis tersebut.

Namun, menurutnya, perkara itu tidak berlaku kepada PH dan BN yang mana ramai pemimpin mereka terlibat dengan kes berkaitan yang ditarik balik oleh pendakwaan.

Jelas beliau, dengan meletakkan asas Islam dalam pentadbiran kerajaan, pimpinan PAS di Kelantan menjadikan pemerintahannya diterima bukan sahaja pada orang Islam tetapi juga bukan Islam.

“Sebab itu kita nak mengajak pengundi-pengundi yang ada di Johor ini dalam DUN ini dan juga dalam Parlimen Pulai, sama ada pengundi di kalangan Melayu, Cina, India, supaya memberi sokongan kepada kita, memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Memberi sokongan kepada calon kita, Dr Mazri yang orang sini kenal. Bukan setakat orang sini kenal, dikenali, termasuk orang Kelantan pun kenal. Kalau orang sebaik ini duduk dalam parti yang terbaik pun kalau kita tak sokong, rugilah kita,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar pengundi-pengundi sama ada yang sebelum ini mengundi PH atau BN agar sama-sama memberi sokongan dan undi kepada calon PERIKATAN NASIONAL pada 9 September nanti.

 – HARAKAHDAILY 8/9/2023

Thursday, September 7, 2023

Imej UMNO kekal tercalar walau Ahmad Zahid lepas

ismaweb,net
zuhayati

Tidak mudah orang ramai lihat Presiden UMNO sebagai tak bersalah
Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Safar 1445H, Khamis – Sudah tiba masanya UMNO digantikan dengan pemimpin baharu yang lebih muda dan bertenaga bagi memulihkan kepercayaan orang ramai selepas tercalar akibat kes mahkamah yang melibatkan presiden parti itu sendiri.

Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh berkata, walaupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan, imej beliau sebagai seorang pemimpin telah tercalar dan tidak mudah untuk orang ramai melihat beliau sebagai individu yang tidak bersalah.

“Justeru, UMNO perlu membuat perubahan berikutan kepimpinan lama sudah tidak sesuai. Gantikan dengan muka-muka baharu yang lebih muda dan bertenaga yang sekali gus berkesan memulihkan kepercayaan orang ramai kepada UMNO.

“Beliau (Ahmad Zahid) secara hormatnya perlu berundur seperti yang diharapkan,” katanya kepada Ismaweb.net.

Dr Wan Hashim yakin parti tersebut yang dianggap sebagai parti nasionalisme orang Melayu tidak ketandusan pemimpin baharu.

Malah, beberapa nama dilihat sesuai menggantikan kedudukan presiden tersebut.

Dalam pada itu, tegas beliau UMNO akan terus kekal dalam kerajaan campuran dan bersama dengan Pakatan Harapan (PH) meskipun Ahmad Zahid tidak menjadi presiden UMNO lagi.

“Saya yakin tiada masalah untuk memelihara kerajaan ini sehingga habis tempoh lima tahun akan datang walaupun tiada Zahid, UMNO akan tetap kekal dengan PH dan bersama Anwar,” katanya.

Tambah beliau, Ahmad Zahid wajar mencontohi bekas pemimpin parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat ‘gentleman’ dan berundur secara terhormat selain mengambil tanggungjawab dengan kekalahan parti itu sebelum ini.

“Saya tertarik dengan Najib Razak, apabila tercalar imej beliau terus undur diri dan saya rasa hormat dengan pendirian berkenaan untuk bertanggungjawab dan berundur selain memberikan peluang kepada orang lain,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Pemuda PKR gesa sesi Parlimen tergempar bahas DNAA Zahid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
07 Sep 2023

Sayap parti pemerintah mahu DNAA Zahid Hamidi dibahaskan ekoran persoalan mengenai kredibiliti Jabatan Peguam Negara.
Pemuda PKR mendesak diadakan sesi Parlimen tergempar susulan Zahid Hamidi dilepas dalam kes mahkamah Akalbudi.

PETALING JAYA: Pemuda PKR menggesa kerajaan mengadakan sesi Parlimen tergempar selepas mahkamah melepaskan Presiden Umno Zahid Hamidi tanpa membebaskannya (DNAA).

Sayap parti pemerintah itu mahu DNAA Zahid dibahaskan ekoran persoalan mengenai kredibiliti Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kita tidak dapat nafikan bahawa kejadian ini sekaligus melemahkan imej kerajaan perpaduan sebagai penongkah arus perubahan dan reformasi, serta mengurangkan keyakinan rakyat terhadap Malaysia Madani,” kata Naib Ketua Tyra Hanim Razali dalam kenyataan.

