Tuesday, February 23, 2021

PRU 15 : PAS sasar kemenangan besar bersama Umno-PPBM untuk pinda perlembagaan, perkasa undang-undang Islam, kata Mursyidul Am

FMT Reporters
-February 23, 2021 10:54 PM


KANGAR: PAS mahu mencapai kemenangan besar bersama Umno dan PPBM pada pilihan raya umum akan datang supaya perlembagaan boleh dipinda bagi memperkasakan perundangan Islam, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

“Kita mahukan kemenangan majoriti sehingga kita boleh mengubah perlembagaan ke arah memperkasakan perundangan Islam.

“Sebab itu, PAS beriya-iya menyatukan ketiga-tiga parti tersebut walaupun pada peringkat permulaan (PAS) hanya dengan Umno, tetapi ke arah untuk mencapai matlamat itu, perlu ajak bersama PPBM,” beliau dipetik berkata oleh harakahdaily.

Hashim tidak menghuraikan perundangan Islam yang memerlukan pindaan perlembagaan untuk diperkasakan.

Sebelum ini, cubaan PAS memperkenalkan undang-undang hudud di Kelantan dan Terengganu sebelum ini tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan dari sudut perlembagaan persekutuan.

Jun lalu, Pas mengumumkan ia akan meneruskan langkah ke arah memartabatkan undang-undang Islam melibatkan hudud, qisas dan takzir.

Bagaimanapun, presiden PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata ‘perjuangan’ parti itu ke arah pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU 355 ditangguh bagi menangani pandemik Covid-19.

Hashim berkata PAS, Umno dan PPBM perlu bersatu padu menghadapi PRU 15 kerana pertembungan tiga penjuru akan merugikan ummah dan boleh menggugat kestabilan politik negara.

“Kita mesti belajar daripada PRU lepas, walaupun masuk bertanding banyak tetapi kemenangan hanya sedikit kerana berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Tiada parti akan mendapat keuntungan, PAS, Umno dan PPBM semua akan rugi jika berlaku pertandingan tiga penjuru. Susah untuk kita mencapai kemenangan, (jika tiada permuafakatan) sedangkan kita mempunyai peluang besar jika bersatu,” katanya di sini.

Hubungan Umno-PPBM ketika ini dilaporkan tegang, sekali gus menggugat kestabilan politik negara.

Kalangan pemimpin dan ketua bahagian Umno dilaporkan mahu parti itu menamatkan sokongannya terhadap PPBM dan memperkukuhkan kerjasama dengan PAS.

PAS beberapa kali menegaskan permuafakatan antara tiga parti Melayu itu harus diperkuatkan dalam menghadapi PRU15.

Hashim akur gandingan PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) mampu meraih kemenangan pada PRU15, namun “kekuatan makin bertambah dengan kehadiran PPBM.”

Justeru itu, beliau berharap hubungan antara Umno dan PPBM diperbaiki kerana masing-masing mempunyai musuh sama iaitu Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya, pendirian PAS masih sama iaitu memperkukuhkan kerjasama dengan Umno melalui MN dan memperkasa hubungan dengan PPBM melalui Perikatan Nasional (PN).

“Kita tidak akan berhenti mengajak Umno dan PPBM untuk bersama, malah usaha ini tidak akan berakhir dan berterusan sehingga pilihan raya akan datang,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-