Showing posts with label kleptokrasi. Show all posts
Showing posts with label kleptokrasi. Show all posts

Monday, March 7, 2022

Kalau skandal 1MDB dan kleptokrasi tak relevan, mengapa undi BN di Melaka tak meningkat? soal Salahuddin

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-March 7, 2022 8:30 AM

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata PH akan terus memainkan skandal 1MDB, kes rasuah membabitkan ‘kluster mahkamah’, dan kleptokrasi kerana pengundi atas pagar serta di bandar menyedari kesan akibat skandal seperti itu.

BAKRI: Skandal 1MDB, kes rasuah membabitkan ‘kluster mahkamah’, dan kleptokrasi masih relevan bagi Pakatan Harapan (PH) untuk terus dijadikan modal dan senjata politik dalam PRN Johor melawan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, jika isu tersebut dianggap lapuk dan tidak memberi kesan kepada pengundi sudah pasti undi yang diterima BN meningkat, namun sebaliknya berlaku apabila sokongan diterima gabungan itu tidak bertambah walaupun ia berjaya membentuk kerajaan di Melaka.

“Kalau isu itu tak berkesan saya rasa ramai pengundi atas pagar akan lari menyokong mereka (BN) di PRN Melaka. Di Melaka memang membuktikan Umno tak boleh lagi meningkatkan undi mereka, mereka hanya dapat undi putih sahaja.

“Sebab itu isu tentang negara, isu ‘kerajaan mencuri’ ini tetap relevan.

“Kerana generasi muda, golongan bijak pandai ini masih percaya, kalau Umno-BN kembali berkuasa maka masa depan negara dalam keadaan sangat bahaya,” katanya semasa wawancara bersama FMT.

Katanya, PH akan terus memainkan isu itu kerana pengundi atas pagar serta di bandar menyedari kesan akibat skandal seperti itu boleh menyebabkan pelabur lari seterusnya merugikan negara.

Salahuddin yang juga calon PH bagi DUN Simpang Jeram berkata kekalahan gabungan itu pada PRN Melaka bukan disebabkan gagal menunaikan janji semasa menjadi kerajaan, sebaliknya pengundi luar takut pulang mengundi akibat Covid-19.

Katanya, situasi di Johor berbeza kerana pengundi tidak lagi takut untuk pulang mengundi memandangkan pemberian vaksin lengkap telah selesai dan melindungi mereka.

Mengambil kira keadaan itu, beliau yakin nasib PH di Johor tidak sama seperti Melaka, dan BN tidak boleh merasa selesa dengan kemenangan 2/3 di negeri itu.

Jelasnya, walaupun BN berjaya menawan Melaka, parti itu sebenarnya kalah dari segi jumlah sokongan undi popular apabila membentuk kerajaan dengan 42% undi popular.

“Kalau orang tanya bolehkah kita kalahkan Umno, sebenarnya Umno dah kalah di Melaka. Undi mereka tak meningkat, BN hanya bentuk kerajaan dengan 42% undi popular.

“Kali ini perhitungan di Johor dan Melaka berbeza akan dibuat rakyat, kita kena letak ‘tagline’ ‘kerajaan mencuri’ lebih bahaya daripada Covid-19, rakyat kena keluar mengundi,” katanya.

Sunday, August 15, 2021

Zahid makin risau MP DAP sokong Muhyiddin, mahu halang undi percaya di Parlimen

agendadaily.com
15/8/2021

Najib Razak dan Zahid Hamidi mengetuai kerajaan kleptokrasi yang ditumbangkan Pakatan Harapan pada PRU-14.

Serangan habis-habisan kem Zahid Hamidi terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan pelbagai medium sekarang ini, dilakukan setelah mengetahui DAP mungkin menerima cadangan kerjasama bipartisan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Agenda Daily difahamkan, susulan kenyataan beberapa pemimpin senior DAP yang menyambut baik cadangan PM itu, menyebabkan sesetengah Ahli Parlimen (MP) DAP kini dilihat bersedia melakukan perubahan.

Sumber yang rapat dengan pemimpin dalaman parti memberitahu Agenda Daily perubahan pendapat di kalangan MP DAP berlaku kerana mereka sendiri menolak kemunculan semula golongan kleptokrat, selain melihat keperluan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sekarang ini.