Pemuda PKR berkata demikian walaupun mengambil maklum Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden parti, berkata tiada campur tangan dalam bidang kuasa peguam negara.

Dalam pada itu, sayap itu juga menuntut satu tempoh masa diberikan untuk pencarian bukti baharu dan pendakwaan dilakukan semula, memandangkan kes prima facie berjaya dibuktikan pendakwaan sebelum ini.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Zahid lepas: Seolah-olah ada plot terancang yang perlu dikenalpasti

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 7, 2023 1:56 PM
Pemuda PKR (AMK) mempersoalkan tentang kemungkinan ada "komplot terancang" di sebalik keputusan Jabatan Peguam Negara yang menarik balik 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Ketua AMK, Tyra Hanim Razali berkata sepanjang tempoh sebelum keputusan melepas tanpa membebaskan presiden Umno itu dibuat juga berlaku perubahaan melibatkan beberapa pegawai penting dalam kes berkenaan.

“AMK juga mempersoalkan tindak - tanduk peguam negara lantikan Muhyiddin Yasin sejak 2020 di bawah pemerintahannya, iaitu Idrus Harun yang juga dilaporkan bercuti sementara menunggu persaraannya.

“Manakala tugasannya diambil oleh Peguam Cara Negara, Ahmad Terriruddin Mohd Salleh (kini peguam negara baru) di mana keputusan drastik untuk memohon pelepasan tanpa pembebasan kes oleh (timbalan pendakwa raya) Mohd Dusuki Mokhtar dibuat dalam tempoh tersebut.

“Sebelumnya, Raja Rozela Raja Toran, yang merupakan pendakwa raya yang telah berjaya membuktikan kes prima facie kes ini juga dilaporkan telah memohon persaraan awal sebelum bercuti pada hujung Ogos lalu sebelum memulakan persaraannya pada November akan datang,” katanya.
Raja Rozela Raja Toran
Justeru, Tyra Hanim berkata, “pihak yang tidak bertanggungjawab” di sebalik plot itu “perlu dikenalpasti.”

DNAA yang diberikan kepada Zahid - membuka kemungkinan bahawa presiden Umno didakwa semula pada masa hadapan jika pendakwa ingin mengkaji semula perkara tersebut - telah mencetuskan rasa tidak puas hati besar-besaran terhadap kerajaan, dengan beberapa pemimpin tertinggi pada mulanya bertindak balas dengan menjawap bahawa ini adalah "keputusan mahkamah".

DAP dan Amanah pula mendesak Idrus - yang hari terakhir perkhidmatannnya pada Selasa (5 September) - untuk menjelaskan keputusan di sebalik DNAA itu.
Ahmad Terriruddin Mohd Salleh
AGC kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang hanya mengatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah jelas, logik dan menyakinkan (cogent)."

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa lalu pula tampil dengan berkata, ia proses yang wajar di mahkamah - sama seperti bagaimana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin daripada pertuduhan salah guna kuasa pada 15 Ogos lalu.

Saifuddin mengulangi pendiriannya bahawa Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada peguam negara untuk mendakwa atau menarik balik sebarang pertuduhan.
Ahmad Zahid Hamidi
Pada hari yang sama, Anwar menegaskan dia tidak campur tangan berhubung keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan Zahid. Katanya, ia adalah keputusan AGC, dan perkara itu diputuskan oleh Idrus.

Sementara itu, Tyra Hanim turut mempersoalkan kredibiliti AGC yang didakwanya mempunyai motif politik untuk kes itu.

“Penjelasan mereka yang bertarikh 5 September lalu tentang keputusan memohon juga tidak tuntas dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya di kalangan masyarakat umum,” katanya.

Sambil mengambil maklum kenyataan perdana menteri, dan percaya bahawa Anwar tidak campur tangan terhadap kuasa pendakwaan peguam negara, Tyra Hanim menggesa kerajaan mengadakan sesi perlimen tergempar untuk membahaskan isu DNAA yang diberikan kepada Zahid.
“Satu tempoh masa (juga) harus diberikan untuk siasatan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara untuk pencarian bukti yang baharu dan pendakwaan semula perlulah dilakukan dalam kadar serta merta jika sekalian pimpinan kerajaan perpaduan tidak mahu kehilangan kredibiliti yang kelak akan menyukarkan lagi pentadbiran Malaysia Madani.

