Monday, April 19, 2021

Gelar ahli politik ‘kluster mahkamah’ binatang politik, Faiz ‘anjing salakan’ Bersatu, kata Umno

FMT Reporters
-April 19, 2021 6:25 PM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah berkata, Muhammad Faiz Na’aman harus faham dan terima kenyataan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional adalah kerana sokongan Umno.

PETALING JAYA: Kenyataan kurang ajar Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman, menyifatkan “kluster mahkamah” adalah binatang politik yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi, diibaratkan sebagai “anjing salakan”, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah.

Katanya, tindakan “anjing salakan” MPT Bersatu itu amat memalukan dan dilihat kurang bijak walaupun akan ada yang menganggapnya sebagai hak kebebasan bersuara.

“Sikap kurang ajar beliau (Faiz) yang mengeluarkan kenyataan populis boleh akibat hura-hara politik negara ibarat seekor anjing salakan politik,” katanya dalam kenyataan.

Armand berkata, ia tidak sewajarnya berlaku malah Faiz seharusnya belajar menghormati kepimpinan Umno yang membantu membina kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya ingin minta Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan atas keceluparan kenyataan yang beliau keluarkan.

“Anjing salakan ini harus faham dan terima kenyataan penubuhan kerajaan PN ini adalah kerana sokongan Umno, tanpa sokongan Umno tidak mungkin Presiden Bersatu boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan Umno kini semua meletakkan keutamaan untuk fokus mengukuhkan ekonomi dan kebajikan rakyat walaupun sedang diuji dengan pandemik Covid-19, selain menunjukan contoh yang baik pada rakyat dalam situasi terkini.

Terdahulu, Faiz dilaporkan berkata, selain ancaman Covid-19, “kluster mahkamah” yang terdiri daripada sekumpulan ahli politik juga adalah musuh utama negara ketika ini.

Katanya, “kluster mahkamah” itu berselindung di sebalik perjuangan ketuanan Melayu sebagai tirai untuk melindungi ketamakan dan kepentingan peribadi, sama seperti modus operandi kartel tender yang dibanteras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Mereka jugalah antara pengkhianat bangsa yang sanggup menggadai kepentingan negara dan hak Bumiputera serta muslim hingga Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai matlamatnya. Mereka ini kita kenali sebagai ‘kluster mahkamah’,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut siapa ahli politik dimaksudkannya sebagai “kluster mahkamah” itu.

Antara ahli politik yang kini berdepan perbicaraan di mahkamah ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden parti itu, Najib Razak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-