Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

TAJUDDIN. FOTO arkib NSTP
Kuala Lumpur: Usaha pihak tertentu mengaitkan penamatan tugas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dengan kedudukannya dalam Umno adalah tidak wajar.
Sebaliknya, kedudukan Ahli Parlimen Pasir Salak itu dalam parti masih seperti biasa dan tidak terjejas.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, apa yang berlaku adalah di luar jangkaan malah tidak siapa pun yang menginginkan kemalangan atau musibah berlaku.
Katanya, cakap-cakap mengenai kedudukan Tajuddin timbul selepas beberapa pemimpin parti membangkitkan kemampuan kerajaan menguruskan beberapa perkara termasuk Covid-19.
"Pada saya, mereka ini cuba melakukan serangan politik kepada Umno.
"Bila ada isu membabitkan pemimpin Umno, mereka mula mengambil kesempatan sedangkan apa yang berlaku, tidak ada kena mengena dengan kedudukan di dalam parti," katanya ketika dihubungi.
Mohd Razlan berkata, Tajuddin perlu dihormati sebagai ahli politik berpengalaman dan banyak berjasa khususnya kepada rakyat di kawasan diwakilinya.
Beliau mengulas mengenai kedudukan Tajuddin di dalam parti susulan penamatan tugas berkenaan.
Katanya, isu itu tidak menjejaskan parti sebaliknya, pemimpin Umno akan terus menegur kerajaan demi manfaat rakyat.
Seorang lagi ahli MT Datuk Rizam Ismail berkata, setakat ini perkara itu tidak pernah dibincangkan dan ia tidak menjadi isu kepada parti.
"Mungkin mereka ini hanya mengambil peluang untuk menyerang Umno, sedangkan di pihak kita (Umno) kita tahu Datuk Seri Tajuddin dan jasanya," katanya.
Rabu lalu, khidmat Tajuddin ditamatkan menerusi sepucuk surat oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Disiarkan pada: Mei 29, 2021 @ 5:20pm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.