“Kita tidak dapat nafikan bahawa kejadian ini sekaligus melemahkan imej kerajaan perpaduan sebagai penongkah arus perubahan dan reformasi, serta mengurangkan keyaki nan rakyat terhadap Malaysia Madani utama di tengah ribut pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya.

Tuesday, September 5, 2023

Pembebasan Zahid: DAP minta Idrus beri penjelasan terbuka

mallaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 5, 2023 8:12 AM
DAP mengakui sebarang keputusan untuk menamatkan prosiding pendakwaan bagi melakukan siasatan lebih mendalam adalah hak budi bicara peguam negara.

Pun begitu parti terbabit berpendapat penjelasan secara terbuka tetap perlu diberikan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) ekoran keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam.

"DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Idris Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut," kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Dalam kenyataannya hari ini Loke berpendapat penjelasan tersebut adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas tanpa melepaskan Ahmad Zahid yang berhadapan dengan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan tersebut yang dikemukakan timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Untuk rekod seseorang yang dilepaskan tanpa dibebaskan masih terikat kepada kemungkinan boleh didakwa semula pada masa hadapan jika pihak AGC ingin menyemak semula perkara tersebut.

Ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan.

Perkembangan itu juga mendorong kumpulan pendesak serta orang persendirian menggesa kerajaan menyegerakan langkah mengasingkan kuasa peguam negara dengan pendakwa raya.

Loke berkata DAP mengambil maklum pandangan kritikal daripada orang ramai terhadap keputusan semalam.

"DAP juga sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah," katanya.

Monday, September 4, 2023

Zahid dilepas: Pemimpin k'jaan tak usah sembang antirasuah - Ambiga

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 4, 2023 4:46 PM
Bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan telah membidas kerajaan selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) berhubung kes rasuahnya.

Dia berkata kerajaan berhutang penjelasan kepada orang ramai.

“Pembaziran dana awam dalam membuktikan kes prima facie dan sia-sia semua kerja keras anggota Jabatan Peguam Negara.

“Kerajaan pasti berhutang penjelasan kepada orang ramai. Dan saya harap tiada ahli politik UG (kerajaan perpaduan) berani untuk membenarkan perkara ini atau sekali lagi mengatakan mereka antirasuah,” kata Ambiga.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa DNAA itu membuktikan Zahid yang juga presiden Umno menjadi mangsa penganiayaan politik.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan turut menyoal DNAA itu, sambil berkata mahkamah pada 24 Jan telah mengarahkan Zahid membela diri.

“Kenapa Zahid dipanggil membela diri? Ini bermakna pihak pendakwaan telah membuktikan kes (prima facie) untuk pembelaan dipanggil.

“Tetapi kenapa pihak pendakwaan yang sama meminta DNAA? Kenapa tidak biarkan hakim membuat keputusan?
Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.
"(Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim) mula kelihatan seperti anak murid sebenar (Dr) Mahathir (Mohamad)," tambahnya.

Pagi ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi susulan permohonan timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Peguam Zahid Hisyam Teh Poh Teik bagaimanapun telah memohon pembebasan penuh.

DNAA membuka kemungkinan Zahid didakwa semula pada masa hadapan jika pendakwa ingin menyemak semula kes itu.

DNAA Zahid: Bersatu dakwa kredibiliti Anwar hilang musnah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 4, 2023 2:02 PM
Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendakwa kredibiliti Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan juga seorang reformis telah hilang musnah.

Merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan tanpa melepaskan (DNAA) Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, katanya Anwar akan terus "membersihkan" imej semua yang bersekongkol dengan dia dan terus mencemarkan imej mereka yang menentangnya.
Wan Saiful Wan Jan
“Dalam kes (Presiden Bersatu) Muhyiddin (Yassin), pasukan pendakwa membantah permohonan untuk menggugurkan pertuduhan malahan sekarang sedang merayu keputusan mahkamah itu.

“Tetapi dalam kes Zahid, pihak pendakwa memohon Zahid dilepaskan walaupun sebelum ini mahkamah telah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Zahid,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
ADS
Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi, melepas dan membebaskan Muhyiddin, atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi partinya itu.

Bagaimanapun, tiga lagi pertuduhan dihadapi bekas perdana menteri itu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih kekal.
Bagaimanapun pada hari yang sama Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan berkenaan.

Zahid pula hari ini dilepaskan setelah mahkamah membenarkan DNAA yang dipohon oleh timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, walaupun menghormati keputusan mahkamah, yang lebih penting ialah perkembangan ini adalah cerminan kredibiliti Anwar.
Ahmad Zahid Hamidi
“Dunia menyaksikan betapa kredibiliti Anwar sebagai seorang reformis telah hilang musnah.