Kleptokrat adalah istilah yang merujuk kepada pemimpin yang menyalahgunakan kekuasaan politik untuk memenuhi kekayaan peribadi dan mengabaikan kebajikan rakyat. Ia mula popular setelah digunakan terhadap kepimpinan UMNO diketuai Najib Razak ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, oleh Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Sehingga akhirnya pemimpin kleptokrasi itu disingkir dari pemerintahan negara, tetapi kini dilihat cuba bangkit semula walaupun sedang berdepan puluhan tuduhan jenayah di mahkamah.

“Sebenarnya ada tiga isu utama yang dilihat oleh beberapa MP DAP. Pertama melibatkan kumpulan kleptokrat, kedua masalah rakyat dan ketiga Kluster Mahkamah. Mereka berpendapat sebagaimana dikatakan MP Damansara (Tony Pua) golongan kleptokrat tidak boleh dibenar kembali mentadbir negara.

“Dan isu berkaitan rakyat yang kini sedang menderita akibat Covid-19. Mereka juga tidak mahu ada campur tangan terhadap kes mahkamah dihadapi Zahid, Najib dan beberapa penyokongnya. Sebab itu sesetengah mereka (MP DAP) mungkin… saya katakan mungkin… bersedia menghulur tangan (cadangan kerjasama oleh Muhyiddin),” katanya.

Inilah yang menyebabkan Zahid dan kumpulannya habis-habisan menyerang Kerajaan PN dan Muhyiddin, tanpa mahu memberi peluang diadakan undi percaya di Parlimen pada sidang yang akan bermula 6 September ini, katanya lagi.

“Zahid dan kumpulannya mula menyedari bahawa sesetengah MP DAP akan memberi sokongan kepada Muhyiddin jika undi percaya dibuat di Parlimen.

“Jadi sekarang ini mereka (Zahid dan kumpulannya) menggesa PM meletak jawatan segera. Mereka menggunakan macam-macam cara dan medium termasuk media massa rakan mereka untuk memberi tekanan dengan mendakwa Muhyiddin tidak perlu menunggu sehingga sidang Parlimen akan datang.

“Sebab mereka takut MP DAP akan sokong (Muhyiddin).. dan ada satu medium lagi digunakan. Tak ramai rakyat tahu medium ini, tapi hanya yang bijak dapat menciumnya,” katanya sambil menjelaskan DAP memberi kebebasan kepada ahlinya membuat pilihan – kebebasan untuk bersuara.

Sebab itu katanya, jika dilihat sekarang ini Zahid dan kumpulannya sentiasa mengubah daripada satu episod ke satu episod lain. Zahid dan kem, termasuk Najib sentiasa melakukan desakan dan serangan.

Bermula dengan menarik sokongan terhadap Kerajaan PN, mendakwa PM hilang majoriti, hinggalah mempertikaikan keabsahan Muhyiddin.

Tetapi apabila Muhyiddin menyatakan kesediaan berdepan usul undi percaya di Parlimen, Zahid dan kumpulannya enggan pula menerima. Yang terakhir mereka kini mengubah kepada episod mendesak Muhyiddin meletak jawatan dengan segera. Desakan ini dibuat kerana Zahid dan kemnya tidak mahu undi percaya terhadap PM diadakan di Parlimen, kerana bimbang Muhyiddin akan mendapat sokongan MP DAP.

“Hilang majoriti, letak jawatan… itulah yang diangkat setiap hari dalam kehidupan mereka sekarang. Sebaliknya, Ahli Parlimen DAP melihat rakyat perlu diberi perhatian… mesti dibantu, bukan bermain politik semata-mata, terutama dalam keadaan sekarang terpaksa berdepan Covid-19,” kata sumber itu.

Wednesday, March 17, 2021

Pembangkang hanya tolak 'kluster mahkamah', kata Salahuddin

malaysiakini.com

B Nantha Kumar
Diterbitkan 17 Mar 2021, 4:55 pm

Kenyataan bersama lima pemimpin kanan parti pembangkang hari ini bahawa mereka menolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' hanya merujuk kepada pemimpin-pemimpin Umno yang mempunyai kes di mahkamah.

Justeru, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, parti-parti pembangkang masih berbincang dengan pemimpin Umno yang lain.

"Maksud tolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' hanya merujuk kepada 'kluster mahkamah' sahaja.

"Kami masih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin Umno yang lain," katanya kepada Malaysiakini.

Salahuddin yang juga adalah ahli parlimen Pulai berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataan bahawa Pakatan harapan menolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' tengah hari tadi.
Terdahulu, lima pemimpin kanan parti pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama menolak kerjasama dengan pihak yang dirujuk mereka sebagai “kleptokrat”.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengadakan sidang media, yang antaranya mengumumkan dia tidak menafikan kemungkinan wujud kerjasama dengan Umno.

