Monday, April 19, 2021

Timbalan Menteri Pendidikan II pertahan pembinaan SJKC baru di Kinrara

ismaweb.net
ainulillia

Dakwa sudah diluluskan kerajaan BN pada 2017 atas permohonan MCA


BANGI, 7 Ramadan 1442H, Isnin Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr Mah Hang Soon membidas pihak yang mempertikaikan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing, dengan menegaskan supaya isu itu tidak dipolitikkan.

Terdahulu, penduduk Bandar Kinrara membantah pembinaan SJKC berkenaan, atas faktor bilangan SJKC sudah cukup banyak, berbanding sekolah kebangsaan.

Bantahan turut disertai Ketua UMNO Subang, Datuk Armand Azha, dan mewakili suara penduduk beliau berkata, sekolah kebangsaan yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan hanya tiga sahaja, sedangkan SJKC ditambah kepada lima.

Walhal, majoriti penduduk di kawasan itu adalah orang Melayu dan bukan orang Cina, katanya.

Bagaimanapun, Hang Soon mendakwa, SJKC Too Joon Hing adalah antara 10 SJKC yang diluluskan oleh kerajaan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) 2017 atas permohonan MCA.

Dakwanya, lokasi asal pembinaan ini ketika diluluskan ialah Taman Putra Prima Puchong, tetapi telah ditukar ke Bandar Kinrara Seksyen 5 ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana prosedur pertukaran ini telah selesai, KPM telah mengeluarkan permit kelulusannya dan diserahkan kepada jawatankuasa pembinaan sekolah ini pada bulan Mei tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Mempertahankan pembinaan sekolah itu, Hang Soon berkata, sehingga hari ini, hampir 19 peratus pelajar SJKC adalah bukan berbangsa Cina.

“Pengiktirafan dari masyarakat bukan Cina kepada SJKC disambut positif oleh pengelola SJKC dan masyarakat Cina.

“Oleh itu, SJKC ialah sekolah untuk rakyat, bukannya sekolah hanya untuk orang Cina.

“Jadi, jangan ada mana-mana pihak yang berusaha menggunakan isu pembinaan sekolah untuk membangkitkan sensitiviti kaum,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han memberitahu wartawan Sin Chew Daily bahawa UMNO cuba mempolitikkan isu pendidikan untuk mendapatkan modal politik murahan.

Sze Han mendesak UMNO untuk tidak mempolitikkan isu pendidikan, dan menekankan bahawa proses penubuhan SJKC Too Joon Hing adalah berdasarkan prosedur, dan persetujuan Kementerian Pendidikan serta kebenaran pembangunan daripada Dewan Bandaraya Subang Jaya.

Dia mengatakan bahawa sudah ada sekolah rendah dan menengah Melayu di Bandar Kinrara Seksyen 5.

Tetapi SJKC yang berdekatan, seperti SJKC Bukit Serdang, telah penuh dengan pelajar.

Katanya, penduduk tempatan, termasuk orang Melayu, sering mengadu kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

“Saya percaya selepas pembukaan sekolah rendah Cina ini, ia dapat mengurangkan kesesakan di tempat-tempat ini,” katanya.

Dia berkata, pembinaan SJKC Too Joon Hing baru saja dimulakan dan diharapkan dapat mula menerima pendaftaran hingga 1,000 murid pada tahun baru 2023.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-