malaysiakini.com
B Nantha KumarDiterbitkan 17 Mar 2021, 4:55 pm
Justeru, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, parti-parti pembangkang masih berbincang dengan pemimpin Umno yang lain.
"Maksud tolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' hanya merujuk kepada 'kluster mahkamah' sahaja.
"Kami masih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin Umno yang lain," katanya kepada Malaysiakini.
Salahuddin yang juga adalah ahli parlimen Pulai berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataan bahawa Pakatan harapan menolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' tengah hari tadi.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengadakan sidang media, yang antaranya mengumumkan dia tidak menafikan kemungkinan wujud kerjasama dengan Umno.
“Mendepani cabaran berangkai ini, kami menyeru agar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat,” kata lima pemimpin pembangkang.
Selain Salahuddin, kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Wira Parti Warisan Sabah Mohd Azis Jamman, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.

"Kami nak pembangkang menolak 'kluster mahkamah'.
"Tapi, tidak ada masalah dengan pemimpin Umno yang lain.
"Malah, boleh mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin yang tidak ada kes selepas PRU 15 untuk wujudkan satu kerajaan yang kuat demi kepentingan rakyat.," katanya lagi.
Terma 'kluster mahkamah ini digunakan di kalangan ahli politik merujuk kepada ahli parlimen Umno yang sedang berdepan kes di mahkamah.
Antara mereka, adalah bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.
Mereka ini didakwa lantang mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.