“Sebab itulah kita mesti menerima hakikat karakter Anwar yang sebenar. Anwar adalah seorang perdana menteri yang gagal, dan dia mengetuai sebuah kabinet yang tidak kompeten. Maka itulah dia sanggup berbuat apa sahaja demi untuk kekal di takhta kuasa.

“Kita boleh jangka bahawa selepas ini Anwar akan terus membersihkan imej semua yang bersekongkol dengan dia, dan dia juga akan terus mencemarkan imej mereka yang menentangnya,” katanya.

Pendakwaan mohon Zahid lepas tanpa bebas 47 tuduhan

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan 
04 Sep 2023

Bagaimanapun, peguam Zahid meminta mahkamah untuk membebaskan presiden Umno itu.
Zahid Hamidi berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Zahid Hamidi memohon timbalan perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan rasuah.

Bagaimanapun, peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik meminta mahkamah untuk membebaskan presiden Umno itu.

Mahkamah sekarang sedang rehat untuk Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan.

Zahid sebelum ini diarah membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

Beliau dituduh melakukan pengubahan wang berjuta-juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Thursday, August 10, 2023

Selepas pendakwa kanan kes Zahid digugur, PMX janji tak kompromi menteri rasuah

agendaily.com
10/08/2023
Anwar dan Zahid bergandingan membentuk kerajaan campuran.

Kerajaan campuran tidak akan berkompromi dengan anggota Jemaah Menteri yang terbabit aktiviti rasuah dan mereka akan dipecat serta-merta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri (PMX) itu memberi jaminan sekiranya terdapat menteri yang terlibat rasuah akan dihukum tanpa pilih kasih, ia selepas media melaporkan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan baru-baru ini.

Anwar juga mendakwa setakat hari ini, tiada lagi menteri Kabinet yang terbabit dengan aktiviti rasuah.

“Semua menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan akan diterajang keluar dan dimasukkan ke penjara jika terbabit dengan rasuah.

“Mereka sering diberi peringatan berhubung perkara itu pada setiap kali mesyuarat Kabinet, malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta melakukan siasatan jika menerima laporan ada antara menteri terbabit aktiviti rasuah,” katanya dipetik dalam laporan BH.

Anwar berceramah semasa program di Kuala Telemong malam tadi.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan kerajaan campuran menukar Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran daripada mengendalikan kes rasuah dihadapi Zahid.

Zahid berdepan 47 pertuduhan – 12 pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan YAB melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Perikatan Nasional (PN) diminta menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) untuk menukar kerajaan.

“Pimpinan parti gabungan PN perlu bersabar dan tunggu PRU-16 untuk menukar kerajaan.

“Jika keputusan Pilihan Raya negeri (PRN) di enam negeri Sabtu ini tidak memihak kepada calon daripada Kerajaan Perpaduan, ia tidak akan mengubah Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Wednesday, August 9, 2023

Ketua pasukan pendakwaan kes Zahid mohon bersara awal – Peguam Negara

satuberita.my
By SatuBerita
-August 8, 2023
KEPUTUSAN untuk menggantikan Datuk Raja Rozela Raja Toran sebagai Ketua Pasukan Pendakwaan berkenaan kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilakukan setelah mengambil kira pelbagai faktor dan pertimbangan yang teliti.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, Raja Rozela telah mengemukakan permohonan untuk bersara awal iaitu pada 3 April lalu dan telah diluluskan serta akan berkuat kuasa pada 1 November depan.

“Selanjutnya, Raja Rozela binti Raja Toran telah memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Ahmad Zahid tidak lagi mengendalikan kes berkenaan.

Raja Rozela yang mengetuai pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Media tempatan turut melaporkan bahawa perbicaraan yang bersambung minggu lalu diteruskan tanpa kehadiran Raja Rozela.

Dalam masa sama, Idrus memaklumkan bahawa Datuk Mohd Dusuki Mokhtar telah dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan yang baharu berdasarkan pengalaman luas hampir 30 tahun sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, Mohd Dusuki merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi termasuklah pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

“Memandangkan kes melibatkan Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga bulan Disember tahun 2023, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes pendakwaan melibatkan Ahmad Zahid.

“Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Sementara itu, Raja Rozela enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.

“No comment, mohon maaf,” jawabnya ringkas selepas ditanya mengenai ketiadaannya dalam prosiding kes Ahmad Zahid minggu lalu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-