“Mendepani cabaran berangkai ini, kami menyeru agar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat,” kata lima pemimpin pembangkang.

Selain Salahuddin, kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Wira Parti Warisan Sabah Mohd Azis Jamman, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.
Semalam, Anwar menyifatkan masih terlalu awal untuk mengatakan wujud persefahaman antara PKR dengan Umno tetapi pada masa sama mengakui ada perbincangan dibuat.

"Kami nak pembangkang menolak 'kluster mahkamah'.

"Tapi, tidak ada masalah dengan pemimpin Umno yang lain.

"Malah, boleh mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin yang tidak ada kes selepas PRU 15 untuk wujudkan satu kerajaan yang kuat demi kepentingan rakyat.," katanya lagi.

Terma 'kluster mahkamah ini digunakan di kalangan ahli politik merujuk kepada ahli parlimen Umno yang sedang berdepan kes di mahkamah.

Antara mereka, adalah bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Mereka ini didakwa lantang mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tuesday, May 21, 2019

Najib terima tajuk debat Lim tapi...


Bekas perdana menteri Najib Razak setuju dengan tajuk debat berkenaan kleptokrasi yang dicadangkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Namun beliau berharap topik lain juga dapat dibincangkan dalam perdebatan antara mereka nanti.

"Lim telah setuju untuk berdebat dengan saya.

"Dia cadangankan topik debat...Saya terima tajuk yang disarankannya tetapi seadilnya dan semoleknya kita perlu bincangkan topik-topik lain semasa debat ini," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Lim terdahulu yang mencadangkan tajuk debat iaitu "Bagaimana Malaysia menjadi kleptokrasi global dan bagaimana kita dapat menjadi contoh negara berintegriti".

Ia selepas Najib berkata beliau sedia berdebat dengan Lim yang menurutnya sentiasa menulis kenyataan media berkenaannya.

"Sekiranya dia (Lim) cukup lapang untuk menulis pelbagai kenyataan setiap hari, dia sepatutnya lapang untuk berdebat,” katanya.

Namun Lim berkata beliau hanya "berminat" terhadap Najib kerana bekas perdana menteri itu telah membawa kerosakan besar buat negara dengan legasi kleptokrasinya.

Dalam pada itu Najib mencadangkan debat tersebut diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan disiarkan secara langsung di televisyen.

"Pegawai saya akan berhubung dengan pegawai Lim untuk menganjurkan debat ini," katanya lagi.

Lim sedia debat dengan Najib, cadang tajuk 'kleptokrasi'


Lim Kit Siang berkata beliau sedia untuk berdebat dengan Najib Razak, selepas dicabar bekas perdana menteri hari ini.

Pemimpin veteran DAP itu turut mencadangkan tajuk debat tersebut, iaitu "Bagaimana Malaysia menjadi kleptokrasi global dan bagaimana kita dapat menjadi contoh negara berintegriti."

"Patutkah seorang berdebat dengan seorang kleptokrat dan suka berbohong?

"Mungkin inilah tajuk terbaik untuk didebatkan...Pilihan sekarang di tangan Najib," katanya dalam kenyataan.

Dalam wawancara bersama Free Malaysia Today, Najib berkata beliau sedia meluangkan masa untuk berdebat dengan Lim walaupun sibuk dengan perbicaraan di mahkamah.

Najib mencadangkan debat gaya bebas - Lim boleh bertanya apa saja soalan kepadanya, dan beliau juga akan berbuat perkara sama.

Dalam wawancara sama, Najib turut membangkitkan gelaran "Menteri Hal Ehwal Najib" yang diberikan kepada Lim, yang menurutnya obses terhadap dirinya.

"Sekiranya dia (Lim) cukup lapang untuk menulis pelbagai kenyataan setiap hari, dia sepatutnya lapang untuk berdebat,” katanya.

Menjawab soal itu, Lim mengakui beliau memang obses terhadap Najib tetapi bukan tanpa sebab.

"Saya tak akan berminat langsung dengannya jika dia bukan satu-satunya rakyat Malaysia yang membawa kerosakan terbesar buat negara dengan legasi kleptokrasinya, kepada generasi sekarang dan juga akan datang.

"Malah dia telah mencemarkan nama dan legasi bapanya, Tun Razak," katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-