Sunday, March 28, 2021

Zahid hormat keputusan Umno Sabah kerjasama dengan PPBM

freemalaysiatoday.com
Adam Abu Bakar
-March 28, 2021 9:45 PM

Zahid mengakui situasi politik di Sabah istimewa.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menghormati keputusan Umno Sabah yang menetapkan akan bekerjasama dengan PPBM untuk mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Zahid turut mengakui situasi dan landskap politik di Sabah adalah istimewa.

“Situasi landskap politik Sabah istimewa, mereka berada dalam sebuah gabungan besar di sana. Maka apa yang dinyatakan oleh Pengerusi Umno Sabah sesuatu yang menjadi pendirian dan pegangan Umno Sabah. Kita hormati,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, Bung Mokhtar Radin yang juga Pengerusi Umno Sabah memberitahu Umno negeri berkenaan akan terus bekerjasama dengan PPBM untuk mempertahankan kerajaan GRS meskipun Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Umno tidak akan bekerjasama dengan parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bung juga berkata, senario di Semenanjung adalah berbeza dengan Sabah kerana rakyat sudah memberi mandat kepada GRS untuk membentuk kerajaan baharu, bahkan akan memastikan hubungan dengan PPBM tidak terputus di Sabah kerana mahu fokus ke arah membangunkan rakyat dan ekonomi negeri.

Zahid dalam ucapan dasarnya sempena PAU2020 berkata, Barisan Nasional (BN) memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian. Katanya, Umno tidak akan mendukung Perikatan Nasional kerana PPBM berniat menghapus dan menggantikan Umno.

Pada masa sama, ketika ditanya mengapa Umno tidak mengambil tindakan memecat seorang menteri Umno yang didakwanya sebagai “makhluk perosak”, Zahid berkata, tindakan untuk memecat seseorang ahli bukan terletak kepada keputusan presiden, sebaliknya jawatankuasa lembaga disiplin Umno.

“Keputusan itu bukan keputusan presiden tetapi keputusan lembaga disiplin, untuk diteliti dan dibawa ke Majlis Tertinggi Umno,” katanya.

Zahid dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno 2020 membayangkan kemungkinan ada menteri Umno tertentu yang tidak mahu melepaskan jawatannya, komen yang dilihat ditujukan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-