Thursday, February 25, 2021

Pas boleh terima parti bukan berasaskan Melayu asalkan tanpa DAP, Anwar

malaysiadateline.com
Oleh FAZLI RADZI
February 25, 2021

Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan Pas boleh menerima parti lain termasuk yang bukan berasaskan Melayu dengan syarat tanpa penjajaran politik dengan DAP dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen Gombak itu berkata, pendirian tersebut demi agenda kesatuan ummah.

“Pas mengambil pendekatan politik untuk menyatukan parti-parti, NGO dan NGI Islam dan Melayu di atas dasar perpaduan ummah.

“Perkukuh Muafakat Nasional (MN) dan pertahan Perikatan Nasional (PN) adalah jalan tengah yang diambil bagi mengusahakan perdamaian politik antara Pas, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Pas sekarang berada dalam dua ‘kolam’ politik apabila dilihat berada dalam dua gabungan parti politik yang saling bermusuh.

Pada masa ini wujud kemelut politik yang berlaku antara Umno iaitu parti yang membentuk gagasan bersama Pas dalam MN pada 2019 dengan Bersatu yang sedang menerajui kerajaan PN dalam majoriti hanya 109 sokongan ahli Parlimen.

Umno memiliki kerusi paling banyak dengan 39 kerusi Parlimen diikuti Bersatu (31) dan Pas hanya 18 kerusi.

Dalam masa sama, Khairil Nizam berkata, perdamaian politik amat perlu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Ada yang bertanya kepada saya, sekiranya Pas komited dengan agenda penyatuan ummah dan bersungguh mengajak Umno untuk terima Bersatu, boleh atau tidak Pas menerima parti yang lain, baik yang berasaskan Melayu atau bukan Melayu?

“Jawapannya boleh, dengan syarat tanpa penjajaran politik dengan DAP dan Anwar,” tegasnya.

Jelasnya, kesatuan mereka akan berjaya dan berkekalan sekiranya semua pihak berpegang teguh dengan keadilan dan akhlak Islam iaitu sabar, berlapang dada, memaafkan, bertolak ansur, tidak terlalu dominasi dan tidak mengkhianati perjanjian.

Sehubungan itu, dia mengingatkan Pemuda Pas, Pemuda Umno dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) untuk fokus dan memperkasa titik persamaan antara tiga sayap parti terbabit dan dijadikan sebagai pencetus kepada pengukuhan agenda kesatuan ummah.

“Percayalah, sekiranya sayap-sayap pemuda ini boleh bersama, ia adalah masa depan yang cerah buat negara ini,” kata Khairil lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-