Wednesday, February 24, 2021

Tuduh PH manipulasi fakta sejarah, Maszlee nasihat Asyraf tanya Menteri Pendidikan Umno

malaysiadateline.com
Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON
February 24, 2021 


Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyangkal tuduhan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) telah memanipulasi fakta sejarah dalam buku tingkatan empat semasa pentadbiran PH selama 22 bulan.

Maszlee berkata, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi tingkatan empat telah diperkenalkan pada tahun 2017 lagi yang ketika itu Menteri Pendidikannya dari parti Umno sendiri.

Jelasnya, amat mustahil PH mengubah kesemuanya kerana proses penggubalan kurikulum mengambil masa beberapa tahun dan proses itu perlu melibatkan panel pakar yang berpengalaman dalam subjek Sejarah.

“Amat mustahil untuk PH melakukan semua ini dalam masa setahun lebih memerintah. Ini bermakna untuk buku teks yang dicetak pada 2019 dan digunakan pada tahun 2020, prosesnya bermula sejak 2014 atau 2015 lagi.

“Sekali lagi saya nak beritahu kepada Dr Asyraf Wajdi, Menteri Pendidikan pada tahun 2015 adalah dari parti Umno. Boleh tanya beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan balas di Facebooknya tadi.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menegaskan, beliau sama sekali tidak pernah campur tangan dalam proses pelaksanaan KSSM biarpun terdapat beberapa pakar rujuk kurikulum sejarah yang sangat cenderung kepada Umno.

Menurutnya, apa yang dilakukannya dahulu adalah mengubah sistem pendidikan sedia ada secara besar-besaran dan menyelesaikan masalah-masalah yang sekian lama wujud seperti sekolah daif, murid cicir, pendidikan OKU dan beberapa lagi.

Beliau menyarankan agar Asyraf meneliti senarai Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Prof. Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof. Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof. Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr. Ho Hui Ling(UM); Prof. Sivamurugan Pandian (USM); Prof. Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof. Madya Bilcher Bala (UMS).

Menurutnya, adalah lebih tepat sebenarnya jika Asyraf bertanya kepada pakar-pakar itu daripada menuduh beliau dan PH secara membuta tuli.

Beliau turut menasihatkan Asyraf supaya menyiasat, membuat usul periksa dan memahami proses dan tatacara gerak kerja penjawat awam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Saya berpendapat tuduhan melulu Asyraf yang menyalahkan 22 bulan pentadbiran PH hanyalah sebuah komen kosong tanpa usul periksa.

“Beliau menunjukkan sisi tidak mahir tentang proses dan tatacara penggubalan kurikulum oleh pihak KPM serta sebuah kecaman terhadap budaya kerja penjawat awam di KPM.

“Untuk makluman Dr Asyraf Wajdi juga, selama 20 bulan ketika saya menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan, kerajaan PH memberikan kebebasan kepada profesional di dalam Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) KPM untuk meneruskan kelangsungan pelaksanaan KSSM seperti yang dirancang melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2012-2025),” katanya lagi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-